Rabu, April 04, 2007

Pemusnahan Berperingkat Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON)

Apabila membacakan mengenai segala berita yang disiarkan mengenai kerugian PROTON di dada akhbar sejak akhir-akhir ini, hati penulis berdetik kecewa dengan nasib PROTON yang menjadi semakin malang hari demi hari. Menjadi kemestian bagi kita untuk melihat semula kedudukan kita pada masa lepas dan kedudukan kita sekarang. Ini amat signifikan bagi menyedarkan kita kerana sejak kita merdeka pada tahun 1957, kita telah berjaya membangunkan negara kita mengikut acuan kita sendiri dan tidak bulat-bulat meniru cara gaya pembangunan negara-negara dari barat. Sikap dan cara kita pada masa yang lalu samada betul atau tidak akan memimpin kita membuat keputusan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Pada ketika negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kita mewarisi pentadbiran dari bangsa Inggeris yang hanya mementingkan keuntungan wang ringgit untuk disalurkan kepada negara mereka yang mengalami masalah hutang dan kewangan yang teruk kesan dari peperangan dunia kedua. Kesetiaan dan tanggungjawab bangsa asing ini adalah untuk Ratu dan tanah air mereka. Ini dapat dibuktikan dengan pengesyoran penubuhan Malayan Union di mana kuasa raja-raja Melayu hanya dikurangkan kepada soal agama dan adat sahaja. Raja-raja Melayu perlu tunduk kepada kuasa mutlak ratu Inggeris. Alhamdulilah, dengan kebijaksanaan Dato’ Onn Jaafar, kita berjaya menentang maksud jelas bangsa asing untuk menjadikan kita subjek kepada sebuah pulau yang letaknya beribu batu jauhnya dari Malaysia.

Populasi penduduk selepas negara merdeka hanyalah seramai lima (5) juta penduduk dan pendapatan perkapita hanyalah USD300. Pada hari ini populasi penduduk Malaysia meningkat hampir 7 kali ganda iaitu berjumlah 24 juta orang dan pendapatan perkapita meningkat hampir sepuluh kali ganda kepada USD 4000. Berbanding dengan negara-negara jiran yang lebih dahulu mencapai kemerdekaan dan lebih dahulu maju dari negara kita, kita berjaya mengatasi mereka di dalam aspek pembangunan dan merupakan antara negara pertama di rantau ini untuk mempunyai industri milik kebangsaan.

Kejayaan ini seterusnya membolehkan kerajaan yang dipilih rakyat untuk merangka projek pembangunan seterusnya yang bersifat berdaya saing dan bergerak ke hadapan. Pada ketika kita mencapai kemerdekaan, Malaysia hanyalah sebuah negara yang berasaskan sumber pertanian dan sumber bahan mentah yang hanya bergantung sepenuhnya kepada dua sumber bahan mentah utama iaitu getah dan biji timah. Apabila jumlah penduduk negara bertambah, sumber bahan mentah ini sudah tidak mampu untuk menampung projek pembangunan negara dan tidak mampu mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat negara kita. Sumber kewangan diperlukan bagi memastikan rakyat negara mempunyai kuasa beli yang stabil bagi meneruskan kehidupan harian mereka.

Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan mencadangkan pelan perindustrian pada tahun 1980-an dimana merubah negara yang dahulunya bergantung kepada sumber pertanian kepada sebuah negara industri yang berdaya saing tinggi. Tetapi sebagai sebuah negara yang masih muda dan baru 26 tahun mencapai kemerdekaan, kita mempunyai kekurangan dari segi tenaga pakar dan pengalaman untuk menjadi negara maju. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan berusaha gigih menarik pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment) dari negara luar bagi melabur ke dalam negara. Pelaburan ini secara tidak langsung akan mendidik dan memberi pengalaman kepada negara untuk menjadi sebuah negara industri yang moden. Proses pemindahan teknologi juga dapat dilakukan dengan lancar dan kita berterima kasih kepada negara Jepun yang begitu banyak membantu negara menuju kepada sebuah negara industri. Berbagai kaedah dilakukan bagi mencipta ruang yang kompetitif kepada syarikat multinasional untuk melabur di dalam negara. Insentif pengecualian cukai dan persekitaran moden dan bersifat membina serta kos upah tenaga buruh yang murah disediakan kepada syarikat multinasional bagi menggalakkan pelaburan ini dilakukan di dalam negara.

Walau bagaimanapun, senario yang disebutkan di atas berlaku sebelum tahun 1989. Pada tahun 1989, senario politik antarabangsa telah mengubah keadaan dunia secara global di mana tembok Berlin yang memisahkan ideologi dua dunia telah runtuh. Kemenangan besar di pihak kapitalis yang diketuai oleh negara Amerika Syarikat diraikan dan kita sememangnya bersyukur kerana “kebaikkan” yang digambarkan melalui sistem kapitalis telah menang melawan “kejahatan” yang digambarkan melalui sistem komunis. Tetapi seperti setiap kali peperangan berakhir, mereka yang menang tidak pernah puas dengan kemenangan yang diraikan. Kuasa mutlak yang dimiliki oleh mereka digunakan sepenuhnya untuk menekan negara-negara dunia ketiga yang tidak tahu membezakan antara komunisme dan kapitalisme. GATT (General Agreement of Trade and Tariffs) diubah kepada WTO (World Trade Organization) bagi membolehkan kuasa lebih besar diberikan kepada badan yang dikuasai oleh negara barat untuk menguasai dunia melalui bidang ekonomi.

Fenomena baru ini diberi nama sebagai Globalisasi. Mereka melaung-laungkan dogma ini seolah-oleh ini merupakan jalan terbaik kepada rakyat negara dunia ketiga untuk menikmati hidup mewah dan berkereta besar. Sempadan kuasa kerajaan dipadam dan digantikan dengan telunjuk kuasa dari Institusi Bretton’s Wood. Tidak sah lagi, globalisasi ini diperkenalkan oleh negara-negara barat bagi mengaut keuntungan selepas kemenangan besar dari peperangan terpanjang abad ke 20 iaitu perang dingin.

Berbalik kepada senario tempatan di mana negara sudah mula berjaya mencapai kejayaan sebagai sebuah negara membangun. Pastinya kita tidak mahu kekal selama-lamanya sebagai sebuah negara membangun. Kita juga mahu dikenali suatu hari nanti sebagai sebuah negara maju. Oleh itu Dasar Wawasan Negara diperkenalkan pada tahun 1992. Berbekalkan kepada azam bahawa kemerdekaan negara dicapai bukan untuk menjadi hamba dan pekerja kepada mereka yang memberikan kita kemerdekaan, kita menubuhkan sebuah syarikat berasaskan industri automotif pada tahun 1983 diberi nama Proton. Mengambil kata-kata dari pengerusi “Federal Reserve Board” Amerika Syarikat, Alan Greenspan, untuk menjadi sebuah negara maju, sesebuah negara tersebut perlu untuk mula mengeluarkan produk siap dan memasarkannya. Ini kerana di dalam usaha untuk mengeluarkan produk tersebut, pelbagai proses pembangunan dapat dilakukan seperti pemindahan teknologi yang akan berlaku seiring dengan pembelajaran ilmu berkaitan dengan proses pembangunan dari negara-negara maju.

Kejayaan mengeluarkan kereta Proton selepas hanya 25 tahun mencapai kemerdekaan memerlukan anjakan paradigma dari rakyat Malaysia itu sendiri. Penyemaian nilai-nilai postif perlu seperti keazaman tinggi, ketabahan menghadapi cabaran, kesanggupan untuk bersaing, keyakinan terhadap bangsa yang dahulunya menjadi subjek kepada negara asing, dan kesediaan untuk berinovasi. Sungguh mengagumkan jika difikirkan bahawa dengan hanya sebuah syarikat Proton sahaja, rakyat Malaysia sudah mula mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas. Cuba fikirkan bagaimana pelbagai lagi industri berat berasaskan kebangsaan ditubuhkan, sudah tentu banyak lagi perubahan positif dapat dilakukan. Rakyat perlu mengetahui bahawa sesebuah kejayaan tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat, tetapi amat mengagumkan sekali lagi, Malaysia mampu berubah dari sebuah negara agrarian kepada sebuah negara industri dalam masa 20 tahun. Berbanding negara Britain yang memerlukan selang masa 100 tahun untuk menjadi sebuah negara industri.

Kejayaan Proton menjadi pemangkin kepada rakyat Malaysia untuk menceburi bidang-bidang yang lebih mencabar pada masa hadapan. Fokus berubah dari sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Untuk menjadi sebuah negara maju, masyarakat yang berilmu pengetahuan diperlukan. Namun akibat kesan globalisasi, situasi dunia mula berubah. Malaysia bukan lagi sebuah negara yang menarik dari segi “labour intensive”. Pelabur asing mula beralih kepada negara seperti Vietnam dan China. Untuk memastikan pembangunan negara diteruskan, perubahan perlu dilakukan bagi membina K-pekerja. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengeluarkan produk kebangsaan dan memasarkannya kepada dunia.

Terdapat kelebihan untuk menjadi sebuah negara industri. Ini terutamanya apabila berlaku masalah iklim dan perubahan cuaca, ekonomi negara kurang terjejas dari segi aggregat permintaan. Berbanding negara pertanian, jika hasil tuaian tidak menjadi, masalah tersebut sudah cukup untuk membuatkan seorang petani menjual anak perempuannya menjadi pelacur seperti yang berlaku di India dan China. Malaysia perlu berani berubah dan melawan arus ekonomi dunia. Kita sudah tidak boleh mengharapkan kuasa beli dari kakitangan kerajaan yang menerima gaji tetap setiap bulan bagi membangunkan ekonomi negara. Menyedari hakikat ini, dasar penswastaan diperkenalkan.

Joseph Schumpeter (1883 – 1950) seorang ahli ekonomi Austria pernah mengutarakan pendapat mengenai “creative destruction”. Jika kita masih lagi selesa bekerja untuk orang lain dan menjual barangan orang lain serta tidak mengambil inisiatif untuk berinovasi, satu kemusnahan akan berlaku kepada bangsa dan negara tersebut. Ini jelas salah satu sebab kenapa Proton harus dikekalkan. Janganlah kita musnahkan industri kereta ini hanya selepas beberapa kekecewaan di dalam aspek pengurusan. Adalah penting kepada kita untuk berpegang kepada realiti : kejayaan dan pembangunan hanya dapat dicapai melalui usaha kolektif dari kerajaan dan rakyat negara kita.

Kemerdekaan negara tidak dicapai hanya untuk merdeka semata-mata. Pada masa yang sama kita masih lagi menjadi pekerja kepada bangsa asing dan memanggil mereka “Tuan” dan “Mem”. Kita mempunyai tanggungjawab dan hak untuk menjadikannya lebih bermakna bagi mendatangkan faedah kepada bangsa kita pada masa hadapan. Kita sememangnya mengalu-alukan nasihat, bimbingan dan kritikan membina, tetapi bukan cadangan yang bersifat ke anak-anakan di mana “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.

Penulis berpendapat bahawa rakyat Malaysia melalui Media gagal untuk bertanyakan soalan yang tepat kepada mereka yang berkenaan bagi mendapatkan jawapan tepat akan kemusnahan yang di alami pleh PROTON. Biarlah penulis meletakkan diri di kalangan bloggers yang “savy” mengenai situasi sebenar mengulangi persoalan yang harus di jawab oleh Khazanah dan Perdana Menteri mengenai nasib malang yang menimpa PROTON.

1. Kenapakah “Approved Permit (AP)” dikeluarkan secara berleluasa sehingga menjejaskan penjualan kereta nasional oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri terutama kepada kereta-kereta yang mempunyai nilai setara dengan PROTON seterusnya menghasilkan pasaran yang terlalu kompetitif terhadap PROTON?

2. Kenapakah AP dikeluarkan kepada Dato Syed & Dato Haniff (bekas Setiausaha Bahagian di MITI); Siapakah mereka berdua ini?; Kenapakah MITI begitu berani untuk “sub-con” kan AP kepada kedua-dua individu ini?; Jika MITI “sub-con” AP kepada dua individu berkenaan, siapakah di MITI yang mendapat keuntungan daripada perusahaan haram ini?

3. Dimanakah letaknya “showroom” atau ruang pameran kereta-kereta ke dua-dua individu yang disebutkan di atas?

4. Dimanakah laporan petunjuk penilaian prestasi (KPI) yang dijanjikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke atas Pengerusi Khazanah Nasional (entiti yang bertanggung jawab ke atas PROTON)?

5. Kenapakah MV Agusta (syarikat di bawah PROTON) dijual dengan harga 1 Euro dan bukan harga lebih dari itu?; Siapakah pembida pembelian syarikat besar seperti MV Agusta selain dari Gevi Spa?; Siapa Gevi Spa?; Apakah “track record” Gevi Spa untuk membeli MV Agusta?; Apakah perancangan Gevi Spa untuk MV Agusta selepas pembelian?

6. Siapakah yang menjadi perunding penjualan MV Agusta kepada Gevi Spa?

Pada pendapat penulis, kerugian PROTON adalah berikutan kegagalan Khazanah Nasional dan pengurusan PROTON untuk mendapatkan keuntungan sepenuhnya daripada kuasa pasaran domestik (utilization market) dan juga kesan daripada “market suppression” berikutan dasar-dasar yang jelas membunuh Perusahaan Otomobil Nasional. Jika dilihat kepada keadaan kuasa pasaran, jelas rakyat domestik mempunyai kuasa beli yang kuat untuk mendapatkan produk keluaran PROTON termasuk galakkan pembelian secara hutang (debt incurring) daripada bank-bank domestik. Walau bagaimanapun, nilai kuasa beli atau “debt incurring” ini tidak disalurkan terus kepada sebuah perusahaan domestik tetapi bagi menambahkan pengumpulan modal (capital amass) untuk syarikat pemilikan asing. Secara kesimpulannya penulis boleh rumuskan bahawa rakyat Malaysia hanya menjadi pengguna sahaja dan bukan pengeluar barangan siap. Berdasarkan hujah tersebut, kepimpinan negara menyedari hakikat semangat juang yang lemah mereka terus menggalakkan perusahaan bersifat mudah dan tiada nilai inovasi tinggi seperti pertanian buah-buahan seperti nenas, durian, tembikai dan rambutan berlawanan dengan sebuah perusahaan seperti PROTON yang menggalakkan pengumpulan maklumat dan eksperimental fizik yang tinggi. PROTON disedari merupakan sebuah perusahaan yang memerlukan semangat juang yang tinggi serta cabaran intelektual tanpa henti.

Persoalan mengenai kerugian proses penjualan MV Agusta dengan harga 1 Euro tidak harus di sapu di bawah tikar. Ini adalah kerana sebuah perusahaan seperti MV Agusta yang mempunyai nilai tinggi (sekurang-kurangnya lebih dari 1 Euro) jika dijual dengan harga beli iaitu RM 400 juta tentu mengurangkan kerugian PROTON. Penulis juga sedar bahawa untuk mengeluarkan satu model kenderaan seperti Gen2, kosnya adalah hampir RM 400 juta ringgit. Jika pengurusan PROTON tidak mahu mengotorkan tangan-tangan (sengaja penulis menyatakan tangan-tangan dan bukan hanya tangan) mereka, jika didermakan RM 1 juta kepada 400 orang rakyat Malaysia, sudah tentu sudah terdapat 400 orang jutawan di Malaysia.

Kita mesti berani berkata benar dan mempunyai hak mendapatkan kebenaran dari fakta dan angka statistik. Seperti kata seorang ahli falsafah Greek, Epictetus, “Tuhan kurniakan kita keberanian untuk berjuang ke arah kebenaran dan kebijaksanaan untuk membezakan antara yang baik dan buruk”. Ambilah pengajaran dari kisah Alexander The Great apabila beliau berjaya menawan kota Persepolis, di Persia. Tetapi oleh kerana nasihat seorang pelacur bernama Thais yang mengapi-apikan Alexander mengenai apa yang telah dilakukan oleh Xerxes 150 tahun yang terdahulu ke atas Greek dengan membakar Acropolis di Athenian, Alexander membakar istana di Persepolis. Beliau bagaimanapun menyesal sehingga ke akhir hayat melakukan perkara tersebut.

Penulis ingin mencadangkan agar kerajaan memansuhkan jawatan “Menteri” untuk Kementerian Industri dan Perdangangan Antarabangsa dan menggantikan jawatan tersebut kepada jawatan Setiausaha seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat. Ini bagi mengelakkan salah guna kuasa dari mereka yang tidak sepatutnya memegang jawatan tersebut di atas kapisiti seorang ahli politik semata-mata dan bukannya pentadbir. Pemegang jawatan tersebut perlu dilantik dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang yang kukuh dan keupayaan merit yang tinggi dan bukan dipilih semata-mata untuk memenuhi kuota parti komponen yang memenangi pilihanraya. Manusia yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri pasti tidak akan sempat berpaling kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.