Jumaat, Oktober 20, 2006

Bebas rasuah untuk tingkatkan martabat

Bebas rasuah untuk tingkatkan martabat

Oleh MUHAMMAD SHABRI ABD. MAJID

GORDON Tullock (1976), seorang penyokong Teori Suara Rakyat (Public Choice Theory) dalam bukunya, The Vote Motive pernah berkata bahawa para birokrat itu sama seperti manusia lain.

Jika para birokrat adalah manusia biasa, maka mereka akan membuat kebanyakan (bukan semua) keputusan untuk keuntungan mereka, bukan untuk keuntungan rakyat secara keseluruhan.

Rasa-rasanya, apa yang diperkatakan Tullock di atas sudah pun berlaku di pelbagai dunia Islam. Perkara ini selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika memberikan ucaptama pada acara perasmian Forum Antirasuah dan Meningkatkan Integriti, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) 2006 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tidak lama dahulu.

Menurut beliau, analisis Transparency International mengenai CPI terhadap 158 negara tahun lalu, menunjukkan negara Islam yang mempunyai rekod terbaik hanya menduduki tempat ke-29. Lebih separuh daripada 10 tempat terbawah adalah negara Islam dan jika diambil purata bagi negara Islam secara keseluruhannya, mata yang diperoleh adalah 3.06 daripada 10 mata penuh yang meletakkan negara Islam pada tempat ke-89. Fakta ini sungguh memilukan. Umat Islam yang dikenal amat bermoral dan beretika, ternyata hidup kita dipenuhi dengan rasuah.

Keazaman Perdana Menteri untuk membanteras rasuah, sungguh suatu usaha yang patut dihormati. Berjaya dalam membanteras rasuah memerlukan usaha bersepadu. Selebihnya, penguatkuasaan undang-undang rasuah perlu dipertingkatkan.

Hal ini seperti diperakui seorang tokoh besar yang gigih membanteras rasuah di China, Wang An Shih (1021-1086M). Menurut beliau, rasuah itu berlaku akibat lemahnya penguatkuasaan undang-undang dan jahilnya manusia.

Kerana itu, An Shih yakin bahawa untuk membanteras rasuah dengan jayanya diperlukan penguasa yang bermoral tinggi dan undang-undang yang efisien serta rasional. Usaha penguatkuasaan undang-undang itu tidaklah semudah membalik telapak tangan.

Berusaha

Namun, ia bukan mustahil diubah. Pepatah Arab mengatakan: “Langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak”, kita mesti berusaha untuk berjaya.

Sebenarnya, yang sukar itu bukanlah penguatkuasaan undang-undang, tetapi yang susah itu adalah untuk memiliki keazaman yang kuat, usaha yang serius dan profesionalisme dalam membanteras rusuah.

Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dilakukan setengah hati, sebab ia adalah sebuah keyakinan. Kerana itu, kepura-puraan atau sekadar mencuba pasti akan tidak menghasilkan apa-apa.

Penguatkuasaan undang-undang memerlukan kejujuran. Tanpa kejujuran, penguatkuasaan undang-undang hanya menjadi peragaan sahaja, bahkan akan berfungsi sebagai topeng untuk menutupi kejahatan mereka. Inilah yang membuat rasuah sukar dibendung.

Apa sebenarnya yang menghalang kita dalam membanteras rasuah? Dalam bukunya, Corrupt Cities, A Practical Guide to Cure and Prevention, Robert Klitgaard et.al (2000) menegaskan bahawa “kegagalan usaha-usaha untuk membanteras rasuah adalah semata-mata disebabkan oleh pendekatan undang-undang yang terlalu eksklusif dan dilakukan setengah hati.”

Dalam membanteras rasuah tidak boleh adanya diskriminasi hukum. Sama ada rakyat jelata mahupun kakitangan kerajaan yang melakukan rasuah, kedua-duanya harus diberi hukuman setimpal.

Untuk menangkap pelaku rasuah, kita juga boleh mengambil iktibar daripada labah-labah.

Dalam menjerat mangsanya untuk dimakan, labah-labah sentiasa merangkai/menjahit “jaringan perangkap” atau dikenal dengan sarang labah-labah. Sebagai pembuat jaringan perangkap, sudah tentu si pemiliknya, labah-labah tidak akan pernah terjerat dan tersangkut, walaupun bermain-main di atasnya.

Hanya binatang kecil sahaja yang terjerat. Sedangkan, binatang besar, sebagai contoh, tikus akan terlepas dari jeratan labah-labah itu dan bahkan akan memutuskan jaringan perangkap.

Untuk menghindari agar pembuat jaringan (pembuat/penegak hukum) terbebas dari hukuman, maka jerat/hukum itu hendaklah dirangkai dari “jeruji besi”.

Pembuat dan penegak hukum haruslah terdiri daripada mereka yang amanah dan tidak membuat hukum hanya untuk menjerat “pemakan rasuah kelas rendah”, bukannya untuk menjerat siapa sahaja yang bersalah tanpa memandang bulu.

Strategi membanteras rasuah di atas sesuai dengan pepatah Cina yang bermaksud untuk menangkap seekor ular, tangkaplah kepalanya. Jika kita menangkap badannya, ular itu pasti akan mematuk kita.

Begitu juga untuk membersihkan laman kita dari “sampah rasuah”, hendaklah kita menggunakan penyapu yang bersih. Kerana penyapu yang kotor, malah akan lebih mengotorkan halaman kita dari “sampah rasuah.”

Demikian juga, tentunya dengan usaha pembanterasan rasuah. Usaha ini, harus diperkuatkan oleh usaha-usaha penguatkuasaan undang-undang yang adil, efisien, rasional dan tidak pilih kasih.

Sebagai penganut Islam yang kuat, kita harus sedar dan patuh bahawa; “Sesungguhnya si pemberi rasuah dan si penerima rasuah kedua-duanya berada dalam neraka” (al-Hadis) dan rasuah adalah musuh yang nyata yang sentiasa mengancam kehidupan masyarakat kita.

Itulah beberapa strategi dalam membanteras rasuah. Mudah-mudahan dengan adanya usaha serius semua pihak dan diikuti oleh pengawasan sosial yang bersepadu terhadap ‘virus’ rasuah yang menghantui dunia Islam, insya-Allah umat Islam akan bebas dari rasuah.

- DR. MUHAMMAD SHABRI ABD. MAJID ialah Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kuliyah Ekonomi

dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).