Tajuk : Pendekar Sufi - Siri 1- Hj Mat Hassan @ Tok Janggut
( sempena mengingati 94 tahun mati Syahidnya pada hari ini 24 Hb Mei 1915.)
Artikel Oleh Sangtawal Sakranta :
Sumber : sumber 1 sumber 2 sumber 3 sumber 4
Sesungguhnya kita perlu belajar dari sejarah.Jika kita tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah pun,cukuplah kiranya kita tidak membenarkan sejarah itu berulang kembali dalam hidup kita. Melihat gelora politik Mei 2009 di Perak,penderhakaan rakyat kepada raja ,ancaman wabak Influenza A H1N1 di Malaysia,kemerosotan ekonomi dunia dan banyak perkara lagi yang terjadi dalam bulan Mei ini,maka ingin saya menyorot kembali kisah dan gelora perjuangan jihad sebenar Tok Janggut pada Mei 1915.Pada hari ini ,24 Mei 2009 genaplah tempoh 94 tahun seorang pejuang islam sebenar mati syahid dan mayatnya digantung sonsang secara paling hina oleh penjajah.
Perjuangan sebenar Tok Janggut cuba dinafikan penjajah,malah istilah perjuangan ‘jihad’ itu ditukar kepada ‘penderhakaan kepada raja’ dan ‘pemberontakan melawan Inggeris’.Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama pejuang jihad ini dengan meletakkan nama ‘Tok Janggut’ kepada Haji Mat Hassan Bin Panglima Munas yang merupakan seorang ulama dan pendekar sufi yang pernah menjadi murid bersama Tok Kenali kepada Tokku Paloh dan beliau juga adalah murid kepada Sheikh Wan Ahmad Al-fathani semasa menuntut di Mekah.Ini adalah kerana Inggeris ingin memperlekehkan perjuangan suci Tok Janggut untuk membela agama,bangsa dan negara.
Gelaran tok janggut iaitu satu jolokan atau ejekan kepada seorang tua yang menyimpan janggut panjang ini sudah cukup untuk menutup kebenaran sejarah perjuangan bangsa kita menentang penjajah.Jika tidak ,nama baik dan maruah Inggeris akan terjejas sebagai kuasa besar dunia.Oleh itu manusia bernama Tok Janggut ini harus dibunuh dengan apa cara sekalipun dan pengaruhnya perlu dihapuskan di muka bumi melayu ini. Apabila tokoh yang juga ulama itu dibunuh, mereka sedar yang ‘aura perjuangan’ Hj Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.Tidak cukup dengan itu mereka menjalankan perang saraf pula untuk terus memburukkan nama Hj Mat Hassan sehinggalah beliau dilabel sebagai penderhaka, pemberontak dan pengkhianat negara.
Hj mat Hassan atau Tok Janggut dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram,Pasir Puteh , Kelantan pada tahun 1850. Ayahnya ,Panglima Munas adalah seorang panglima istana yang setia kepada raja.Dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram dan beliau juga adalah seorang pendekar yang mewarisi darah dan bakat ayahandanya iaitu seorang panglima raja.
Setelah pengisian ilmu fizikal dan bela diri sudah dikuasai sepenuhnya,beliau merantau pula untuk belajar ilmu agama hingga ke Makkah. Beliau pernah berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani. Tahukah kita siapa Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani ini? Beliau adalah merupakan guru agama bertaraf wali kepada hampir seluruh ulama nusantara ini pada masa itu!Hebatnya beliau ialah kerana beliau adalah orang melayu yang telah diiktiraf menjadi guru agama mengajar di Makkah kerana ketinggian ilmunya! selain itu Syeikh Ahmad ini merupakan pengasas kepada persatuan orang Melayu di luar negara iaitu Jami’atul Fathaniyah di Mekah dan dilantik oleh Sultan Abdul Hamid II sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Kerajaan Othmaniyyah. Malah beliau juga dianugerahkan kerakyatan Uthmaniyyah pada 1889.
Sebenarnya penjajah ketika itu amat gerun dan takut kepada ulama atau haji yang baru pulang dari Makkah atau negara timur tengah.Gerak geri dan tindak tanduk mereka sering diperhatikan dan dikaji apatah lagi perhatian yang serius perlu diberikan kepada Hj Mat Hassan ini yang pulang membawa amanah jihad gurunya perlu dihapuskan segera.Di Indonesia,Orientalis barat seperti Dr. Christian Snouck Hugronje telah membuat satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat khususnya di Acheh.
Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan:
“Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu simbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik maka kelompok Haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”
Betapa hebatnya pengaruh orang bergelar ‘Haji’ ketika itu sehinggakan pihak British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang dikalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan supaya menyokong kerajaan British dalam peperangan!
Ketika Hj Mat Hassan atau Tok Janggut berusia 52 tahun dan masih menuntut di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Wan Ahmad yang berasal dari Patani memberi amanat supaya muridnya itu pulang, berikhtiar dan berjuang untuk membebaskan tanah jajahan Patani yang dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris juga mula melebarkan penjajahan mereka ke negeri Melayu di utara dan timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai barat Semenanjung. Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Hj Mat Hassan pulang ke kampung halamannya di Kelantan pada tahun 1910, tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Kelantan telah jatuh di bawah naungan kerajaan Inggeris. Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan Tuan Long Senik Mulut Merah dengan gelaran Sultan Muhamad Shah IV. Pada 22 Oktober 1910, kerajaan Inggeris telah membuat perjanjian dengan kerajaan Kelantan. Semenjak itu bermulalah campur tangan kerajaan Inggeris di Kelantan. Pihak kerajaan Inggeris juga memperkenalkan institusi pentadbiran baru seperti Balai Polis dan Mahkamah di peringkat daerah termasuk juga di daerah Pasir Putih yang sebelumnya dikenali sebagai Pangkalan Limbungan. Sebelum kedatangan Inggeris, daerah tersebut ditadbir oleh seorang pembesar kerajaan Kelantan yang dikenali dengan gelaran Seri Maharaja Tua.Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui oleh orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk tempatan.
Pada tahun 1914, seorang wakil Inggeris yang berasal dari Singapura bernama Abdul latiff telah dilantik menjadi Ketua Daerah di Daerah Pasir Putih. Abdul Latiff telah menguatkuasakan semua undang-undang cukai Kerajaan Kelantan iaitu agenda Inggeris termasuk tiap-tiap seorang dikenakan cukai kepala RM1.00 setahun, pokok buah-buahan 12.5 sen sepokok, pokok kelapa 3 sen sepokok, sirih 5 sen sejunjung, kerbau dan lembu 20 sen seekor, anjing dan babi 50 sen seekor, pokok kayu keras seperti tembusu, medang dan lain-lain yang boleh dijadikan bahan binaan rumah RM1.00 sepokok, hasil tanah 60 sen seekar. Penduduk yang enggan membayar cukai dikenakan hukuman denda atau penjara.
Pada pendapat saya Abdul Latif yang dihantar oleh Inggeris khas dari Singapura ini mungkin seorang talibarut Inggeris atau mungkin hamba The Hidden Hand,semata-mata untuk mencetuskan isu atau api kemarahan penduduk dengan memperkenalkan sistem cukai yang tinggi dan tidak munasabah.Bila api kemarahan tercetus,maka senanglah Inggeris menjalankan agendanya yang tersembunyi dengan alasan untuk menyelesaikan isu pemberontakan dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan untuk membunuh Hj Mat Hassan atau Tok Janggut yang menjadi satu ancaman besar dan amat merbahaya bagi mereka.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikutnya turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.Ini adalah kerana beliau cuba taat pada perintah raja ketika itu.Namun ,setelah melihat penindasan kepada rakyat selepas kerajaan kelantan menjalankan sistem sistem yang diperkenalkan Inggeris,semangat perjuangannya mula membara lalu beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Hj Mat Hassan ketika itu,juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kerajaan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Hj Mat Hassan kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914.
Kekacauan di Pasir Putih bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Hj Mat Hassan memutuskan untuk tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Keengganan membayar cukai tersebut menyebabkan Tok Janggut dan pengikutnya disaman oleh pemerintah Pasir Putih dan dikehendaki hadir ke mahkamah di Pasir Putih. Tetapi Tok Janggut dan pengikutnya enggan hadir ke mahkamah .Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Ramai yang tidak tahu,sebenarnya masih ada lagi sebab utama mengapa Hj Mat Hassan atau Tok Janggut dan pengikutnya bangkit menentang penjajah.Sebab itu ialah apabila Pihak Inggeris memperkenalkan satu sistem pemilikan tanah yang baru iaitu Sistem Pemilikan Tanah Torrens menggantikan Undang-Undang Tanah Tradisional Melayu yang sudah sedia ada.Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur sebelum Sultan Muhammad IV yang memakai gelaran Sultan Muhammad III,baginda merupakan seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda termasuk umara’ yang mendampingi ulama. Antaranya adalah, Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat.
Sultan Mansur Syah telah menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang SYARAK dalam acara guaman sama ada jenayah ataupun mal. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat.Sebenarnya HUKUM HUDUD telahpun berjalan pada masa itu di Kelantan.Sesungguhnya, zaman Sultan Mansur merupakan suatu zaman gemilang dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan keagamaan rakyat negeri Kelantan. Daulat Tuanku.
Kelantan menerima pengaruh British yang bertindak sebagai penasihat semenjak tahun 1903 namun British terlibat secara lansung dalam pentadbiran Kelantan selepas 1910 setelah Kelantan membantah Perjanjian British-Siam 1909.
Campurtangan British dalam pentadbiran Sultan Muhammad IV menyaksikan British memperkenalkan peraturan baru. Antaranya adalah Sistem Pemilikan Tanah Torrens! Bilamana sistem ini diperkenalkan, secara automatiknya ia menolak undang-undang tanah tradisional Melayu iaitu undang-undang tanah mengikut ISLAM!!, iaitu berdasarkan prinsip ihya(usaha) dan thajir(tanda). Maka pengenalan sistem tanah baru iaitu Sistem Torrens itu sekaligus MENOLAK undang-undang Islam!
Cuba kita fikirkan bersama,bila satu sistem yang telah sekian lama berjalan mengikut hukum islam dan sudah diterima pakai oleh rakyat cuba diubah atau dihapuskan terus oleh penjajah ,maka apakah reaksi Ulama seperti Hj Mat Hassan dan rakyat kelantan yang lain ?Oleh itu,sebenarnya perjuangan Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bukan setakat menentang cukai yang tinggi tapi yang lebih penting daripada itu adalah perjuangan MENENTANG PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!
Rakyat mula membantah cadangan British ini. Surat-surat bantahan dihantar oleh rakyat kepada pihak berkuasa. Salah satunya, datang dari penduduk Kampung Cherang Tuli iaitu sebuah kampung dari daerah Pasir Puteh.Ia merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam kebangkitan ini. Nah, lihatlah sendiri, penentangan ini BUKANLAH penentangan cukai semata-mata,tetapi adalah perjuangan jihad MENENTANGAN PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!
Pada 29 April 1915, Hj Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Abdul Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Hj Mat Hassan.
Sarjan Che Wan Sulaiman yang diiringi 6 orang anggota polis bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April 1915 bagi memaksa Hj Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Hj Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah dia menjadi seorang pesalah dan mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri ,sebaliknya beliau mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan pergaduhan berlaku lalu Hj Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Melihat peristiwa tersebut, polis yang lain tidak berani melawan dan telah dibiarkan pergi oleh Tok Janggut setelah merampas senapang mereka.Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.Jika kita semua dapat menyaksikan semula bagaimana hebatnya pendekar sufi pada usia 65 tahun ini menumpaskan seorang sarjan yang lengkap bersenjata itu,maka kita pasti merasa bangga!Apa tidaknya ,anggota polis yang seramai 6 orang lagi itu pun turut kecut perut bila melihat ketua mereka ditumpaskan dengan mudah oleh Tok janggut.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau di isytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram atau Tun Ahmad sebagai Raja. Haji Said menjadi Timbalan Perdana Menteri, Penghulu Adam menjadi Syahbandar dan Ishak menjadi Ketua Daerah. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Pihak Inggeris telah menghasut dan melaporkan kepada Sultan bahawa Tok Janggut dan rakan-rakannya telah memberontak dan sedang menuju ke istana bagi merampas takhta. Pihak Inggeris turut menghalang Tok Janggut daripada menghantar utusan bagi menerangkan perkara sebenar kepada Sultan. Sultan Muhammad IV sangat murka terhadap Tok Janggut dan rakan-rakannya yang dianggap oleh Baginda sebagai orang yang menderhaka. Baginda telah mengeluarkan titah sesiapa yang dapat menangkap salah seorang daripada Engku Besar Tun Ahmad, Tok Janggut, Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam akan diberi wang hadiah sebanyak RM 500.00. Harta benda Tok Janggut dan rakan-rakannya akan dirampas dan rumah mereka akan dibakar. Setelah mendengar titah tersebut, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menetapkan tidak mahu menyerah diri dan telah bersiap sedia dengan membuat sebuah kubu di Kampung Saring yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut.
Apabila Sultan Muhammad IV mendengar persiapan perang Tok Janggut, Baginda telah bermesyuarat dengan pembesar negeri termasuk juga Penasihat British dan mesyuarat telah mengambil keputusan untuk meminta bantuan kerajaan Inggeris untuk menghadapi ancaman Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya.
Ada juga di antara pakar sejarah kita yang cuba membuat kesimpulan bahawa motif utama penentangan Tok Janggut ialah kerana inginkan pangkat dan kuasa,malah penentangannya adalah secara setempat dan merupakan satu siri pemberontakan terpencil dan bukan menyeluruh juga tidak tepat.Ini adalah kerana pada waktu itu umur beliau sudah memasuki usia senja iaitu 65 tahun.Lagipun tawaran serta ganjaran wang RM500.00 pada tahun 1915 adalah satu ganjaran yang cukup lumayan jika kita bandingkan nilainya pada masa kini.Apalah gunanya Tok janggut berjuang menghabiskan sisa sisa kudratnya semata-mata untuk mendapatkan pangkat dan nama pada umur 65 tahun itu sedangkan kita tahu tugas dan amanah gurunya Sheikh Wan Ahmad semasa di Makkah yang dipikulnya untuh membebaskan Patani serambi Mekah adalah satu perjuangan jihad dan sememangnya itulah cita-cita terakhir perjuangannya.
Apakah perjuangan Tok Janggut ini adalah perjuangan peringkat kampung atau dia hanya seorang jaguh kampung dan sifatnya terpencil sedangkan Inggeris telah menghantar tenteranya dengan satu kapal perang yang lengkap dengan segala persiapan perang dari Singapura.Cuba-cubalah kita fikirkan bersama mengapa British mengarahkan kapal H.M.S Calmus mengawal Kuala Semerak. Mengapa harus mengawal perairan? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghalang bantuan asing tiba.Pada pendapat anda dari manakah bantuan asing itu akan tiba?.Jika kita kaji sejarah,ada dicatatkan bahawa Sultan Muhmmad IV juga pernah mengatakan bahawa tentera Jerman mesti menang dalam peperangan dengan British.Apakah makna tersirat disebalik kata-kata Sultan itu?.Bukankah tentera Jerman adalah sekutu Turki?.Maka dapat kita simpulkan disini bahawa Sultan Kelantan sebenarnya waktu itu menyokong Turki dalam diam-diam.Sebab itulah Inggeris tidak percaya dan meragui Sultan untuk menangkap atau membunuh Tok Janggut,lalu mereka menghantar pasukan tentera mereka sendiri dari Singapura untuk menghapuskan Tok Janggut.
Malah, menurut Wells, ketika beliau sedang mengukur keluasan Sungai Kelantan dengan tujuan untuk membina stesyen kereta api di tebing sebelah Kota Bharu. Ketika itu, Sultan Terengganu mudik dari kuala ke Kota Bharu. Kapal Sultan Terengganu telah melanggar bot peralatan mengukur Wells dan salah satu bot yang digunakan terbalik meskipun Wells telah berusaha supaya kapal Sultan itu mengelaknya. Sultan Terengganu tersenyum sahaja ketika kapalnya bertindak demikian. Wells juga mengatakan yang Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu selalu bertemu dan kedua-duanya tidak menyukai British.Apakah maksud yang tersirat dari Perbuatan Sultan Trengganu itu?.Adakah dengan sebab itu Inggeris telah menghantar pasukannya untuk mengawal Kuala Semerak? Mungkin mereka takut Sultan Terengganu menghantar tentera mereka melalui jalan laut untuk membantu perjuangan Tok Janggut di Kelantan.Kesimpulanya,Tok Janggut bukan hero kampung sebenarnya,malah dia adalah seorang pejuang jihad yang mempunyai satu agenda besar di Nusantara ini untuk menentang penjajah.Beliau bukan orang sembarangan,kalau tidak, masakan amanat untuk membebaskan Patani Serambi Mekah oleh gurunya Sheikh Wan ahmad ketika di Makkah terpikul dibahunya.Dia sebenarnya adalah calon paling sesuai waktu itu,namun sayang perjuangannya itu tidak kesampaian kerana akhirnya Sultan dan pembesar negeri sendiri sudah termakan umpan dan hasutan penjajah.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan muslihatnya yang licik serta sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.
Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut. Beliau meminta Gabenor Singapura Sir Arthur Henderson Young menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura pada 17 Mei 1915.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk 100 orang tentera Sikh dan sukarelawan melayu. Setelah gagal sekali lagi untuk menemui Tok Janggut dan rakan-rakannya, askar tersebut telah mengambil tindakan merampas harta benda, membinasakan sawah padi serta membakar rumah penduduk di Jeram, Pasir Putih termasuk rumah Tok Janggut, Haji Said dan Ishak.Tindakan jahat itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut lalu mereka pun menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915. Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Askar Inggeris telah menyerang kubu tersebut yang menyaksikan pasukan Tok Janggut berjuang bermati-matian menghadapi serangan tersebut. Antara pejuang yang bersama Tok Janggut pada hari itu ialah Abbas Berani, Hassan Harimau, Awang Ngah dan Abdul Rahman Anak Kerbau. Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat.
Akhirnya askar Inggeris yang lebih terlatih dan berpengalaman serta lengkap dengan peralatan perang yang moden, berjaya menewaskan pasukan Tok Janggut. Tok Janggut sendiri telah gugur manakala Engku Besar Tun Ahmad, Haji Said dan Ishak telah melarikan diri ke Reman di Selatan Siam.Ada pelbagai versi atau cerita kematian Tok Janggut ini.Ada yang mengatakan bahawa rahsia kekebalan diri Tok janggut ini dibocorkan kepada penjajah iaitu beliau hanya boleh dibunuh pada waktu malam sahaja.Cerita ini benar atau tidak,saya pun tidak pasti.Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan,Tumpat Kelantan.
Inilah satu kebenaran sejarah perjuangan yang pahit.Penghinaan dan kebiadaban penjajah dan para pembesar negeri iaitu pengkhianat bangsa yang bersekutu dengan Inggeris telah memperlakukan jenazah Hj Mat Hassan atau Tok Janggut yang mati syhid itu sedemikian rupa.Gambarnya dirakam oleh penjajah dan di abadikan dalam perpustakaan mereka iaitu di Bodleian Library,Oxford University,UK ,telah dijadikan contoh dan bukti kehebatan kononnya mereka dapat menghapuskan musuh-musuh politik mereka di Nusantara.
Maka pada hari ini,genaplah 94 tahun Pejuang jihad Tok Janggut meninggalkan kita dengan sebuah perjuangannya yang belum selesai .Mei 1915 sebenarnya adalah bulan yang penuh gelora dan pemangkin kepada perjuangan menentang penjajah di tanah melayu ini sebelum kemerdekaan 1957.Bacaan Al-fatihah untuknya-Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.
[ sangtawal : Artikel diatas adalah hasil rumusan saya dari sumber-sumber diatas,ada perenggan yang saya copy paste-kan,ada yang saya tokok tambah sendiri dan ada yang saya tulis semula tetapi menjurus kepada kesimpulan yang sama.Mohon maaf kepada penulis asal.Apa yang penting disini ialah keinginan saya untuk membuat satu artikel lengkap berkaitan Tokoh hebat Tok Janggut ini semoga ianya menjadi satu sumbangan kecil saya buat agama dan bangsa , agar kita dapat menilai perjuangan sebenar Tok Janggut @ Hj Mat Hassan di Kelantan]
Wassalam
Sangtawal sakranta.
sumber: http://sangtawal.blogspot.com/2009/05/pendekar-sufi-siri-1-tok-janggut-hj-mat.html