Khamis, Jun 29, 2006

ISA

ISA ADALAH SATU BENTUK KEZALIMAN YANG JELAS KERANA SESEORANG YANG DITAHAN DISABITKAN KESALAHAN TANPA DIBICARAKAN DI MAKHAMAH. BGAIMANA JIKA YANG DITAHAN ITU TIDAK BERSALAH??DIMANA HAK MEREKA UNUTK MENDAPAT PEMBELAAN?? JAWAPANNYA "TIADA". BAGAIMNA JIKA PERKARA INI BERLAKU TERHADAP KELUARGA ANDA?ABANG?ADIK?SUAMI?AYAH?PASTI SEDIH BUKAN??DITAHAN TANPA BUKTI, DITUDUH SEBAGAI PENGGANAS, TETAPI TIDAK DIBICARAKAN. SEBARKAN KEPADA RAKAN2 SEKALIAN. SEDARKAN RAKYAT MALAYSIA BAHAWA ISA ADALAH SATU BENTUK KEZALIMAN TERHADAP RAKYAT.




Catatan seorang isteri tahanan ISA PDF
Fri | Jun 16, 06 | 03:56:43 PM
Oleh Norlaila Othman

Bahagian 1: 11 Jun 2006

"Assalamualaikum !"

Aku terdengar suara orang memberi salam. Aku keluar dari bilik menuju ke pintu.Sebaik saja pintu dibuka, aku terkejut dan tergamam melihat suamiku tersenyum memandangku.

"Abang, bila abang balik? Bila abang sampai? Abang , is this really you? Betul ke abang dah bebas?" Soalku bertubi-tubi.Pintu sudah terbuka, tapi grill masih lagi berkunci.

"Polis tu letakkan abang dekat bus-stop seberang jalan tu tadi, terpaksa abang jalan kaki sikit untuk sampai ke rumah… abang memang dah bebas …cepat la buka grill ni…abang dahaga la".

"Ok, ok, sabar ya. Ila sedang cari kunci grill ni…."

Aku kelam kabut mencari kunci rumah kerana disitu digandingkan sekali kunci grill. Puas ku cari, tapi tak jumpa juga. Sesekali ku melihat kearah suamiku yang sedang tersenyum.

"Abang, sorry ya, lambat sikit. Lupalah kat mana Ila letak kunci tu…tengah cari ni…." .

Semua tempat telah diselongkar, dalam beg tangan, atas meja, dalam laci …. namun kunci itu tak juga ditemui.Aku mula menangis.

"Abang, I'm so sorry.I really misplaced the keys, let me think of some other ways…." air mataku mula bercucuran .

Tiba-tiba aku terjaga!

Astaghfirullah al Adzim, bermimpi rupanya. But everything looked so real!! Memang dia sudah pulang ke rumah..Ya, aku memang menangis. Bantal ku juga terasa basah. Lantas aku baring semula, memejamkan mata, dengan harapan mimpiku bersambung, tapi….segalanya memang hanyalah sekadar mimpi.Akhirnya, yang terdaya aku lakukan hanyalah membiarkan saja deraian airmata yang turun dengan lajunya.

Kisah diatas adalah secuit dari ribuan kisah-kisah duka sepanjang suami ditahan di Kem Kamunting.Hingga saat ini,hampir 4 tahun lamanya ,sejak dia diambil dari rumah kami, dia tidak pernah pulang kerumah.

Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasaan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya, kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan airmata yang setia untuk mengubati rindu ini.

Trauma

Pada tahun pertama penahanannya dulu, mimpi yang dialami amat menakutkan. Peristiwa rumah ku dikunjungi 15 orang SB dan polis waktu tengah malam, sentiasa datang berulangkali dalam tidur ku.

Sejak hari pertama penahanannya, memang sukar untuk melelapkan mata. Sentiasa terbayang, bagaimana setiap bilik digeledah, suami digari , buku-buku , kitab-kitab ugama dan Quran terjemahan dikirai satu persatu untuk mencari bahan bukti.

Aku yakin, anak tunggal ku, Suhaib juga mengalami masaalah yang sama. Setiap malam beliau akan terjaga pada pukul 3 – 4 pagi dan menangis memanggil ayahnya.Pada masa itu, Suhaib berusia 8 tahun lebih. Dan yang lebih memeranjatkan, selama 2 tahun, Suhaib menyimpan sebatang besi panjang bulat sepanjang 3 kaki, dibawah tilamnya. Menurutnya, jika polis datang lagi kerumah untuk mengambil uminya, dia akan tikam polis itu dengan besi panjang tersebut!

Tidak dinafikan, mangsa penahanan ISA memang menghadapi trauma yang serius. Cuma, bagaimana masalah tersebut dapat diatasi, bergantung pada kekuatan minda dan juga sokongan yang diberikan oleh masyarakat pada mangsa tersebut.

Dalam hal ini, aku rasa bersyukur kerana mempunyai ramai teman dan kenalan yang bersimpati dengan masalah yang dihadapi. Namun kehidupan ku pada ketika itu hanyalah sekadar seorang isteri tahanan yang bekerjaya. Duniaku ketika itu hanyalah rumah dan tempat kerjaku.Tak pernah terfikir, aku akan melangkah ke satu dunia yang lain.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

GMI? Apa benda tu? Seumur hidup ,tak pernah dengar nama yang pelik tu. Sebelum ini, ada juga baca Harakah, tapi tak perasan pun ada perkataan GMI. Pertama kali mendengar nama itu disebutkan oleh seorang teman aktivis anti ISA, rasa semak perut rasanya. "Buat apalah nak sibuk-sibuk dengan GMI ni, sampai masa nanti suami kita tu akan dikeluarkan gak," begitulah komen seorang isteri tahanan ISA yang lebih 'senior' kerana suaminya ditahan 5 bulan lebih awal dari suamiku.

Bukan mudah untuk menguatkan minda bagi menghadapi hari-hari berikutnya tanpa insan bergelar suami. Rasa geram, marah, benci sentiasa meluap-luap di dalam hati. Ke mana hendak disalurkan semua perasaan tersebut? Nak marah pada anak? Dia pun sedang mengalami perasaan yang sama.

Akhirnya, aku ingin mencuba nasib mengikuti aktivis ISA bersama GMI. Pertama kali menghadiri sidang akhbar dan mesyuarat, aku rasa macam buang masa je. Buang masa menunggu! Menunggu kawan-kawan, menunggu wakil Suhakam, menunggu peguam, menunggu wartawan dan pelbagai menunggu lagi.Tapi, aku rasa agak pelik, kenapa aktivis ISA ni macam tak serik-serik menunggu ni?

6 Reformasi

Semasa aku menyertai GMI, semua orang pada masa itu sedang sibuk berkempen untuk 6 reformasi. Selalu aku rasa "out of place" je. Orang tak kenal kita pun. Nasib baik ada Nashita dan Kak Jije. Beberapa orang isteri tahanan reformasi 6 kata, aku macam kembar dengan Nashita. Ah, tak kisahlah.

Yang penting ada orang yang sudi nak bercakap dengan ku.Itu dah cukup baik! Bila Pak Abu @ Saari Sungib @ Abu Urwah dan 5 Reformasi lain dibebaskan, aku bertambah yakin, dengan berkempen dan menghebahkan kezaliman ISA, akan memberi peluang tahanan dibebaskan.

Sebelum ini, ada juga cakap-cakap orang mengatakan tindakan aktivis ISA berkempen ni macam "anjing menyalak bukit".Anjing jadi serak, tapi bukit tetap teguh! Tapi bila Pak Abu dan kawan-kawannya bebas, suara-suara sumbang itu hilang di angin lalu.

" A leading person"

Sejak dari saat Pak Abu dibebaskan, aku pula menjadi "leading person" untuk meneruskan tugas-tugas kempen ini kerana suamiku masih ditahan di kem. Sejak itu, aku menjadi tumpuan wartawan sama ada dari media alternatif dalam negara atau stesen radio dan TV dari luar negara. Secara automatik kehidupanku juga berubah. Dunia baru ini menuntut pembahagian masa yang lebih terutamanya untuk menghadiri mesyuarat atau pun sidang akhbar.

Walau sesibuk mana pun dengan dunia baru ini, aku bahagia. Kenapa? Kerana, aku dapat menyalurkan segala dendam dan marahku pada saluran yang sepatutnya. Aku dapat menyatakannya pada wartawan, aku dapat ruang untuk berceramah mengenai kezaliman ISA dan aku juga mula belajar menulis pengalaman dizalimi ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang kekurangan maklumat tentang kekejaman ISA.

Dua tahun ke-2

Sewaktu suamiku telah tamat 2 tahun pertama, dan kemudian disambung 2 tahun berikutnya, aku sudah dapat menerima sebarang kemungkinan pelanjutan penahanan itu.

Pada 2 tahun pertama penahanan suami ku, ada juga suara-suara yang mengatakan, " ..agaknya, suami Cikgu Laila tu memang betul-betul pengganas kot, manalah dia tahu apa yang suami dia buat. Ya lah, di rumah, dia memang suami kita, tapi kalau di luar…. dia boleh jadi apa saja," panas juga hati ku mendengar kata-kata itu.Tapi apakan daya, sabar ajelah.

Bila penahanan suami bersambung pada 2 tahun berikutnya, kerja saya bersama GMI bertambah banyak "Kerja" yang dimaksudkan ialah kempen-kempen yang dirancang dan dijalankan bersama aktivis yang lain semakin memuncak. Amat sukar untuk menilai kejayaan kerja-kerja bersama GMI ini .Kami sentiasa "berperang secara saraf " dengan ejen-ejen kerajaan seperti media, mahkamah , polis , Suhakam dan juga menteri.

Alhamdulillah, media Barisan Alternatif sentiasa memberi ruang pada GMI. Kami di GMI sentiasa memikirkan, bagaimanakah hendak menyampaikan maklumat tentang ISA ini dengan lebih berkesan pada rakyat, dan kemudiannya rakyat bangun memberi sokongan terhadap usaha kerdil kami ini.

Militan

Tanpa disedari, pejam celik-pejam celik, telah hampir 4 tahun suami saya ditahan. Selama 2 tahun kedua ini, saya rasa, tindakan saya lebih agresif lagi. Dalam jangka masa 2 tahun kebelakangan ini, sewaktu bertemu kawan-kawan, ramai sangat yang mencadangkan saya bertemu dengan Menteri atau lebih baik jika dapat berjumpa " Dollah Badawi" @ Mr PM..Semua cadangan itu saya terima dengan positif.

Setakat ini, saya telah bertemu 3 kali dengan Dato' Mohd Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dua kali dengan Dato' Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Wanita & Pembangunan Keluarga dan pada bulan Februari tahun ini, saya telah berjaya menemui Perdana Menteri @ Menteri Dalam Negeri..Semua tujuannya cuma satu, iaitu minta supaya suami dibebaskan.

Walaupun Perdana Menteri pernah mengatakan "Insya-Allah ", ketika kami tanya sama ada beliau akan membebaskan tahanan di Kamunting, namun hingga ke hari ini, tahanan masih tetap ditahan di Kemta.

Mereka akan dibebaskan hanya sekiranya mereka mengalami sakit tenat yang boleh membawa kematian.
Dan pada ketika ini, bila saya bertemu kawan-kawan, mereka hanya meminta saya bersabar dan banyakkan solat hajat. "Mana lah tahu, hati PM akan lembut dan seterusnya akan membebaskan semua tahanan di Kem," keluh mereka.

Terima kasih dengan segala peringatan itu. Saya sentiasa bermunajat, biarlah suami saya bebas sebagai insan yang mempertahankan haknya sebagai seorang muslim yang bebas mempraktikkan keimanannya.

Aku tidak mahu beliau dibebaskan kerana mencipta satu sejarah baru iaitu sebagai salah seorang militan ahli "Jemaah Islamiyyah: Dalam Islam tiada istilah militan sepertimana fitnah yang dilemparkan ke atasnya oleh orang-orang yang zalim itu.

Sebagai manusia biasa, ada ketikanya aku merasa "down" yang teramat sangat. Secara kebetulan, di saat seperti itu, ada pula suara-suara yang bunyinya macam orang putus asa saja bila mengingatkan saya " kita ni timun je, menteri tu pisau, kalau kita menggolek, kita yang luka, kalau kita digolek , lagilah hancur."Ah…terasa semakin " down' jadinya.

Alhamdulillah, setakat ini, kata-kata tersebut belum lagi melemahkan saya. Namun tidak dinafikan, sesekali aku terkejut juga dengan nasihat yang sedemikian yang datangnya dari orang-orang yang berpendidikan tinggi, tapi rupanya masih jahil dalam mengenali ISA ini.Untuk golongan ini, saya berdoa semoga Allah akan membukakan minda mereka agar berusaha mengenali kedurjanaan ISA ini.

12 Jun 2006-Genap 4 Tahun

Pada Isnin, 12 Jun ini, genaplah suami ku menjadi penghuni kem selama empat tahun. Ada kemungkinan tahanan akan dibebaskan di penghujung tempoh tersebut.Tapi kalau melihat keadaan di Kem , secara logiknya, peluang untuk bebas itu amat tipis, kecuali ada terjadi "miracle". Tahanan memang diperlukan untuk memastikan survival politik Menteri berkenaan.

Kadang-kadang bila difikirkan, pelik juga. Dah macam-macam dijalankan kempen, tapi kenapa susah sangat kumpulan "JI' ni nak dibebaskan? Angin yang bertiup dari Kementerian Dalam Negeri mengatakan, sukar untuk membebaskan tahanan ketika ini kerana Malaysia mendapat tekanan yang hebat dari Amerika.

Sama ada tahanan tersebut benar-benar pengganas atau tidak, sudah tidak timbul. Masalahnya sekarang, Malaysia terpaksa membuktikan bahawa di negara ini ada sekelompok "pengganas" yang sengaja disimpan untuk memuaskan nafsu Bush! Iye ke?

Bagiku, kenyataan ini bukanlah suatu yang baru. Sejak hari pertama penahanannya, aku mengesyaki, bahawa suamiku dijadikan "kambing hitam' oleh pihak berkuasa untuk memastikan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Washington, berada dalam suasana yang baik. Sampai hati betul pemimpin nombor satu di Malaysia, menzalimi rakyatnya sendiri hanya kerana ingin mengambil hati kuasa asing.

Atau, adakah pemimipin tersebut mendapat lebih dari itu?

Buat masa ini, aku dan Suhaib telah membulatkan tekad, sama ada dia bebas atau tidak, kehidupan wajib diteruskan dan kami akan terus memperjuangkan nasib semua tahanan ISA yang masih menghuni Kem Kamunting. Aku yakin, lambat laun, kezaliman akan dapat dikalahkan oleh keadilan dan kebenaran.Hanya masa yang menentukan segalanya.Lagi pun, kami berdua tidak akan rugi apa-apa kerana sepanjang kami dianiaya dan dizalimi, kami yakin, Allah akan menggantikan segala kesusahan itu dengan pahala yang tidak ternilai harganya.

Bagi mereka yang sedang menganiaya kami, amat kami yakini bahawa Allah yang Maha Kuasa akan memberi balasan yang setimpal dengan kezaliman yang sedang mereka lakukan ke atas kami. Hanya faktor masa yang akan menentukannya. Namun dimasa yang sama, kami amat berharap rakyat akan bangun untuk memberikan sokongan kepada kami, mangsa yang dizalimi ini.

Sekali lagi kami ulangi, jika tahanan ISA itu benar-benar salah, hadapkanlah ke mahkamah, kalau perkara itu pun tak sanggup dilakukan oleh pihak berwajib, lebih baik bebaskan saja semua tahanan itu sementara mereka masih bernyawa lagi.

-------------------------------------------------------------

BAHAGIAN 2 : 12 JUN 2006, 11.08PM

Petang tadi , saya menerima satu panggilan telefon dari suami yang masih berada di Kem Kamunting. Semang agak berdebar menerima panggilan darinya dan gerak hati saya dapat menjangka, pasti ada berita yang kurang menyenangkan bakal diterima. Saya pasrah dengan sebarang kemungkinan.

"Penahanan abang disambung 2 tahun lagi...." suaranya antara kedengaran dan tidak di hujung sana.Kemudian kami berbual beberapa minit sementara talian belum diputuskan oleh pihak Kemta.Tiba-tiba je saya rasa seram sejuk, macam nak demam.Saya beristighfar beberapa kali, kemudian membuat panggilan pada salah seorang teman GMI memberitahu mengenai pelanjutan tersebut untuk dimasukkan dalam press statement GMI keesokannya.

Saya cuba mencari kekuatan dengan menghantar SMS pada kawan-kawan yang rapat dengan saya.Dan orang pertama yang menghubungi saya ialah Nashita.Agaknya aura keresahan saya telah sampai padanya mendahului yang lain.Susah nak dinyatakan apakah perasaan saya ketika itu, tapi yang jelas, dah tak boleh nak menangis.

"Sorry to know the extension of your beloved husband.Allah knows better why diuji berterusan.Yang pasti, Al Quran ada sebut, ujian akan naikkan makam hambaNya yang sabar" - begitulah kata-kata SMS yang diterima dari salah seorang teman rapat saya.Kemudian berbelas-belas SMS lain masuk ke inbox handphone.

Semua kata-kata itu amat berharga, bermotivasi dan sedikit sebanyak mengembalikan semangat saya untuk berpijak dibumi nyata.Terima kasih pada semua.Semua pesanan itu umpama air sejuk yang menjadi penawar dan memadamkan api kemarahan disaat itu.

Saya terima semua ini sebagai ujian dariNya. Mungkin jika tidak diuji seperti ini, saya tetap akan diberi ujian yang lain, yang mungkin setaraf dengan apa yang sedang dihadapi sekarang.Ya, Allah lebih mengetahui hikmah sesuatu kejadian itu.

Saya selalu membayangkan bagaimanakah keadaan Hajar yang ditinggalkan oleh suaminya ditengah gurun pasir yang tandus, tanpa manusia dengan hanya bertemankan seorang bayi keci yang tidak mengerti apa-apa.Usaha Hajar berlari-lari anak menuruni bukit Safa dan Marwa untuk mendapatkan air bagi bayinya yang kehausan bukanlah sesuatu yang mudah... tidak dapat digambarkan kesukarannya ketika itu.

Ujian yang Allah beri pada saya tidaklah sehebat Hajar....beza, amat jauh bezanya , macam langit dengan bumi.

Saya reda dengan ujian ini, tapi saya tetap tidak redha dengan perbuatan insan lain menzalimi kami sekeluarga.Selagi ada nyawa, usaha mesti diteruskan, dan selebihnya saya serahkan pada Allah SWT untuk menyelesaikannya.Jika didunia hak kami dinafikan, maka kami akan tuntut segalanya diakhirat kelak.

Saya amat berharap mendapat sokongan yang berterusan dari anda semua.

Norlaila Othman
Aktivis GMI
Isteri Tahanan ISA
Mat Sah Bin Mohd Satray
2002 – 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sabar jelah...jangan lari dari tahanan nanti kena tembak.