Isnin, November 06, 2006

Hmmm..

Kelantan butik pertama Rado

KOTA BHARU 5 Nov – Keyakinan terhadap kuasa beli penduduk Kelantan menyebabkan The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd., baru-baru ini membuka sebuah butik jam mewah jenama Rado di Hotel Renaissance Kota Bharu di sini.

Pengurus Besar kumpulan itu, Bernard Yong berkata, apa yang perlu dibanggakan oleh penduduk negeri ini ialah ia merupakan butik Rado pertama di Malaysia.

‘‘Ini sekali gus meletakkan negeri Cik Siti Wan Kembang dalam senarai lokasi penting butik pembuat jam dari Switzerland di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembukaan butik itu adalah berasaskan kajian terperinci pihaknya serta keyakinan terhadap minat pelanggan di sini.

Katanya, butik berkenaan menyediakan pilihan pelbagai jam mewah berharga antara RM3,000 hingga RM10,000.

‘‘Saya yakin jenama Rado akan mendapat sambutan di Kelantan berikutan kuasa beli penduduk yang tinggi khususnya di kalangan peniaga,” katanya.

Menurut beliau, Rado kini menduduki tempat ketiga dalam kategori jam mewah bernilai antara RM3,000 hingga RM6,000 selepas Omega dan Longiness.

‘‘Ini berikutan keupayaannya menawarkan kualiti pembuatan jam pada harga amat kompetetif,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan pelaburan kira-kira RM200,000, pihaknya yakin butik di Kelantan akan menghasilkan keuntungan sebelum lebih banyak butik sama dibuka di seluruh Malaysia.

Difahamkan, selain Rado, lebih banyak syarikat menjual barangan berjenama berminat membuka cawangan di Kelantan khususnya di Kota Bharu berikutan kuasa beli penduduk yang tinggi termasuk pengedar kereta mewah Mercedes Benz.

Tiada ulasan: