Ahad, Mac 18, 2007

Agenda Tersembunyi

Lindungi pengguna daripada godaan kad kredit

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)

Sistem kad kredit dicipta di Amerika Syarikat (AS) di mana produk berasal dari sana menguasai pasaran hingga ke seluruh dunia pada hari ini.

Bank-bank di sana telah lama memikirkan cara mana untuk mengaut lebih banyak keuntungan dan daripada penyelidikan serta inovasi, sistem kad kredit inilah antara hasilnya. Bagaimana bayaran minimum ditetapkan, serta yuran dan cara mana promosi dilakukan adalah kesemuanya hasil daripada pemikiran lampias otak yang mendalam. Kesemuanya berasaskan terhadap kesedaran mengenai kelemahan manusia dari sudut psikologi berbelanja dan berhutang. Matlamatnya adalah untuk keuntungan besar institusi-institusi kewangan di sana.

Dalam keadaan ini, persatuan-persatuan pengguna serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan melindungi pengguna bangkit dan mempertahankan orang ramai daripada godaan kad kredit.

Tetapi persatuan-persatuan pengguna tidak berupaya melawan bank-bank besar itu. Bank-bank itu mempunyai badan-badan penyelidikan masing-masing untuk mencari jalan bagaimana hendak mengaut keuntungan daripada pengguna. Mereka juga tidak mahu pengguna jatuh bankrap. Ini kerana jika bankrap, pengguna itu tidaklah dapat menggunakan kad kredit mereka.

Maka mereka menubuhkan unit-unit penasihat kewangan bagi membimbing para pengguna kad kredit supaya tidak jatuh muflis, dan terus dapat menggunakan perkhidmatan bank serta selanjutnya meningkatkan lagi keuntungan institusi kewangan itu.

Persatuan pengguna juga menubuhkan unit-unit kaunselor dan nasihat mereka tetapi ia lebih menjuruskan kepada menghalang terus penggunaan kad kredit. Ini kerana secara keseluruhannya penggunaan kad kredit merugikan pengguna.

Bagaimanapun, pengguna tidak berupaya melawan godaan kad kredit. Ini kerana terdapat dua ciri sistem ekonomi kapitalis. Pertama, pengguna digalakkan berbelanja. Kedua, pengguna digalakkan berhutang. Barulah sistem ini dapat bergerak dan berkembang.

Sistem ini di mana bank juga adalah sebahagian daripadanya berkempen melalui iklan dan promosi besar-besaran. Sedangkan iklan dan kempen bagi melindungi pengguna tidak banyak kerana motivasi serta dana yang dimiliki oleh persatuan pengguna adalah terhad.

Dalam keadaan ini, muncul pula industri kaunselor kewangan swasta. Mereka menawarkan khidmat motivasi untuk pengguna supaya merancang kewangan ini. Industri ini juga besar. Kejayaannya adalah kerana pengguna tidak mampu merancang kewangan mereka apabila berdepan dengan godaan berbelanja.

Sudahlah kena keluarkan wang untuk berbelanja, dan ditambah lagi membayar caj-caj kredit, pengguna pula membayar lagi untuk mendapat nasihat kewangan. Begitulah sistem ini berfungsi.

Maka amalan menggunakan kad kredit juga sampai ke Malaysia dan mula luas digunakan pada tahun 90-an apabila penduduk negara ini ghairah dengan pelbagai produk kewangan, termasuk saham dan pelbagai jenis pinjaman.

Tetapi kini dapat dilihat betapa terdapat empat pinjaman yang hampir terpaksa dibuat oleh pengguna di negara ini. Pertama, pinjaman pelajaran. Kedua, pinjaman kereta. Ketiga, pinjaman perumahan. Keempat, pinjaman melalui kad kredit.

Dari mana inovasi-inovasi kewangan ini dicipta? Sudah tentu kebanyakannya dari AS. Termasuk produk yang memaksa kepada pinjaman itu. Umpamanya konsep pembinaan taman-taman perumahan teres dimulakan di AS. Ia dapat dijayakan melalui pinjaman. Malah kereta serta cara mana menggalakkan pembeliannya melalui pinjaman bank juga dicipta di AS. Sementara perkembangan kad kredit juga dikaitkan dengan pertumbuhan kompleks membeli-belah, semuanya ciptaan AS.

Manusia moden tidak akan bebas daripada hutang dalam keadaan seperti ini, lebih-lebih lagi melalui adanya kad kredit.

Apabila amalan kad kredit mula meluas di Malaysia, persatuan pengguna khususnya Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan tegas menolak penggunaannya. Ia tidak mempersoalkan sistem atau syarat, tetapi terus menolaknya secara mutlak.

Tetapi promosi kad kredit semakin agresif dan digalakkan. Sudah tentu persatuan pengguna tidak berupaya berlawan dengan bank-bank yang bajet iklan dan promosinya adalah besar. Akhirnya masyarakat akan menerima dengan mudah.

Pihak yang harus melindungi pengguna adalah Bank Negara kerana mereka mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan. Tetapi sudah tentu Bank Negara juga menjaga kepentingan industri bank. Malah hubungannya yang rapat dengan bank adalah lebih kuat daripada kaitannya dengan persatuan pengguna.

Mungkin ada baiknya sebahagian daripada keuntungan besar yang dikaut oleh syarikat-syarikat kad kredit itu diperuntukkan kepada kempen mengurangkan penggunaan kad kredit.

Akhirnya, pengguna menanggung semua. Ia terpaksa berbelanja untuk menggunakan kad kredit. Sebahagian daripada wang itu pula digunakan untuk mendidik diri sendiri supaya mengurangkan penggunaan kad kredit.

Tetapi komuniti bisnes akan menolak usaha mengurangkan penggunaan kad kredit. Ini kerana pengurangan penggunaan kad kredit akan menjejaskan perniagaan mereka. Jika perniagaan mereka terjejas, ekonomi juga terganggu. Ada yang tidak kena dengan sistem ini. Pengguna biasa terus terbeban, terhimpit dan terkapai-kapai di bawah bayangan bangunan-bangunan pencakar langit milik bank-bank.

Tiada ulasan: