Tahun 2005 berakhir dengan nota yang kurang menyenangkan. Apa yang saya maksudkan ini bukan kerana kegagalan bursa saham melonjak tetapi penangkapan hampir 500 anak-anak muda yang sedang merayakan pesta tahun baru di sebuah kelab muzik Paul's Place di Jalan Klang Lama. Mereka dikatakan sebagai penganut/peminat muzik genre Black Metal.
Saya telah memerhatikan dengan rapi laporan- laporan berita mengenai apa yang dipanggil pengikut dan peminat genre muzik Black Metal. Kali pertama dahulu agenda Black Metal ini ditimbulkan secara besar-besaran pada tahun 2002 oleh Doktor Siti Zaharah. Bekas menteri ini ketika itu sedang cuba mengembangkan kembali sayap politiknya yang telah patah. Black Metal telah digunakan sebagai peluru politik.
Semasa isu Black Metal ini heboh di media, saya berada di kem tahanan di Kamunting. Dua bulan sesudah berita ini tersebar luas, kami para tahanan di kem Kamunting telah menerima satu buku kecil tentang Black Metal. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam tentang bahaya pengaruh genre muzik ini terhadap anak-anak muda. Kami yang ditahan ingin disedarkan bahawa selain dari Kumpulan Mujahidin dan Jemaah Islamiah, Black Metal adalah satu lagi kumpulan yang sedang mengancam keselamatan negara.
Saya masih ingat lagi rentetan dari berita Black Metal ini terdapat satu berita yang melaporkan bagaimana Quran telah dikoyak-koyak dan ditaburkan di satu kawasan masjid di sebuah daerah di Kedah. Juga saya terbaca tentang bagaimana kambing hitam telah dikorbankan sebagai salah satu dari ritual untuk pengikut muzik genre Black Metal.
Bulan lepas berita Black Metal ditimbulkan kembali. Kali ini ada juga akhbar yang melaporkan bagaimana buku suci penganut agama Islam telah dikencingi. Tidak cukup dengan mengencingkan ayat-ayat suci ini, anak-anak muda pengikut genre muzik ini telah juga dikatakan mengadakan hubungan seksual di atas Quran.
Saya adalah seorang warga yang tidak percaya terhadap pekara-pekara yang dilaporkan ini pernah berlaku. Saya mungkin terpencil dan keseorangan. Tetapi dari ilmu dan pengamatan fikrah yang saya miliki, laporan- laporan media dalam negara ini semakin banyak yang tidak boleh dipercayai.
Cuba bayangkan apa kena mengenanya mengoyak dan terkencing di atas kitab suci Al- Quran. Apa sangkut pautnya perbuatan ini dengan genre muzik metal. Paling tidak masuk akal ialah mengadakan hubungan seks di atas Quran. Melakukan hubungan seks untuk saya adalah satu nikmat berahi. Tetapi terlentang atau terbaring dengan sebuah kitab di bawah badan pasti tidak selesa dan potong stim.
Saya juga memiliki buku The Perfumed Garden, kitab klasik kuno Arab yang ditulis Syeikh Nefzaoui seorang Kadi dari Tunisia. Kitab ini samalah seperti kitab klasik Kamasutra dari benua India yang telah menerangkan cara-cara dan teknik untuk melakukan hubungan seksual. Dari kedua-dua buah kitab ini tidak pula saya temui teknik melakukan hubungan seks di atas buku atau kitab. Atau saya yang telah berumur gagal menemui buku-buku teknik seks yang terbaru yang mungkin hanya dapat dibeli melalui e-bay.
Pada anggapan saya akhbar tabloid Melayu sengaja mengembar-gemburkan berita genre muzik metal ini dengan begitu sensasi sekali. Ini bertujuan untuk melariskan akhbar. Dua akhbar tabloid harian Melayu sedang bersaing hebat untuk membawa berita yang paling sensasi tetapi tidak bermakna. Ini tidak menghairankan kerana telah begitu lama mutu penulisan akhbar-akbar Melayu di Malaysia telah merosot. Malah kemerosotan penulisan dan tanggung jawab akhbar ini bukan hanya terjadi di Malaysia sahaja tetapi hampir di seluruh dunia.
Berita genre muzik metal ini sengaja di sensasikan untuk menakut-nakutkan ibu-bapa. Ibu bapa terutama ibu bapa Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar dan kampung- kampung pasti akan gempar apabila membaca berita Quran kena kencing atau Quran dikoyak- koyak.
Perkara ini berlaku hasil dari budaya sosio politik tanah air kita hari ini. Semua ini adalah manifestasi konstruksi sosial yang sedang dilakukan oleh dua parti Umno/Pas yang berteraskan Melayu/Islam. Kedua buah parti ini sedang cuba sedaya upaya untuk mengembangkan pengaruh keislaman dari sudut kepentingan politik mereka.
Pas dengan agenda Islam kepimpinan ulama dan Umno dengan Islam Hadhari. Kedua parti kini sedang berusaha sedaya upaya untuk melihatkan kepada masyarakat Melayu bahawa parti merekalah yang lebih Islam dari yang lain. Manifestasi perlawanan untuk membuktikan siapa yang lebih Islam akhirnya membawa bencana dan menyesakkan nafas budaya Melayu sendiri.
Genre muzik Black Metal ini samalah seperti Usama ben Ladin atau Zarkarwi yang telah digunakan oleh George Bush untuk menakut- nakutkan rakyat Amerika agar mereka terus menyokong rancangan kuasa imperialis Amerika untuk menakluki telaga minyak di Iraq. Apabila rakyat Amerika takut kepada pengganas Islam maka rakyat akan mencari perlindungan. Perlindungan yang terbaik ialah berdiri bersama menyokong agenda Bush melawan pengganas Islam yang dapat dilihat melalui wajah Usama.
Di negara kita orang-orang kampung dan orang Melayu perlu terus ditakut-takutkan. Orang yang takut amat susah untuk berfikir secara rasional. Orang yang takut juga akan memerlukan perlindungan. Perlindungan yang terbaik dari hantu yang menakutkan ini hanya dapat dilakukan oleh kerajaan yang berkuasa. Ini satu agenda politik.
Satu ketika dahulu komunis telah digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Kini pemimpin negara kita telah duduk semeja dengan Castro dan Putin maka komunis bukan lagi dilihat sebagai hantu. Negara komunis ini kini menjadi sahabat kita. Komunis adalah tempat kita berniaga, membeli senjata dan menumpang kapal mereka untuk naik ke angkasa.
Saya cukup yakin tidak ada seorang pun di antara para wartawan yang membuat laporan di akhbar-akhbar Melayu itu memahami apakah makna dan tradisi genre muzik Black Metal. Ini samalah seperti mereka tidak memahami apakah sebenarnya ideologi komunis. Pembacaan dan ilmu pengetahuan mereka cukup cetek. Rasa saya longkang di Kampung Kerinchi lebih dalam berbanding dengan daya pemikiran mereka.
Saya juga cukup yakin tidak ada para alim ulama yang mengetahui apakah bezanya Black Metal dengan Heavy Metal. Malah mungkin mereka ini tidak menyedari bahawa ahli falsafah Arab, Yaqub Ibn Ishaq atau Al-Kindi telah menulis 7 buah buku tentang muzik dan bunyi. Buku-buku ini masih menjadi rujukan untuk pemuzik hari ini. Oleh itu ini saya cukup yakin ramai dari para wartawan dan para ulama ini tidak akan dapat membezakan di antara Mozart dari sebuku sabun.
Anak-anak muda adalah golongan yang paling senang untuk diamuk dan disumpah seranah. Mereka juga amat senang untuk dijadikan punching bag, untuk propaganda politik. Sebagai musuh politik anak-anak muda senang ditundukkan. Ini kerana mereka tidak memiliki ruang demokrasi untuk bersuara menyatakan pandangan mereka. Mereka muda, tidak tersusun dan terpencar dalam pelbagai cara hidup. Dalam masa yang sama mereka masih lagi belum memiliki kekuatan ekonomi untuk bangun melawan seperti kaum guru atau kaum buruh.
Kerana semua ini saya meminta ahli-ahli agama, ahli akademik dan para wartawan Melayu/Islam; berfikir sejenak dan bertanya kepada diri mereka sendiri. Apakah mereka betul-betul ingin menghayati Islam dan betul- betul ingin menjaga kesucian Al-Quran. Jika ini yang mereka cita-citakan maka pada hemat saya adalah lebih baik mereka menterjemahkan agenda dari kitab suci itu. Tiga suku dari ajaran kitab suci ini adalah seruan dan tuntutan kepada penganutnya untuk melakukan kebajikan ke atas manusia. Agenda kebajikan inilah yang wajib dikembangkan oleh penganut Islam untuk umat manusia dan bukan hanya untuk orang Melayu/Islam.
Jika isu Black Metal ini berterusan maka marilah kita berfikir bersama. Masuk akal atau tidak tentang ritual mengorbankan kambing hitam yang sering dihebohkan oleh akhbar tabloid Melayu ini. Cuba fikirkan berapa harganya sekor kambing. Jika anak-anak muda ini tidak membeli kambing ini, pasti kambing ini dicuri. Berapa banyak kambing hitam yang telah dicuri. Berapa kali pihak polis telah menerima laporan. Atau sebenarnya isu Black Metal ini hanya satu isu untuk mengkambing hitamkan anak-anak muda yang semakin resah dengan orang-orang tua yang berkuasa hari ini terlalu sibuk dengan Black Money.
Jumaat, September 14, 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan