Teks Ucapan:
Bismillahir Rahmanir Rahim
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat
kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari
perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran
kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Maksud Surah An Nahl:
Ayat 90).
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera
Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri
Yang Amat Berhormat
Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang;
Yang Amat Berhormat
Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh
Menteri Besar Terengganu;
Yang Amat Berhormat
Dato' Haji Abdul Ghani Othman
Menteri Besar Johor;
YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berhormat
Menteri-Menteri Kabinet;
Yang Berhormat
Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;
Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Alhamdulillah. Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat
menghirup udara nyaman pada hari ini.
Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat
dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah
Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan.
Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian
keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T.
yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara
Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan
wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun
negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.
Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan
nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda.
Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni
memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi
syariat Ilahi.
Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan,
izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato' Seri Perdana Menteri.
YAB DatoĆ¢€™ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Tugas pemimpin laksana dasar Allah
Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya
dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas
mimbar masyarakat.
Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah
Allah kita disebut pemimpin dan rakyat.
Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar
Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan
dasar-dasar Allah.
Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan
dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang
saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan
terasa akan adanya perubahan baru.
Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan
pemimpin negara.
Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah
Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada
ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.
Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi "Dan Kami berfirman:
turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi
kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu
yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat
dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha
Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: "turunlah kamu
semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka
barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran
atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Surah
Al-Baqarah: Ayat 36 - 38).
Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur
gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam
selama 17 tahun sebelum ini.
YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,
Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada
terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan
perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini.
Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa
kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok
untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai
pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan
yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian
bumiputera.
Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi
sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri
Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000;
kira-kira 7 tahun yang lalu.
Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara
Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan
telah kita lalui.
Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk
diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa.
Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian.
Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat
kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai
projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan
perhatian.
Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi
Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER,
RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di
Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan
jumlahnya.
Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh
menjangkau Rancangan
sebelas.
Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita
perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas.
Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan
yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh
kumpulan sasar.
Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan.
Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari
bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan
unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan
lain-lain komoditi yang utama.
Realiti dan waqi' persekitaran yang berubah ini biasanya akan
menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang
realistik itu dapat diisytiharkan.
Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi
sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar 'satu lagi
pelan'. Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia
mengasyikkan:
Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba
Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat
menghasilkan kenyataan.
Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang
dalam ratusan bilion ringgit.
Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi.
Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh
menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling
runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara
musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni.
Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER
YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,
Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita
masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang
kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.
Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana
pertumbuhan ekonomi negeri.
Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun
lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai
Senok.
Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk.
Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun
memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak
bumi.
Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan
tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala
ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan
dengan bahan semahal ini.
Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat
'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam
pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini.
Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami
dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa
didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh.
Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz".
Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh
dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu
diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.
Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak
al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.
"Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang
dijanjikan bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).
Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah
meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan
Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas
di Joint Development Area (JDA) dengan
pesisir pantai Kelantan.
Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi
pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri
dan membuka peluang pekerjaan.
Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita
mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.
Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama
untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama.
Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani
persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun
1996 dahulu.
Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah'
yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini.
Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam
YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.
Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat
Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk
memberikan sedikit peringatan.
Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar
kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan
roh.
Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan
pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis,
adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya
Neraka.
Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi
dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman
berzaman.
Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan,
maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.
Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah
manifestasi kekacauan fikrah.
Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah
dirangka oleh negara selama ini.
Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam
Untuk itu, mari kita
memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia
untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras
dengan prinsip asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan.
Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep
'Membangun Bersama Islam', berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul
hasanah.
Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua
orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi
kepada Allah S.W.T.
Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam
kesedaran ketuhanan.
Kami juga memuatkan prinsip mas'uliyyah yakni bekerja dengan penuh
sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya
akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa.
Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk
menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang
terbaik.
Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang
merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan
ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan
kepada Allah Robbuljalil.
Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr),
alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER
ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.
Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan
kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang
bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR,
undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati
dalam kekeliruan.
Di
menyalah "maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin
kepada pengikutnya" sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam
Al-Quran Nul Karim. (Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah
Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).
Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan
diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini,
saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran.
Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian. Apa
erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti "halal hub" atau Jelapang
Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat
batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih
singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini.
Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan
YAB Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam
ikatan konsep persekutuan.
Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu
sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil
mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.
Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami
dengan penuh keterbukaan.
Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur.
Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga.
Kadang-kadang, ya. Terasa juga.
Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu
Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di
majlis yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri. Apapun jua,
syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih
kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis
pelancaran ini.
Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan