Isnin, Mac 22, 2010

Bila hati dah berkarat

Formula besi jadi berkarat ialah Fe + H20 + 02= Fe203, ceh macam betul jer, dulu subjek kimia aku dapat C jer.

Kalau besi berkarat boleh dikilatkan dengan autosol, kalau skru ketat berkarat boleh sembur dengan WD40, bagaimana hati boleh menjadi berkarat dan bagaimana nak mengilatkannya semula?

Dosa yang dilakukan dan kelalaian dalam mengingati Allah akan menyebabkan hati menjadi berkarat. Hati yang rosak ini akan menyebabkan diri manusia itu semakin jauh dari Allah dan semakin tersesat dari jalan yang benar.

Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya hati-hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air. Seorang sahabat telah bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati itu bersinar kembali?” Maka jawab Rasulullah, “Banyakkan mengingati maut dan membaca Al Quran.” Riwayat Baihaqi dari Ibn Umar.

Rasulullah bersabda :
“Seseorang yang tiada mempunyai sebarang ayat(Al Quran) pun dalam hatinya adalah seumpama sebuah rumah yang kosong. ” Riwayat At Tirmizi.

PETUNJUK RASULULLAH APABILA MERASA SUSAH DALAM URUSAN

Dalam kitab Jami’ At Turmudzi disebut hadis dari Anas ia berkata:
“Sesungguhnya apabila Rasulullah merasa susah kerana sesuatu urusan maka baginda mengucapkan: Yaa hayyu yaa qoyyum, birahmatika astaghisu..”

Ibn Abbas berkata Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa membiasakan membaca istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya keringanan dari kesusahannya dan jalan keluar dari kesulitannya serta diberiNya rezeki dari jalan yang tak terduga. ” Riwayat Abu Daud.

Disebutkan juga bahawa Rasulullah segera mendirikan sembahyang apabila baginda mengalami kesusahan.

BAGAIMANAKAH CARA MENGHAPUSKAN DOSA DAN MENINGKATKAN DARJAT?

Rasulullah bersabda:
“Mahukah aku tunjukkan kepadamu hal-hal di mana Allah menghapuskan dosa-dosamu serta mengangkat darjatmu? Para sahabat menjawab: Baiklah ya Rasulullah: Sabda Rasulullah: Menyempurnakan wuduk, menghadapi segala kesusahan, memperbanyak langkah menuju ke masjid serta menantikan solat setelah solat; itulah perjuangan. Itulah perjuangan!

Tiada ulasan: