Artikel ini depetik dari Utusan Malaysia 31 hb Mei 2006. Kalau benar la begitu sikap dan respons generasi baru kepada seorang orang lama. Memang mereka patut dipersalahkan dan insaf bahawa ada sesetengah benda tidak boleh ditolak ansur. Seperti penerbitan Lelaki Komunis Terakhir itu sendiri. Hormatilah para pejuang kita. Biar orang kata aku kolot, tp aku tak menyokong benda yang salah. LKT patut ditayangkan dulu secara terhad untuk mendapat respons menyeluruh sblm diharamkan.barulah adil kepada smeua. Hayatilah....
Jurang generasi dalam melihat sejarah
Oleh DATUK MOHMAD SHAID TAUFEK
SEORANG tua yang duduk berhampiran sekumpulan anak muda di warung kopi itu mendengar dengan serius perbincangan mereka yang ghairah untuk mengadakan drama dan menganjurkan filem-filem menggunakan heroisme pejuang-pejuang ideologi komunisme masa lampau.
Mereka yakin ia akan mendapat sambutan hebat kerana dalam perjuangan tersebut terdapat banyak aksi yang mengagumkan.
Orang tua itu merasa jelik, langsung menyampuk: “Sia-sia sahajalah kerajaan dan media berbelanja berjuta-juta ringgit setiap tahun mengingatkan kembali peristiwa-peristiwa menyayat hati tatkala negara dilanda ancaman keganasan komunis dahulu.
‘‘Kamu semua hanya menganggapnya sebagai satu hiburan sahaja. Generasi kami menderita disebabkan petualang pengganas komunis itu. Sekarang kamu hendak jadikan mereka hero, kamu dewa-dewakan mereka!
“Ya, engkau semua hidup senang dan mewah sejak dilahirkan hingga kini. Semua keperluan serba cukup. Berlaku sedikit sahaja masalah maka riuh rendahlah Parlimen mendebatkannya; lalu berkejarlah pelbagai jabatan kerajaan memberikan perkhidmatan dan bantuan. Tapi kau orang pun tak maju juga. Kalau boleh semua hendak senang dan dibantu.”
Orang tua itu meneruskan lagi: “Engkau tidak pernah merasa lapar yang berpanjangan, sakit yang tidak mendapat rawatan, terkena kudis buta yang busuk, hanyir dan gatal itu. Engkau tidak pernah diancam maut hanya kerana bekerjasama dengan kerajaan.
‘‘Engkau tidak pernah terperangkap di tengah-tengah insiden tembakan antara pengganas komunis dengan anggota keselamatan.
“Engkau tidak pernah merasa makan ubi kayu berbulan-bulan lamanya; berjalan kaki ayam sahaja; pakaian hanya sehelai sepinggang.
Seorang daripada kumpulan muda itu menjawab: “Pak cik tahu apa!” Seorang lagi segera berkata dengan sinis, “Pak cik dulu sekolah sampai darjah berapa?” Seorang lagi mencelah, “Zaman pak cik sudah berlalu. Ini zaman moden, zaman kemajuan. Kita bercakap tentang seni. Senilah pak cik, tahu tak? Ini zaman kami. Zaman penderitaan dulu itu adalah nasib Pak Cik dan orang-orang seperti pak cik. Kami mewah, senang; itu nasib kami kenapa Pak Cik minta dilahirkan pada zaman itu!”
“Terima kasihlah anak-anak semua,” jawab orang tua itu. “Engkau orang memang bernasib baik, dapat bersekolah hingga tinggi-tinggi dan ada yang ke luar negara dan menjadi terlalu pandai hingga menyanjung tinggi pemikir-pemikir Barat yang kononnya hebat hendak membetulkan dunia dengan teori-teori besar. Wahai anak-anak muda, pandanglah jauh-jauh dengan mata hati. Biar buta mata, jangan buta hati.”
Orang tua itu berkata lagi, “Teori-teori itu tampak begitu kukuh dan meyakinkan. Sudahkah diperiksa penghujungnya? Tidakkah engkau sedar akhirnya berjuta-juta umat manusia dibunuh dan terbunuh kerana mempertahankan ‘idea-idea besar’ itu?
Ketika itu di negara-negara Soviet, China, Indochina dan di rantau Asia Tenggara, termasuk di negara kita sendiri, kesannya sama sahaja - penganiayaan dan penderitaan! Masalah kemiskinan, kemunduran dan gejala sosial di negara-negara tersebut masih juga kekal hingga kini!”
Penderitaan
“Kekejaman yang berleluasa itu engkau katakan hebat! Engkau dewa-dewakan pelopor-pelopornya dan mahu menghidupkan semula watak-watak gila kuasa itu sebagai satu seni persembahan yang agung! Engkau semua ini adalah opportunist yang menghambat populariti atas penderitaan orang lain. Sungguh menjelikkan!”
Bagaikan tidak puas, orang tua itu meneruskan lagi leterannya, “Engkau telah mempersenda, menzalimi dan menghina datuk nenek engkau sendiri yang telah berjuang bermandi darah dan menyabung nyawa mengharungi keseksaan yang amat pedih dan perit itu atas nama seni! Atas nama kebebasan ekspresi! Aku amat kecewa kerana orang pandai seperti engkau semua ini hanya pandai mengikut arus stail dan gaya pemikir-pemikir murahan yang bertopengkan kebijaksanaan hebat! Tinggi hanya pada peringkat persekolahan, tetapi cetek pada pemikiran dan miskin pada jiwa!”
“Minta maaf pak cik,” kata seorang daripada mereka dengan nada marah. “Apa yang pak cik sibuk-sibuk ini? Ini hal kami. Apa fasal pak cik masuk campur?”
Orang tua itu menjawab, “Ya, ini memang hal engkau. Tetapi engkau semua yang berpelajaran tinggi ini adakah lahir sendiri, besar sendiri, dan hidup sendiri? Hak peribadi dan kebebasan konon! Lupakah engkau terhadap asal usul engkau? Engkau ada hak, orang lain pun ada hak juga! Hak engkau berdasarkan prinsip apa?”
Dengan sinis dia berkata lagi, “Kasihan kubur ibu bapa dan datuk nenek pun kita ziarahi setiap tahun, mengapa? Jangan lupa rangkaian ini ada pusingannya. Sampai masanya kita pula akan diziarahi. Jangan sampai mulut disumbat dengan pisang, punggung dikait dengan duri pun engkau tidak sedar!”
“Assalamualaikum!” kata orang tua itu dengan rasa marah dan kesal sambil segera berlalu meninggalkan tempat itu.
p/s: Kita perlu bersikap terbuka dlm sesetengah aspek, bukan semua. Adakah Chin Peng menjadi hero dlm filem dokumentari itu? tidak kan? so jangan erlalu sensitif. Kepada generasi baru, jangan ingat korang dah cukup pandai. Korang tak merasa keperitan yg diterima oleh generasi sebelumnya sblm korang mengecap apa yg ada sekarang.
Rabu, Mei 31, 2006
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
as'kum
yer benar sebenarnya byk sejarah kita..yg tidak diketahui..tiada dlm buku teks sekolah.
kenapa??
kerana sejarah yg betul/benar boleh membangkitkan revolusi.. jadi sesetengah sejarah telah menjadi taboo di negara ini
Catat Ulasan