Jumaat, September 22, 2006

Menyanggah sekularisme sebagai pandangan hidup

Menyanggah sekularisme sebagai pandangan hidup

Oleh MD. ASHAM AHMAD


TIDAKLAH mengejutkan apabila jawapan balas kepada artikel saya (Debunking Multiculturalism, dalam akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini) datang daripada seorang ahli teologi Kristian, Ng Kam Weng, dari Kairos Research Centre.

Dan tiada apa yang mengejutkan bagi seorang ahli teologi Kristian masa kini mempertahankan sekularisme. Ia hanya mengingatkan kita kepada nama-nama seperti Harvey Cox, Paul Tillich, Karl Barth, Reinhold Niebuhr, dan ramai lagi.

Kam Weng dalam jawapan balasnya tanpa berselindung menyatakan bahawa pandangan hidup sekular sepatutnya menjadi dasar perpaduan kebangsaan, bertentangan dengan pandangan saya, pandangan hidup agama. Pada pandangan beliau, pandangan saya itu mengandaikan wujudnya suatu agama yang dominan, yakni Islam, sesuatu yang dianggap ‘tidak perlu’ dan ‘langkah mundur.

Kam Weng tidak bersetuju kerana beliau enggan menerima ketuanan Islam dalam negara ini. Sebaliknya beliau mencadangkan kita semua menganuti sekularisme, yakni satu ideologi yang bukan sahaja asing bahkan bertentangan dengan Islam.

Pada dasarnya saya dan Kam Weng menyeru ke arah perpaduan kebangsaan tetapi di bawah sepanduk yang berbeza: Saya, pandangan hidup agama; Kam Weng, pandangan hidup sekular. Kam Weng fikir beliau benar kerana sejarah kita, bagi beliau, bermula pada 1957; dan saya fikir beliau salah kerana sejarah kita, bagi saya, bermula ratusan tahun sebelum itu lagi.

Pada hemat saya, dengan menyebut 1957 Kam Weng telah memberikan jawapan kepada soalan saya: “...sejak bila pandangan hidup sekular menjadi pandangan hidup kita semua?” Bagaimanapun beliau tidak menyatakan dengan jelas jawapan kepada pertanyaan: “...siapa kata?” Namun, bagi pembaca yang bijaksana, jawapannya amat jelas sekali.

Kam Weng menyarankan saya mengambil sikap merendah diri dan belajar daripada pengalaman sejarah, bukannya menghukum dengan sinis. Bagi beliau konflik-konflik yang sedang berlangsung di Asia dan Afrika menuntut kepada suatu bentuk penyelesaian seperti yang dicapai oleh Perdamaian Westphalia.

Bagi saya inilah yang dinamakan eurocentrism: Suatu bacaan songsang terhadap peristiwa-peristiwa semasa daripada seseorang yang percaya bahawa masyarakat Barat adalah yang paling maju dan murni daripada segala masyarakat manusia. Yang lain-lain sentiasa tertinggal di belakang dalam suatu proses evolusi yang telah ditentukan kesudahannya. Mereka tidak dapat mengelakkan mengalami apa yang Barat telah alami sebelum ini. Oleh itu segala kesimpulan yang telah mereka buat juga tidak boleh kita nafikan kebenarannya.

Teras kepada hujah saya ialah apa yang saya anggap fakta sejarah bahawa ‘sekularisme’ sebagai suatu ideologi, dan ‘sekularisasi’ sebagai suatu proses adalah suatu fenomena yang berkenaan dengan budaya dan tamadun Barat, yang mana agama Kristian adalah salah satu unsur utama.

Perdamaian Westphalia yang ditandatangani pada 24 Oktober 1648 sebenarnya merupakan persempadanan semula peta Eropah berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui sebelumnya dalam Perdamaian Augsburg, di mana agama seseorang itu ditentukan oleh wilayah yang didiaminya.

Selama 30 tahun, gerombolan tentera dari seluruh pelosok Eropah menjarah bumi Jerman, membunuh, merogol, membakar, merampas, menyebabkan kebuluran dan penyakit. Menjelang 1640 bandar-bandar di Jerman musnah binasa, kampung dan ladang ditinggalkan, dan jalan-jalan musnah. Para penduduk yang kelaparan terpaksa memakan anjing dan kuda, bahkan mayat manusia.

Itulah keadaannya apabila pihak-pihak yang bertelagah memulakan perundingan untuk menghentikan peperangan, yang akhirnya membawa kepada perdamaian. Apa yang dicapai itu bukanlah sebenarnya ‘tolak-ansur’, kerana hakikatnya pihak-pihak yang berperang pada sudah tidak mampu lagi meneruskan peperangan agama yang tidak nampak kesudahannya.

Hanya pada 1962, pada persidangan Majlis Vatican Kedua, golongan bukan Katolik dapat melihat dokumen-dokumen yang menyatakan penamatan permusuhan gereja Roman Katolik terhadap agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain.

Apakah sebenarnya pengajaran yang kita peroleh daripada reformasi, perang agama, dan Perdamaian Westphalia? Jawabnya, semua itu adalah masalah Kristian Barat dan masyarakat Barat. Daripada pengalaman mereka ‘agama’ bererti ‘penindasan’, dan pengalaman mereka langsung tiada kena-mengena dengan kita.

Bagi orang Barat, Reformasi adalah peristiwa yang paling besar yang berlaku sebelum kemunculan zaman moden. Reformasi telah membinasakan ketuanan kasta tertentu terhadap institusi kepaderian dan memindahkan fungsinya kepada individu. Gereja, walaupun tidak binasa sepenuhnya, mula kehilangan pengaruh terhadap orang ramai.

Hari ini gereja terpaksa membuktikan dirinya bagi terima oleh manusia moden sekular. Demi untuk memuaskan kehendak manusia hari ini dogma-dogma agama yang selama ini diterima benar kini perlu difikirkan semula atau diberikan rupa baru. Para ahli teologi Kristian kini mengakui tugas utama mereka pada hari ini ialah memberikan justifikasi terhadap agama Kristian, kerana paksi pemikiran manusia telah berubah daripada soal kesejahteraan akhirat (syurga dan neraka) kepada soal keperluan dan kegunaan agama dalam kehidupan dunia.

Bagi ramai ahli teologi dan pemimpin gereja penyebaran sekularisasi bukanlah perkara baru, dan ia tidak semestinya buruk. Justeru, peristiwa-peristiwa yang membawa kepada keruntuhan institusi agama dan idea-idea yang berkaitan dengannya kini ditafsirkan sebagai perbuatan Tuhan sendiri dalam sejarah. Sekularisasi, oleh itu, bukanlah ancaman kepada agama Kristian, sebaliknya pemberian Tuhan kepada manusia kerana ia berakar umbikan ajaran Injil sendiri.

Semua ini dinyatakan bagi memperbetulkan kekeliruan

Tiada ulasan: