petikan berita harian
25 julai 2005
Penduduk tak sangka pelajar pengotor
SAYA ingin menegur sikap segelintir penyewa terutama pelajar universiti berhampiran di kawasan perumahan Bukit Beruang, Melaka yang tidak menghiraukan soal kebersihan. Longgokan sampah-sarap sentiasa menghiasi depan rumah masing-masing.
Ramai yang tidak menggunakan beg plastik hitam untuk membungkus sampah-sarap. Sebaliknya semua sampah dicampak terus ke luar rumah. Tidak malu agaknya mereka melihat tong sampah terbalik dengan segala isinya bertaburan sebelah pintu pagar rumah masing-masing.
Malah di laluan jalan kaki dari kawasan perumahan ke Universiti Multimedia (MMU) yang berhampiran juga banyak bertaburan sampah-sarap. Sebahagian pelajar itu nampaknya macam tidak peka mengenai kebersihan, malah tidak ambil peduli langsung.
Kalau tengokkan gaya mereka berpakaian memang kita tak sangka yang mereka itu pengotor. Harapkan gaya saja yang nampak gempak, cute dan lawa tapi sanggup hidup di kelilingi bau busuk dan sampah-sarap berselerak.
Saya tinggal di kawasan perumahan berkenaan sejak 1990. Pada masa itu kawasan berkenaan tenang dan selesa didiami. Namun selepas 15 tahun berlalu, ia berubah wajah dengan pembangunan yang amat pesat.
Kawasan ini sudah menjadi bandar universiti yang dihuni beribu pelajar pelbagai bangsa. Berbanding pelajar Kolej Komuniti, pelajar MMU jauh lebih ramai menghuni Bukit Beruang. Khabarnya majoriti pelajar MMU datang daripada keluarga berada. Masing-masing ramai yang berkereta dan bergaya menarik.
Soal pengotor satu hal, seperkara lagi ialah soal bising. Tidur saya selalu terganggu dengan deraian ketawa segelintir pelajar yang suka berembun di jalan raya. Suara mereka bergurau dan ketawa mengilai jelas dan lantang kedengaran di bilik tidur saya.
Biasanya waktu itu sekitar jam 2 pagi. Khabarnya di Bukit Beruang ini pernah berlaku pertengkaran di antara keluarga berkelamin yang berjiran dengan pelajar. Mereka membuat bising secara keterlaluan sehingga anak jiran tidak boleh tidur. Selepas kena tegur biasanya mereka berhenti sekejap tetapi tak lama kemudian ulang tabiat memekak itu lagi. Akhirnya keluarga berkelamin itu menjual rumah mereka dan berpindah ke tempat lain.
Kalau tidak kerana petugas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang datang membersihkan segala kotoran mereka itu secara berkala, mungkin sebahagian kawasan kediaman di kawasan ini sudah lama menjadi tapak pelupusan sampah-sarap.
Lilac,
Bukit Beruang, Melaka.
P/S: Tailo..tolong sound skit bebudak ko tu..hehehe
Selasa, Julai 26, 2005
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan