Rabu, Januari 04, 2006

Putar Belit Lagi...

Serbuan bukan kerana Black Metal


KUALA LUMPUR: Serbuan polis terhadap sebuah kedai di Jalan Klang Lama, di sini, pada malam sambutan tahun baru Sabtu lalu dilakukan selepas pihak berkuasa mendapati sesetengah pengunjungnya disyaki menggunakan dadah ketika berhibur.



Harian Metro difahamkan, serbuan yang menahan 380 pengunjung pesta muzik itu juga dilakukan polis selepas penganjurnya tidak mempunyai permit sah untuk menjalankan acara hiburan.

Berikutan itu, polis terpaksa mengambil tindakan dengan menahan semua pengunjung untuk menjalankan siasatan dan menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata polis mempunyai kuasa untuk menahan dan menyerbu mana-mana kedai yang disyaki menjalankan sebarang kegiatan melanggar undang-undang.

Menurutnya, serbuan terhadap dewan yang disewa khas untuk dijadikan tempat hiburan bagi menjalankan pesta muzik itu dilakukan sama seperti pemeriksaan terhadap disko dan pub.

“Kami bukan serbu kedai itu kerana mereka berhibur dengan muzik Black Metal tetapi penganjur hiburan terbabit tidak mendapat permit yang sah.

“Selain itu, mereka juga berada di bawah pengaruh alkohol dan disyaki menggunakan dadah ketika berhibur,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, polis mengikut prosuder sah iaitu membawa balik semua pengunjung ke balai untuk menjalani ujian air kencing.

Beliau berkata, dalam ujian air kencing yang dilakukan terhadap mereka, lapan pengunjung dikesan menggunakan dadah jenis ganja.

“Kami juga menahan seorang lelaki yang juga penganjur pesta berkenaan dan empat lagi kerana memiliki bahan cetak yang dilarang,” katanya.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 15 Januari ini,” katanya.

Katanya, muzik yang dimainkan pada malam itu juga terlalu kuat dan polis tidak menyangka terdapat 380 pengunjung berkumpul di situ sedangkan dewan dianggarkan hanya boleh memuatkan sekitar 100 orang.

“Black Metal atau tidak, serbuan tetap dilakukan kerana situasi pengunjung di situ selain pihak penganjur gagal menunjukkan permit,” katanya.

Dalam serbuan itu, seramai 380 remaja berusia lingkungan 15 tahun hingga awal 20-an itu ditahan sewaktu menyertai satu konsert haram sempena sambutan tahun baru.

Ketika ditahan semua anggota kumpulan remaja termasuk hampir 100 wanita berpakaian serba hitam dan kebanyakan mereka adalah pelajar.

Bagaimanapun, kumpulan remaja yang ditahan itu menafikan mereka pengikut aliran Black Metal tetapi pengamal muzik bebas.

Wakil kumpulan itu, Mohd Iskandar Zulkarnain, berkata mereka sentiasa mengamalkan cara hidup positif dan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

“Daripada 380 yang ditahan hanya lapan dikatakan positif dadah, maknanya seramai 372 lagi bebas daripada gejala bebas. Mengapa kami dituduh melakukan perkara tidak baik,” katanya.

p/s: Esok dia akan cakap serbuan utk mencari ayah pin

Tiada ulasan: