Rabu, Ogos 02, 2006

Remote Control

Petikan Utusan Malaysia:

Kerajaan pantau laman web, SMS

KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Kerajaan akan memantau dengan dekat laman-laman web, blog dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang menyebarkan perkara tidak benar sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan Internet menjadi alat menyebarkan perkara tidak betul berhubung sesuatu perkara atau menjadi medan untuk membuat tuduhan melulu kepada mana-mana pihak.

‘‘Kita tidak boleh membiarkan penyebaran berita tidak betul ini kerana ia mampu menimbulkan keadaan kacau bilau, kehilangan pekerjaan dalam bidang ekonomi misalnya dan menyebarkan khabar angin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat dan melawat tapak projek Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr.Jamaluddin Jarjis berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap laman web dan blog yang didapati boleh mengancam perkembangan ekonomi, perpaduan, kesejahteraan dan keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, jika seseorang itu didapati menggunakan Internet atau SMS untuk menyebarkan perkara yang tidak betul pihak berkuasa berhak menahannya untuk disoal siasat bagi mengetahui kenapa ia dilakukan.

‘‘Kita tidak boleh menjadikan (kemudahan) Internet atau SMS sebagai satu peluang untuk menyebarkan apa-apa (termasuklah) mengatakan kat orang, tuduh kat orang.

‘‘Kita tidak boleh membiarkan perbuatan ini sebagai satu kebebasan yang di luar kebebasan yang diberikan kepada media di negara ini,’’ katanya.

Perdana Menteri menegaskan, tidak ada negara yang membenarkan sesuatu kebebasan itu diberikan secara mutlak sehingga membolehkan mana-mana pihak mengatakan apa sahaja yang mereka suka.

Ditanya adakah beliau sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri akan meminta polis menjalankan siasatan ke atas laman-laman web yang terlibat, Abdullah berkata, ‘‘Terserah kepada pihak yang boleh menyiasat.’’


p/s: yehaaaaa

Tiada ulasan: