Rabu, September 26, 2007

Inilah dikatakan Had Hari...Day Limit?

Read this...yeah yeah.. you easy to convert it as you convert your wira to evo..perhaps?

Isnin, September 24, 2007

Sabtu, September 22, 2007

The truth about Proton

Aku dpt email. katanya enginieer proton
Yang ni saya kena jawab la sebab banyak sangat misinformation.
Biasanya information yang berpindah dari satu mulut ke satu mulut
yang lain akan berubah menjadi sensasi. Itu lah masyarakat kita. Kita
bukan mendapat firsthand info tapi berdasarkan cerita yang
telah ditokok tambah. Ini dia cerita dari orang dalam
yang duduk ditengah-tengah R&D PROTON.

"Saya ada kenalan dari kastam boleh confirmkan
perkara ni.. member saya kerja kastam kat kelang dan
beliau sendiri yang maklumkan yg salah satu tugas dia
adalah buat checking penerimaan barangan proton untuk
di pasangkan di negara ni. Satu kontena enjin je..
manakala kontena lain adalah pintu, body dan
sebagainya. sama lah dengan kereta lain juga."

Kalau kita lalu kat kawasan glenmarie tu, akan
ternampak lah satu tanda... Kilang Enjin Proton. Tanda
tu tak duduk kat situ untuk suka suka je. Kalau kita
jengok kat dalam.... Boleh nampak besi cair yang
dituang kedalam acuan untuk membuat enjin block.
Memang proton ada mengimpot enjin tapi dari kelas 1.2
dan 2 liter. 1.2liter untuk Savvy (enjin Renault) dan
2.0liter untuk Perdana. Tapi untuk enjin 1.3, 1.5, 1.6
proton buat sendiri. Untuk pintu pulak... hanya
kereta-kereta Perdana sahaja yang proton beli pintu
dari Mitsubishi. For your information, Untuk membuat
pintu sahaja memerlukan dekat 20 acuan. Bayangkan lah
4 pintu. Modal itu shaja sudah hampir RM50 juta. So
untuk kereta yang volume kecil, kita beli dari luar.
Untuk kereta Isawara, Wira, Waja, Gen2, Savvy... 100%
body dibuat di Malaysia.

"Bayangkan dah 20 tahun menanti kereta Malaysia yang sebenarnya tak
keluar-keluar lagi. Bagi yang berkemampuan sudah tentu tak mahu
menggunakan injin kenderaan berteknologi 70an, 80an dan 90an yang
diubahsuai. Sudah tentu ramai nak teknologi terkini
dan sebenarnya milik kita. Secara umumnya proton masih
belum ada enjin sendiri lagi.. jadi adalah sukar
hendak dikatakan kalau ianya adalah kereta Malaysia
yang sebenarnya. Pengeluaran kenderaan adalah
berdasarkan injinnya barulah boleh dikatakan ianya
kenderaan negara sebenarnya."

Disini lagi ada misinformation. Memang untuk kereta
Perdana kita impot enjin dari Jepun. Untuk Savvy kita
gunakan enjin Renault. Untuk Isawara, Wira dan Waja
kita buat enjin di Malaysia walaupun design original
dia dari Mitsubishi. Tapi enjin Gen-2 adalah enjin
terkini yang direka oleh jurutera Proton dan dibina di
Malaysia. Enjin tersebut menggunakan teknologi
terkini. Jadi kenyataan diatas agak menyesatkan
sedikit. Naza, Perodua.... Masih lagi membawa enjin
dari luar. Modal untuk mereka dan mengeluarkan enjin
ni amat besar. Nak dapat return pun bukan nya sekejap.
Tapi demi maruah dan kemajuan, kita korbankan
keuntungan jangka pendek. Selagi kita tidak
mengeluarkan enjin sendiri.. selagi itu kita tidak
tahu. Sekarang kita telah pun mengeluarkan enjin
sendiri... orang masih tidak percaya. Itu lah masalah
orang kita... memandang rendah kebolehan anak negara
sendiri.

"Selama ini proton bergantung kepada Mitsubishi
sebagai rakan teknikal. Oleh kerana kontrak selama 20
tahun telah tamat. Maka proton terpaksalah mencari
rakan teknikal yang baru dan bermulalah masalah
melanda proton. Sudah tentu rakan teknikal baru tidak
mahu meneruskan rekaan dan teknologi mitshubishi
lagi. So apa kan jadi pada kereta proton yang ada
sekarang ni untuk masa akan datang."

Tidak wujud kontrak 20 tahun dengan Mitsubishi. Mereka
adalah rakan kongsi. Bertahun tahun kita berkerjasama
dengan Mitsubishi tetapi teknikal apa yang mereka
turunkan. Kalau kita pernah berkerja dengan orang
Jepun atau Korea, mereka inilah yang paling kemut
ilmu. Tapi bab nak korek ilmu kita, dia orang rajin
habis.Korang jangan terkejut bila saya cakap yang idea
kita pun banyak yang Jepun curi. So bila kita mula
menuntut teknologi baru dari mereka... mula lah nak
caj dan nak ikat royalti yang tak munasabah. Nak
mintak copy teknikal drawing dulu sekeping pun
dia orang caj beribu ribu. Mulalah kita pandang
teknologi dari barat dan teknologi sendiri. Sebab itu
kita beli Lotus.. Kita ignore Jepun. Bila kita design
sesuatu yang lebih baik... laju je dia orang hantar
balik information ke Mitsubishi. Last-last kita pun
mula bersikap secrecy dengan dia orang... lama lama
diaorang fed up dan mintak keluar. Lagi pun dia orang
dah nampak afta nanti dia orang akan masuk balik ke
Malaysia.


Perodua... kenapa daihatsu/toyota memberi enjin latest
dia orang.... Sebab Perodua tu 100% milik
Toyota/Daihatsu. Dah lama UMW menjual saham dia orang
kepada Jepun. Proton.... Milik Malaysia.

"Mungkin ada yang tahu dan ada yang tak tahu yang
proton yang digunakan pakai sekarang adalah barangan
Mitshubishi. Samalah seperti kereta lain.. tukar
lambang je.."

Inilah susah orang kita ni.... Banyak mendengar cerita sensasi yang
banyak ditaruk banyak rempah ratusnya.... . Memang pada mulanya kita
belajar... selepas itu kita buat sendiri.Saya adalah seorang
yang terlibat dengan kerja kerja tersebut.

Saga - base dia Lancer lama. Kita Cuma tukar depan dan belakang
sikit.

Iswara - base Saga, kita mula belajar untuk design
kereta sendiri. Masa ni Mitsubishi dah tak berapa
setuju bila kita menubuhkan R&D. So kita menggunakan
khidmat penasihat dari UK.

Wira - Disini berpuluh puluh designer dan engineer
Proton dihantar ke Jepun untuk kerjasama design kereta
baru. Proton dan Mitsubishi kongsi modal. Hampir 2
tahun kami disana. Bahagian tengah dikongsi bersama.
Depan dan Belakang, design asing-asing. Lampu depan
dan belakang share sebab nak kurang kan cost. Hasilnya
Proton Wira-Mitsubishi Lancer.

Orang akan kata hah kongsi je sebab tak tahu buat
kerja.... Tapi ada orang kata apa apa bila Ford dan
Mazda berkongsi bahagian tengah? Ford Laser dan Mazda
323 adalah kereta yang sama. Ada orang komplen? Bila
orang Malaysia yang buat begitu... orang Malaysia
sendiri yang nak mengutuk. Tak ramai yang tahu seksa
bekerja kat Jepun sebab dia orang suka curi idea.
Bayang kanlah semasa kami design dashboard untuk
Wira... masa tu Mitsubishi sudah pun siap soft tooling
mould untuk dashboard kereta dia... Bila mereka tengok
dashboard Proton, Mereka sanggup letak designer dia
depan design kita untuk mengubahsuai kembali rupa
bentuk dashboard mereka. Kalau kita pernah tengok
dashboard mitsubishi lancer... hampir samakan. Itu
mereka yang meniru bukan kita. Ianya menunjukkan kita
bukan tak pandai... Cuma masyarakat sendiri berfikiran
macam itu.

Perdana - untuk membuat satu satu design bukannya
murah. Nak balik modal pun lama. Jumlah kereta yang
dijual pun kena banyak. So kalau nak buat Perdana....
Sampai habis pun tak balik modal. So yang ni memang
kita ambil kereta dari mitsubishi dan pasang di
Malaysia. Cuma kita tukar depan dan belakang, dan
bahagian dalaman.

Tiara - Tiara adalah bukan product Proton. Ia adalah
keluaran DRB. Tapi kita kena tunduk dengan arahan dari
atas untuk mereka menggunakan lambang Proton.

Waja - Waja adalah permulaan kita untuk menunjukkan
kita mampu melakukan kerja sendiri. 100% didesign
orang orang kita. Tapi untuk kejuruteraan kita
memerlukan consultant dari luar.. mainly dari Eropah
dan Amerika. Bukan sebab tak pandai tapi kita tak
cukup kakitangan. Nak design kereta bukan seperti
menjahit baju. Kebaikan dari mengambil consultant dari
luar memang membuka mata kita... kita adalah setaraf
dengan kebolehan mereka. Nak design kereta ni
memerlukan beratus ratus kakitangan. Bukannya sedikit.

Gen2 - 100% didesign oleh orang kita. Consultant dari
luar hanya sedikit sebab kakitangan kita semakin
ramai. Kita mula menggunakan enjin yang didesign
sendiri.

o Savvy - 100% dedesign sendiri. Cuma enjin sahaja
kita menggunakan Renault sebab kita tidak ada enjin
bersaiz kecil. Well.... Kehebatan enjin Renault sudah terbukti bila
mereka memenangi F1. Disin banyak berita palsu disebarkan oleh mereka
yang tidak bertanggung jawab.Contohnya. .. Savvy adalah Tiara dan
menggunakan chasis Tiara lama. Savvy tidak ada kena mengena dengan
Tiara. Savvy adalah baru, 100%. Tidak ramai yang tahu
bahawa Savvy menggunakan HTHS steel (High Tensile High
Strength Steel). Sebab tu body Savvy kuat. Memang ada
terpampang kereta Savvy kemek kerana accident. Well...
kereta mercedes, volvo, BMW pun kemek bila accident.
Tapi tak ramai yang tengok keadaan dalaman Savvy yang
accident tu... In fact. Kukuh. Saudara saudari... Bila
kita design kereta ni.. yang paling penting adalah
keselamatan penumpang. Memang kereta didesign untuk
crumple bila ada impact. Itu untuk menyerap daya
hentakan supaya bukan manusia yang menerima hentakan
kuat. Rating TUV Germany memberikan 3 star untuk
Proton. BMW 5 series pun dapat 3 star. Ramai yang kata
Savvy ni tak sedap bila memandu. Tapi tanyalah yang
bercakap tu... adakah mereka pernah memandu Savvy.
Kebanyakan nya tidak. Hanya mendengar dari orang lain.

Lain lain - Ada banyak lagi yang saya tak boleh cerita
sebab ada secrecy act. Proton pun ada design kereta
untuk company lain dan ada membuat part untuk company
lain. Proton ada juga buat reverse engineering untuk
motosikal lumba (tahun tu dia champion) tapi kita
tidak boleh menceritakan sebab dasar secrecy kita.
Mungkin sesetengah orang yang memakai certain kereta
mewah tidak tahu yang part kereta mereka dibuat di
proton. Kalau Proton tak elok... masakan mereka
mengkontrakkan proton untuk membuat kereta mereka.

"Berbalik kepada masalah yang sedang dihadapi oleh
proton. Kenapa ianya harus berlaku perkara sebegini.
Apakah yang sebenarnya telah berlaku dan dibuat oleh
proton dalam masa 20 tahun untuk membina kenderaan
nasional sendiri. Memang ada R&D proton cuba
mendapatkan struktur dan bahan-bahan untuk membuat
injin tapi gagal mendapatkan resepinya."

Proton memang dah ada enjin sendiri. Yang
terpasang dekat Gen-2 tu apa dia. Bab-bab bahan untuk
membuat enjin tu senang je. Kebanyakan pengeluar
kereta menggunakan besi yang sama sebab pengeluar besi
dalam dunia ni bukan banyak. Kita Cuma bagi
specifikasi je. Nak design enjin tu yang susah.
Transmition yang paling susah. Untuk info lah... kami
masih lagi dalam proses untuk mereka cipta transmition
sendiri. Bukan macam nak buat karipap tau.

"Penubuhan proton sejak 20 tahun yang lampau tidak
mencapai objektif yang sebenarnya. Dimana silapnya?
Berapa ramaikah yang tahu bilakah ilham proton ini
sebenarnya timbul dan berapa lamakah usaha dilakukan
bagi membolehkan impian ini tercapai."

Mungkin ramai yang mengganggap hanya seorang perdana
menteri sahaja terlibat. Cuma pada Tun M baru persetujuan dapat
dicapai setelah Mitshubishi bersetuju menjadi rakan teknikal dengan
bersyarat. (syarat ni tak bolehlah diberi tahu.. sebab ianya
adalah OSA)

Penubuhan Proton lebih mencapai objectif nya. Pada
mulanya Proton hanya di rancang untuk membuat kereta
bukan untuk merekacipta kereta. Kita menubuh R&D,
Mitsubishi tidak setuju. Ye la... siapa nak bagi kita
pandai kan. Cuba check dekat Perodua, berapa ramai
jurutera dari Proton bekerja dekat sana, Head of R&D
Perodua...bekas Proton, Head of Styling...bekas
Proton, Head of Planning...bekas Proton, Head of
Production.. .bekas Proton (rasa-rasanya dah kena kebas
dekat Naza), Head of Engineering Services...bekas
Proton. Ratarata mereka yang senior dekat sana dari
proton. We trained them... orang lain ambil cara
senang je.

Naza pulak.. Head of R&D....bekas Proton. Head of Production.. .bekas
Proton. Honda pun ramai bekas Proton, DRB Pekan... Head dia pun bekas
proton, Inokom... head dia pun bekas proton. Itu kira head
je...bukan lagi kira engineer dan designer. So it
meets its objective untuk memajukan orang-orang kita.
Mainly orang Melayu. Naza sendiri tidak menyangkal
kereta Naza mainly didevelop oleh bekas kakitangan
Proton. So... orang Proton tak bagus?

Kita belum lagi kira bekas pekerja proton yang diambil
oleh consultant luar negara... dari America, Eropah
sampai ke Jepun.Tau tak kita kakitangan Proton telah memenangi
pertandingan mereka design kereta anjuran Ford. Beliau mendapat
tempat pertama. Bukan bertanding diperingkat Malaysia. Tapi di
peringkat antarabangsa. Memang beliau mendapat tawaran kerja dari
syarikat kereta gergasi Amerika dan Eropah. Tapi kami tabik
bila dia decide nak stay dekat Malaysia sebab taknak
anak-anak membesar dinegara lain. Ada orang tau...?

"Selama 20 tahun proton pergantung kepada pemerintah
yang sepatutnya telah boleh berdiri dengan sendirinya
sekarang ini selepas perjanjian tamat. Ibarat kata..
berapa lama perlu bergantung.. tak kan dah 20 tahun
nak merangkak lagi.. nak tambah masa untuk merangkak
lagi.. so bila lak nak belajar berdiri dan berjalan
sendiri tanpa dipimpin lagi..sebab tu exPM kata..
kalau dah tak boleh tutup aja..."

Proton boleh menjadi lebih baik kalau tidak ada
tanggung jawab kepada negara. Senang aja... buang
sahaja pengeluar-pengeluar yang bermasalah. Tapi apa
akan jadi dengan ekonomi. Itu tanggungjawab Proton
untuk negara. Bayangkanlah penjanaan ekonomi proton
untuk negara... berapa banyak kaki tangan Proton...
8000. Berapa banyak kakitangan syarikat yang secara
lansung untuk membuat part Proton...100, 000 orang.
Berapa banyak bank dapat untung, berapa banyak
syarikat bumiputra yang naik? Bayangkanlah kami boleh
membantu sedangkan i kerajaan tidak membantu.
Cuba ingat sebelum timbulnya proton. Berapa banyak
wakil jualan bumiputra untuk kereta toyota, nissan,
honda? 0... Kosong.

Mengenai masalah AP pulak perkara tu bukan perkara
baru. Mungkin ada yang tak tahu yang proton juga
mendapat AP. Kalau tak.. sure harga kereta proton tak
serendah sekarang ini. Tak percaya boleh check duti
import yang dibayar untuk sebuah kereta proton. Nak
check duti import tak susah sgt.. cuma bandingkan
harga kereta proton di kawasan bebas cukai.

Kita memang tak payah bayar duti impot sebab kita buat
kereta kat dalam Malaysia. Tapi tetap kena cukai. Kita
tak ada AP. Yang Proton kecewa kenapa terlampau banyak
AP dikeluarkan. Lepas tu sebijik-sebijik kerajaan kena
tipu. Bayangkan lah kalau kereta KIA yang dibawa masuk
ke Malaysia... harga yang di declare adalah RM8000.
Tak masuk akalkan bila kastam approve benda ni. Paling
murah kereta yang pernah dibuat adalah dalam dunia ni
adalah lebih kurang RM18,000. Itu baru bahan bahan
dia. Belum lagi kira cost modal acuan, cost tenaga
kerja, cost R&D. Bayangkan lah banyak mana kerjaan
rugi pada cukai. Bayangkanlah banyak mana Naza untung.

Dasar Automotif Negara di perlukan bagi meneruskan
perjuangan yang belum tercapai disamping menjaga serta
melindungi pemilik kereta proton sekarang ini. sejauh
mana boleh bertahan tak tahula..kalau tidak akan
bertimbunlah bakal besi buruk bila tiada lagi
sparepart proton (asalnya milik Mitsubishi) dan akan
timbulah barangan made in Jinjang atau sewaktu
dengannya.

Saudara... Dalam banyak banyak negara pengeluar
kereta, Malaysia lah yang paling kurang memprotect
industry automotive mereka. Rakyat Malaysia juga lah
yang paling tidak patriotik dalam hal-hal kereta ni.
Walaupun kita telah merdeka, minda kita tetap diajar
barangan lain lebih elok dan tidak membantu barangan
sendiri. Saya ambil contoh... Thailand membuka pintu
mereka untuk industri automotif... tapi ada syarat.
Kereta yang dibina di Thailand harus lah di export
keluar lebih dari yang dijual dalam negara nya.
Korea... cuba pergi ke Korea dan lihat sendiri disana.
Nak cari kereta yang bukan dari Korea...susah.
Sebabnya...

1. memang mereka patriotik.
2. Cuba pakai kereta import... Lembaga Cukai mereka
akan menyusahkan pembeli kereta tu. Sebab kata mereka
tentu banyak duit.

Jepun... Semasa mereka belajar membuat kereta hampir
80 tahun dulu... nak naik bukit pun boleh undur (baca
sejarah toyota), tapi rakyat mereka tetap bangga dan
tetap membeli. Cuba kat Malaysia.... Kutuk lagi ada.

Saudara semua... kejayaan sesuatu project negara
bergantung kepada sokongan dari rakyat sendiri. The
more people buy, the cheaper things can be. Economic
of scale lah tu. Lagi banyak dijual, lagi rendah cost
pembalikan modal untuk setiap kereta. Nak buat sebijik
kereta hampir 1 billion cost dia. Macam mana nak balik
modal kalau kita tak ambil untung. Kilang enjin lagi
mahal... tapi kita korbankan keuntungan kerana kalau
kita dok asyik beli enjin dari luar, masa mana kita
nak belajar dan maju. Proton baru 20 tahun. Korea
mengambil masa 40 tahun untuk kereta dia tiba ditahap
ini. Jepun sudah 80 tahun, Barat sudah 100 tahun. Ini
industri kereta. Kalau orang suruh kita fikir nak buat
plastik aiskrim tu pun majority kita tak boleh. Ini
kereta. So yang mengutuk tu... fikir. Lagi banyak kita
jual, lagi murah kita boleh jual... lagi banyak duit,
lagi baik pembangunan yang kita boleh buat. Setiap
test dan setiap bahan baru yang nak direka memerlukan
wang yang banyak.

Masalahnya sekarang siapakah yang bakal atau boleh
dijadikan rakan teknikal. Walau pun volkswagen nak join
ngan proton tapi persoalannya boleh ke..?

Kenapa..saya kata macam tu..sebab Volkswagen ni guna
euro. Sudah tentu la harga kereta proton pada masa
akan datang lebih mahal lagi. (salah satu sebab isu AP
keluar) Nak mohon Nissan atau Honda atau Toyata jadi
rakan teknikal memang agak sukar.

Errr.... Ini kita bagi hint sikit sebab teruk sangat
dah ni. Kita tengah develop kereta dengan VW. Sebab tu
kita jangan dengar saja orang cakap.

Kalau semua AP ditarik balik lagi banyak masalah akan
timbul.. salah satunya adalah AFTA. Mampukah negara
kita membayar ganti rugi kepada negara lain yang telah
melaksana AFTA. Mungkin ada yang tak sedar yang negara
kita telah membayar ganti rugi RM billion sebab
menangguh perlaksanaan AFTA sebelum ni kapada negara
Asean yg berkaitan.

Memang kita akan kena penalti sebab ada
perjanjian AFTA. Tapi bukan kita nak tarik AP macam tu
aja. Jalan penyelesaian masih ada. Kalau negara lain
boleh ada i dia orang yang membantu industri
kereta mereka... kenapa kita tidak boleh. Kerana AP
China boleh mengeksport kereta mereka ke Malaysia
(kereta Chery hampis masuk), tapi i China masih
lagi tidak membenarkan kereta kita masuk kesana.
Memang dia kata boleh masuk tapi dah 5 tahun mencuba
pun belum dapat kelulusan lagi. Banyak syarat lagi.
India... nak masuk kesana kena letak deposit USD200
Million. Belum lagi nak set up kilang dan
infrastruktur jualan. Cuba masuk kat Korea... Kita nak
jual kain kita kat sana pun diaorang tak nak beli
walau pun kualiti kita bagus. Kuat nya patriotik
diaorang. Kita... apa yang nama lain selain dari
barang sendiri mesti bagus punya.

Bagi yang nak membandingkan kereta kita dengan kereta German....
Bukan tak boleh buat. Boleh... tapi sanggup ke bayar harga kereta German
untuk kereta buatan Malaysia.

Naza yang rata rata import kereta Cuma tukar
bumper pun boleh jadi taraf kereta nasional. Perodua
yang tak pernah design kereta sendiri (cuma design
bumper depan belakang) pun dapat taraf kereta
nasional... Proton sekurang-kurangnya telah mendidik
ramai anak bangsa dalam kemajuan teknologi. Dah ramai
hasil dari pengalamn bekerja dengan proton diambil
untuk sektor R&D ditempat lain. Bayangkan lah satu
kumpulan Advance Engine Research Proton terus diambil
oleh Petronas. Bukan sorang.... Kesemuanya. Nak kerja
dengan R&D proton..... Paling minimum 2nd class upper.
1st class berlambak. Selepas berpengalaman. .. Perodua,
Naza ambil.

Tapi saya tak marah bila orang kata macam-macam pasal
proton. Itu hak mereka. Tapi fikirkanlah tenaga yang
kami beri untuk memajukan negara dalam bidang
teknologi. Boleh sebut tak company mana lagi dalam
bidang industri yang betul-betul menggunakan kepakaran
anak Malaysia dalam bidang R&D ni. Kalau kita tidak
belajar... sampai bila kita tidak akan tahu. Dan
sampai bila kita akan bergantung dengan orang luar.

Tapi bab support selepas jualan.... saya sendiri pun
tak puas hati. Sabotaj pun Proton dah biasa kena....
Orang curi part semasa delivery kerata tukar dengan
part tiruan atau lama. Yang kena komplen... proton.
Tapi yang hairannya semasa Perodua recall balik 4000
unit Myvi.... Tak ada pulak yang kutuk. Letak sebelah
sebelah Myvi dan Savvy... check performance dia. Then
baru tahu nak kata apa. Jangan dengar orang cakap
je... test sendiri. Baru tau.

Tak lama lagi akan keluar Savvy Auto-Manual. ...
Maksudnya dua-dua jenis gear ada dalam kereta. Malas
nak tukar gear... swith to auto. Nak main
ciluk-ciluk. .. switch to manual. Errr.. siapa kata
kita guna tecnology 70an?

Rabu, September 19, 2007

Duit dan pembaziran

"Laporan rasmi yang dikeluarkan dari Unit Audit Negara"

From: "Al Abrar Abdul Wahid"
Date: Mon, 17 Sep 2007 11:45:36 +0400
Subject: Laporan Ketua Audit Negara 2006interesting article...worth reading

Kes 6 kapal peronda TLDM RM6.75 bilion: Najib perlu jawab! Ahmad Lutfi Othman
Mon | Sep 17, 07 | 1:52:41 pm MYT


Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (KBN) menjadi bualan umum baru-baru ini dan mendapat perhatian media. Namun ada isu lebih besar, membabitkan lebih banyak wang rakyat, dan salah lakunya lebih menjolok mata.

Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta. Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta.

Sebanyak 430 set papan bancuh simen untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa dan Penjubinan pada empat IKBN yang sama telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Sedangkan harga pasaran hanya RM150 sahaja (harga untuk 430 set hanya RM64,500) dan menurut tenaga pengajar IKBN, kosnya boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri.

Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Jabatan Audit Negara mendapatkan sebut harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang 2 penghawa dingin dan sewa kren, iaitu RM20,000 sahaja (RM60,000 untuk tiga unit).

Sebanyak 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di KBN Bachok, Chembong dan Kuala Perlis, dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Semua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Begitu juga dengan harga satu set pen teknikal yang dibeli dengan harga RM1,146.56 sedangkan harga pasaran hanya RM160. Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai (tidak melebihi 5 tahun, terdiri daripada 4 jenis kereta, Honda Civic, Toyota Corolla, Protoeon Wira dan Iswara) dibeli dengan harga RM4.24 juta (satu set RM280,000) untuk jurusan Ketuk Mengetuk dan Semburan Cat, sedangkan harga pasaran sekitar RM2.8 juta (satu set RM183,000).

Pembaziran wang rakyat dalam kes IKBN

Okey, saya tidak mahu membutirkan lebih banyak pendedahan laporan Audit itu hanya berlengkar di Kementerian Belia dan Sukan. Dan segala yang dibentangkan di atas pun bukanlah prioriti catatan ringkas ini. Ia mungkin boleh diibaratkan sebagai kes membabitkan ikan bilis sedangkan ada kes melibatkan ikan jerung yang tidak diberikan keutamaan oleh pihak media. Namun tidak pula saya anggap pembaziran wang rakyat dalam kes-kes IKBN ini boleh didiamkan begitu sahaja.

Menteri bertanggungjawab, ketika itu, Dato' Seri Hishamuddin Hussein harus menjelaskan bagaimana keadaan pincang itu boleh berlaku. Kita pun pelik juga dengan peranan Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia yang dilantik sebagai perunding untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti keperluan peralatan IKBN, dan sehingga Disember 2006, sejumlah RM6.54 juta telah dibayar kepadanya.

Kita tinggalkan sekejap isu-isu yang membabitkan perbedaan harga yang begitu ketara itu, dengan menyedari jumlah terkumpul yang sepatutnya boleh dijimatkan tidak kurang daripada RM10.80 juta, selain dapat mengelak permohonan penambahan perolehan peralatan sehingga kosnya berjumlah RM267,90 juta. Kerajaan juga terpaksa membayar tidak kurang RM88.45 juta untuk peralatan yang masih tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum disebabkan tiada keperluan, tenaga pengajar tidak pakar dan pembelian yang terlalu awal.

Ooop, cukup dulu hal berkenaan.

Kita beralih kes yang lebih besar membabitkan Kementerian Pertahanan, yang kini diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Najib Razak. Semalam (15 September), di Pekan, Najib berkata kerajaan bersedia mengguna pakai apa sahaja kaedah baru yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara asalkan dapat menyumbang ke arah pentadbiran kewangan awam lebih cekap, telus dan mempunyai akauntabiliti. Beliau mengulas langkah Audit hendak memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri bermula tahun depan.

Najib seterusnya berkata, langkah memperkenalkan sistem ini dapat mengelakkan berulangnya salah urus dana di kementerian dan jabatan berkaitan. ''Kalau tidak ada sistem penilaian, perkara-perkara ini (salah urus kewangan) akan berulang dan membuatkan banyak pihak mengatakan laporan audit itu (sekadar) merupakan cerita lama yang diulang balik," katanya. Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan tidak mahu pelaksanaan sistem itu menyebabkan berlaku perubahan yang besar dari segi pentadbiran kewangan di semua kementerian.

Saya rasa Najib seperti mahu menekankan bahawa jangan cuba memandai-mandai buat cadangan untuk mereformasikan sistem pentadbiran kewangan yang terpakai selama ini.

Laporan Audit dedah banyak perkara

Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel - PV) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang tidak dibuat dengan baik dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

Saya minta rakan saya, Lifeboat, yang berpengalaman dalam hal pengauditan ini, untuk membuat analisis lebih terperinci dalam Harakah cetak keluaran depan.

Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Selepas Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 September 1983, diputuskan kontraktor awal ialah Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, yang kemudiannya selepas diswastakan menjadi konsortium PSC-NDSB, diketuai Penang Shipbuilding And Construction Sdn Bhd (PSC).

Bagaimanapun Penglima Tentera Laut ketika itu, Dato' Seri Mohd Shariff Ishak menekankan TLDM tidak bersetuju dengan cadangan penswastaan kepada PSC, antaranya kerana PSC merupakan limbungan yang kecil, prestasinya tidak baik dan hanya mempunyai pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil.

Jawatankuasa Pemandu Pelaksananaan Program Pembinaan Kapal Peronda, yang bertanggungjawab menetapkan dasar dan garis panduan berhubung dengan kewangan, pengurusan projek dan teknikal di samping mengawal perlaksanaannya ditubuhkan. Ia dipengerusikan Dato' Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan.

Semakan Audit menunjukkan jawatankuasa ini bermesyuarat sebanyak 7 kali dari tahun 1994 hingga 1998 sahaja, dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu. Manakala Jawatankuasa Pengerusan Eksekutif yang dipengerusikan Mohd Shariff dan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Mindef hanya bermesyuarat sebanyak empat kali bagi tempih 1994 hingga 1996 dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu.

Mengikut kontrak asal, 6 kapal peronda itu sepatutnya diserahkan secara berjadual, bermula Mac 2004 (PV1), seterusnya Januari 2005 (PV2), Oktober 2005 (PV3), April 2006 (PV4), Oktober 2006 (PV5) dan April 2007 (PV6). Malangnya hanya PV1 dan PV2 dapat diserahkan, itu pun masing-masing pada Jun 2006 (terlewat 27 bulan) dan Julai 2006 (terlewat 18 bulan).

Audit merumuskan bahawa punca ia gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana pemilihan kontraktor yang hanya mempunyai limbungan yang kecil dan pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil sahaja, masalah kewangan serta lain-lain masalah yang dihadapi oleh kontraktor, seperti pengurusan tidak cekap dan masalah aliran tunai.

Semasa penyerahan PV1 yang dikenali sebagai KD Kedah pada 2 Jun 2006, terdapat 100 item/kerja masih belum diselesaikan. Keadaan yang sama juga berlaku semasa penyerahan PV2 (KD Pahang) pada 27 Julai 2006 di mana sebanyak 383 item/kerja masih belum diselesaikan.

Kos bina kapal peronda RM2.875 bilion

Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tiada tuntutan denda lewat dibuat Kementerian Kewangan walaupun Unit Perancang Ekonomi melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (Perolehan) Kementerian Pertahanan pada bulan September 2005 telah mencadangkan supaya denda lewat berjumlah RM107 juta dituntut bagi PV1 dan PV2. Berdasarkan perkiraan Audit, sejumlah RM214.01 juta denda lewat boleh dikenakan terhadap kontraktor atas kelewatan keenam-enam PV berkenaan.

Bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi kontraktor dan memastikan kapal dapat diserahkan secepat mungkin, Kementerian Pertahanan pada Oktober 2005 telah memohon kelulusan Kementerian Kewangan untuk membayar baki bayaran kemajuan PV1 dan PV2 berjumlah RM145 juta tanpa disokong Statement of Progress yang ditandatangani Pasukan Projek PV. Perbendaharaan, pada Januari 2007 membayar RM143.12 juta.

Dan pada 17 Januari 2007, tarikh penyerahan kapal peronda itu dirombak dengan memberi ruang lebih selesa. Bagi PV3, tarikhnya dianjak daripada Oktober 2005 kepada Disember 2008; PV4, Julai 2009; PV5, November 2009; dan PV6, Mac 2010.

Jika diambil secara purata, kos bagi membina sebuah kapal peronda ialah RM848.19 juta (iaitu kos keseluruhan RM5.08 -- yakni tidak termasuk bayaran Commercial Package Achievement Fee bernilai RM267.50 juta -- dibahagi enam). Berdasarkan Laporan Pasukan Projek PV setakat bulan Disember 2006, merujuk peratusan kemajuan fizikal pembinaan kapal, PV3 baru 55.89% dibina, PV4 (44.75%), PV5 (19.81%) dan PV6 (18.47%).

Setelah dibuat perkiraan, nilai semua 6 kapal peronda itu, mengikut peratusan siap hanya RM2.875 bilion, manakala kos yang masih diperlukan untuk menyiapkan empat lagi PV berkenaan ialah RM2.214 bilion. Persoalan besarnya, kerajaan sudah pun membayar RM4.256 bilion kepada kontraktor! Peruntukan yang berbaki hanya RM832.92 juta, sedangkan yang diperlukan ialah RM2.214 bilion, itu pun belum diambil kira kos yang semestinya meningkat.

Wang rakyat hampir RM 1 bilion dibuat main-main

Maka bagi memulihkan projek ini, kerajaan bersetuju menambah nilai kontrak sebanyak RM1.4 bilion lagi (senang-senang wang pembayar cukai dihanguskan! ), iaitu daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion. Bagaimanapun, pihak Audit tidak dapat menentukan justifikasi untuk menambah nilai kontrak sejumlah RM1.4 bilion itu.

Lebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan.

Masya Allah, wang rakyat hampir RM1 bilion itu boleh "dibuat main-main" begitu sahaja, seolah-olah bagai duit "mak-pak depa". Ini bukan pembelian seringgit dua. Rekod menunjukkan baucer yang tidak dikemukakan itu daripada serendah RM6.69 juta, pada 19 November 2001, sehingga kepada yang tertinggi RM222.06 juta (pada 27 September 2001).

Jadi, kepada Najib, apa penjelasan anda kepada isu ini, terutama bagaimana kontraktor yang langsung tiada berkelayakan dipilih menjalankan projek sebesar itu? Dari awal Kementerian Pertahanan sudah diperingatkan bahawa kontraktor yang dipilih itu hanya berpengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil! Memang sengaja mengundang padah (sebenarnya memang mahu mengagihkan kepada kroni meskipun sudah diketahui tidak mampu)! - mks.

Jumaat, September 14, 2007

Kisah Lama

Tahun 2005 berakhir dengan nota yang kurang menyenangkan. Apa yang saya maksudkan ini bukan kerana kegagalan bursa saham melonjak tetapi penangkapan hampir 500 anak-anak muda yang sedang merayakan pesta tahun baru di sebuah kelab muzik Paul's Place di Jalan Klang Lama. Mereka dikatakan sebagai penganut/peminat muzik genre Black Metal.

Saya telah memerhatikan dengan rapi laporan- laporan berita mengenai apa yang dipanggil pengikut dan peminat genre muzik Black Metal. Kali pertama dahulu agenda Black Metal ini ditimbulkan secara besar-besaran pada tahun 2002 oleh Doktor Siti Zaharah. Bekas menteri ini ketika itu sedang cuba mengembangkan kembali sayap politiknya yang telah patah. Black Metal telah digunakan sebagai peluru politik.

Semasa isu Black Metal ini heboh di media, saya berada di kem tahanan di Kamunting. Dua bulan sesudah berita ini tersebar luas, kami para tahanan di kem Kamunting telah menerima satu buku kecil tentang Black Metal. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam tentang bahaya pengaruh genre muzik ini terhadap anak-anak muda. Kami yang ditahan ingin disedarkan bahawa selain dari Kumpulan Mujahidin dan Jemaah Islamiah, Black Metal adalah satu lagi kumpulan yang sedang mengancam keselamatan negara.

Saya masih ingat lagi rentetan dari berita Black Metal ini terdapat satu berita yang melaporkan bagaimana Quran telah dikoyak-koyak dan ditaburkan di satu kawasan masjid di sebuah daerah di Kedah. Juga saya terbaca tentang bagaimana kambing hitam telah dikorbankan sebagai salah satu dari ritual untuk pengikut muzik genre Black Metal.

Bulan lepas berita Black Metal ditimbulkan kembali. Kali ini ada juga akhbar yang melaporkan bagaimana buku suci penganut agama Islam telah dikencingi. Tidak cukup dengan mengencingkan ayat-ayat suci ini, anak-anak muda pengikut genre muzik ini telah juga dikatakan mengadakan hubungan seksual di atas Quran.

Saya adalah seorang warga yang tidak percaya terhadap pekara-pekara yang dilaporkan ini pernah berlaku. Saya mungkin terpencil dan keseorangan. Tetapi dari ilmu dan pengamatan fikrah yang saya miliki, laporan- laporan media dalam negara ini semakin banyak yang tidak boleh dipercayai.

Cuba bayangkan apa kena mengenanya mengoyak dan terkencing di atas kitab suci Al- Quran. Apa sangkut pautnya perbuatan ini dengan genre muzik metal. Paling tidak masuk akal ialah mengadakan hubungan seks di atas Quran. Melakukan hubungan seks untuk saya adalah satu nikmat berahi. Tetapi terlentang atau terbaring dengan sebuah kitab di bawah badan pasti tidak selesa dan potong stim.

Saya juga memiliki buku The Perfumed Garden, kitab klasik kuno Arab yang ditulis Syeikh Nefzaoui seorang Kadi dari Tunisia. Kitab ini samalah seperti kitab klasik Kamasutra dari benua India yang telah menerangkan cara-cara dan teknik untuk melakukan hubungan seksual. Dari kedua-dua buah kitab ini tidak pula saya temui teknik melakukan hubungan seks di atas buku atau kitab. Atau saya yang telah berumur gagal menemui buku-buku teknik seks yang terbaru yang mungkin hanya dapat dibeli melalui e-bay.

Pada anggapan saya akhbar tabloid Melayu sengaja mengembar-gemburkan berita genre muzik metal ini dengan begitu sensasi sekali. Ini bertujuan untuk melariskan akhbar. Dua akhbar tabloid harian Melayu sedang bersaing hebat untuk membawa berita yang paling sensasi tetapi tidak bermakna. Ini tidak menghairankan kerana telah begitu lama mutu penulisan akhbar-akbar Melayu di Malaysia telah merosot. Malah kemerosotan penulisan dan tanggung jawab akhbar ini bukan hanya terjadi di Malaysia sahaja tetapi hampir di seluruh dunia.

Berita genre muzik metal ini sengaja di sensasikan untuk menakut-nakutkan ibu-bapa. Ibu bapa terutama ibu bapa Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar dan kampung- kampung pasti akan gempar apabila membaca berita Quran kena kencing atau Quran dikoyak- koyak.

Perkara ini berlaku hasil dari budaya sosio politik tanah air kita hari ini. Semua ini adalah manifestasi konstruksi sosial yang sedang dilakukan oleh dua parti Umno/Pas yang berteraskan Melayu/Islam. Kedua buah parti ini sedang cuba sedaya upaya untuk mengembangkan pengaruh keislaman dari sudut kepentingan politik mereka.

Pas dengan agenda Islam kepimpinan ulama dan Umno dengan Islam Hadhari. Kedua parti kini sedang berusaha sedaya upaya untuk melihatkan kepada masyarakat Melayu bahawa parti merekalah yang lebih Islam dari yang lain. Manifestasi perlawanan untuk membuktikan siapa yang lebih Islam akhirnya membawa bencana dan menyesakkan nafas budaya Melayu sendiri.

Genre muzik Black Metal ini samalah seperti Usama ben Ladin atau Zarkarwi yang telah digunakan oleh George Bush untuk menakut- nakutkan rakyat Amerika agar mereka terus menyokong rancangan kuasa imperialis Amerika untuk menakluki telaga minyak di Iraq. Apabila rakyat Amerika takut kepada pengganas Islam maka rakyat akan mencari perlindungan. Perlindungan yang terbaik ialah berdiri bersama menyokong agenda Bush melawan pengganas Islam yang dapat dilihat melalui wajah Usama.

Di negara kita orang-orang kampung dan orang Melayu perlu terus ditakut-takutkan. Orang yang takut amat susah untuk berfikir secara rasional. Orang yang takut juga akan memerlukan perlindungan. Perlindungan yang terbaik dari hantu yang menakutkan ini hanya dapat dilakukan oleh kerajaan yang berkuasa. Ini satu agenda politik.

Satu ketika dahulu komunis telah digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Kini pemimpin negara kita telah duduk semeja dengan Castro dan Putin maka komunis bukan lagi dilihat sebagai hantu. Negara komunis ini kini menjadi sahabat kita. Komunis adalah tempat kita berniaga, membeli senjata dan menumpang kapal mereka untuk naik ke angkasa.

Saya cukup yakin tidak ada seorang pun di antara para wartawan yang membuat laporan di akhbar-akhbar Melayu itu memahami apakah makna dan tradisi genre muzik Black Metal. Ini samalah seperti mereka tidak memahami apakah sebenarnya ideologi komunis. Pembacaan dan ilmu pengetahuan mereka cukup cetek. Rasa saya longkang di Kampung Kerinchi lebih dalam berbanding dengan daya pemikiran mereka.

Saya juga cukup yakin tidak ada para alim ulama yang mengetahui apakah bezanya Black Metal dengan Heavy Metal. Malah mungkin mereka ini tidak menyedari bahawa ahli falsafah Arab, Yaqub Ibn Ishaq atau Al-Kindi telah menulis 7 buah buku tentang muzik dan bunyi. Buku-buku ini masih menjadi rujukan untuk pemuzik hari ini. Oleh itu ini saya cukup yakin ramai dari para wartawan dan para ulama ini tidak akan dapat membezakan di antara Mozart dari sebuku sabun.

Anak-anak muda adalah golongan yang paling senang untuk diamuk dan disumpah seranah. Mereka juga amat senang untuk dijadikan punching bag, untuk propaganda politik. Sebagai musuh politik anak-anak muda senang ditundukkan. Ini kerana mereka tidak memiliki ruang demokrasi untuk bersuara menyatakan pandangan mereka. Mereka muda, tidak tersusun dan terpencar dalam pelbagai cara hidup. Dalam masa yang sama mereka masih lagi belum memiliki kekuatan ekonomi untuk bangun melawan seperti kaum guru atau kaum buruh.

Kerana semua ini saya meminta ahli-ahli agama, ahli akademik dan para wartawan Melayu/Islam; berfikir sejenak dan bertanya kepada diri mereka sendiri. Apakah mereka betul-betul ingin menghayati Islam dan betul- betul ingin menjaga kesucian Al-Quran. Jika ini yang mereka cita-citakan maka pada hemat saya adalah lebih baik mereka menterjemahkan agenda dari kitab suci itu. Tiga suku dari ajaran kitab suci ini adalah seruan dan tuntutan kepada penganutnya untuk melakukan kebajikan ke atas manusia. Agenda kebajikan inilah yang wajib dikembangkan oleh penganut Islam untuk umat manusia dan bukan hanya untuk orang Melayu/Islam.

Jika isu Black Metal ini berterusan maka marilah kita berfikir bersama. Masuk akal atau tidak tentang ritual mengorbankan kambing hitam yang sering dihebohkan oleh akhbar tabloid Melayu ini. Cuba fikirkan berapa harganya sekor kambing. Jika anak-anak muda ini tidak membeli kambing ini, pasti kambing ini dicuri. Berapa banyak kambing hitam yang telah dicuri. Berapa kali pihak polis telah menerima laporan. Atau sebenarnya isu Black Metal ini hanya satu isu untuk mengkambing hitamkan anak-anak muda yang semakin resah dengan orang-orang tua yang berkuasa hari ini terlalu sibuk dengan Black Money.