Pengenalan kepada siri AhlulBait Nusantara
Para ahlul-bait Rasulullah SAW di bumi Asia Tenggara dapat dibahagikan kepada tiga golongan. Golongan yang pertama, iaitu mereka yang dikatakan masih ‘pekat’ lagi darahnya, merupakan keturunan bangsa Arab Quraisy kabilah Bani Hasyim yang berdarah dari Rasulullah SAW. Mereka lazimnya muncul lebih lewat di Alam Nusantara dibandingkan dengan golongan takrif kedua, iaitu bermula sekitar abad ke 18 dan 19M. Bagi memelihara ‘kepekatan’ darah mereka, kalangan keluarga ahlul-bait ini secara turun temurun hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang senasab dengan mereka. Contohnya, Sayyid berkahwin dengan Syarifah sahaja atau sebaliknya. Dalam erti kata lain, mereka tidak langsung ‘disatukan’ identitinya dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan.
Perkahwinan seorang Sayyid dengan wanita biasa jarang berlaku dan tidak digalakkan. Oleh itu, walaupun budaya dan adat masyarakat setempat telah bersebati dalam kehidupan golongan ini diatas pergaulan sosial keluarga, natijahnya, bentuk rupa, dan kadangkala pemikiran mereka masih ‘kearaban’ lagi. Banyak juga keluarga dari kelompok ini yang masih menyimpan dan menjaga dengan baik susur galur salasilah keturunan mereka. Golongan ini jika insaf serta mahu bertanggungjawab di atas kedudukan mereka sebagai pembawa zat dari keturunan mulia, sudah tentu akan menjaga kehormatan dan kemuliaan nasab serta menjaga peradaban ahlul-bait, antaranya tidak boleh menerima sedeqah. Selain itu mereka sewajarnya patuh mengikut sunnah dan teladan nenda mereka, iaitu Rasulullah SAW dalam memberi penekanan dan keutamaan pada pengamalan agama Islam dalam menjalani liku-liku penghidupan.
Golongan yang kedua pula ialah lelaki ahlul-bait yang berasimilasi dan bercampur baur dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan dengan wanita Ajam (bukan berketurunan Arab) yang merupakan puteri penguasa-penguasa masyarakat, yang mempunyai gelaran kemuliaan atau bangsawannya sendiri. Anak dari hasil perkahwinan ini langsung mengambil gelaran kemuliaan dari nasab bondanya, dan tidak gelaran ‘Sayyid’ dari ayahndanya. Susur galur ke bawah pada keluarga ini kebanyakannya melakukan perkara yang sama berulang-ulang, iaitu berkahwin dengan wanita Ajam juga. Asimilasi menjadi sempurna apabila bukan sahaja rupa, budaya dan pemikiran diadaptasi dan disebatikan dengan masyarakat tempatan, bahkan gelaran Syarif, Sayyid atau Habib yang memberikan identiti sebenar mereka juga turut ditinggalkan. Golongan kedua ini muncul jauh lebih awal di Alam Nusantara, iaitu semenjak awal kurun ke 15 Masihi.
Seringkali juga anak cucu lelaki kepada golongan ini kemudiannya berkahwin pula dengan wanita yang juga merupakan anak cucu kelompok kedua ini, oleh itu penyatuan darah Rasulullah SAW terjadi semula, walaupun kedua-dua belah pihak tidak mengetahui hakikat ini kerana nenek moyang mereka telah membuang prediket keturunan darah Rasulullah SAW dan hanya menggunakan prediket bangsawan keluarga.
Sejarah perkahwinan cucu-cicit Rasulullah SAW dengan puteri bangsawan sebenarnya diasalkan seawal zaman Sayyidina Hussein lagi dimana ia pernah mengahwini seorang puteri Raja Parsi yang termasyur bernama Shah Zinan binti Yazdagrid. Perkahwinan ini menghasilkan seorang putera, Ali Zainal Abidin, seorang ahlul-bait yang termasyur dan disebut sebagai ‘ketua ahli zuhud di syurga’. Ali Zainal Abidin merupakan moyang bagi kesemua keturunan Al-Hussein di dunia ini.
Di Kepulauan Jawa, cucu-cicit Wali Songo yang berketurunan Rasulullah SAW dan berkahwin dengan wanita bangsawan dari kalangan orang istana tempatan tidak lagi memakai prediket Sayyid (keturunan Sayyidina Hussein) pada nama mereka. Ini
digantikan dengan gelaran Raden (Raden yang berdarah ahlul-bait Rasulullah SAW diasalkan dari keturunan salah satu Wali Sembilan, atau Wali Songo yang bernama Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati). Beliau merupakan pengasas bagi kesultanan Banten dan Cirebon. Saudara kandungnya pula, iaitu Sultan Babullah menjadi Sultan Ternate.), atau menghilangkan terus gelaran secara sukarela apabila sistem pemerintahan beraja (monarki) dihapuskan selepas kedatangan penjajah
Belanda.
Di Malaysia pula, mereka yang mempunyai gelaran Nik, Long dan Wan (Nik, Long dan Wan adalah prediket cucu cicit seorang ahlul-bait Rasulullah SAW yang pernah menjadi seorang bangsawan Kelantan lama (sebahagian dari empayar Majapahit), iaitu Ali Nurul Alam pada nama lahir mereka lazimnya akan mendapati salasilah mereka sebenarnya bersusur galurkan dari keturunan Rasulullah SAW. Begitu juga bagi gelaran Pangeran di Brunei atau Wan di Acheh.
Kelompok ini sebenarnya masih tidak hilang ‘bisanya’ sebagai ahlul-bait, tetapi asimilasi yang sempurna dan kemungkinan tiadanya orang tua di kalangan keluarga yang tahu dan secara sukarelanya mahu menceritakan nasab keluarga, ataupun menyimpan salasilah keturunan, telah menyebabkan golongan ini tidak mengetahui bahawa asal usul mereka dari keturunan mulia. Ini merupakan kerugian besar buat mereka kerana sudah tentu menyebabkan mereka tidak dapat menghargai asal usul sebenar mereka berbanding dengan golongan pertama yang sedar akan kepentingan ‘daulah zuriat’ yang dimiliki.
Golongan yang ketiga pula ialah kaum wanita ahlul-bait, iaitu ‘Syarifah’, yang berkahwin dengan lelaki Ajam (bukan Arab). Mengikut tradisi, anak-anak mengikut nasab bapa. Dalam lain perkataan, jika bapa tiada berketurunan Rasulullah SAW sedangkan ibunya pula berketurunan demikian, maka anak yang lahir hasil dari perkahwinan tersebut mengambil nasab dari bapanya dan terpaksa memutuskan zuriat Rasulullah SAW yang datang dari ibunya. Persoalannya, adakah tradisi ini benar mengikut hukum feqah?
Terdapat dua hujjah pada masalah ini . Jika pendapat dan Mazhab Hanafi yang diterima pakai, maka tiadalah sebarang kekeliruan lagi, kerana memang sudah terputuslah nasab keluarga Rasulullah SAW pada anak-anak bagi wanita ahlul-bait hasil dari perkahwinan dengan orang biasa. Tetapi jika pendapat dan Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal juga Mazhab Imam Syafiee diterima pakai, bermakna tidaklah terputus nasabnya pada anak-anak tersebut. Atas alasan ini, maka ramai diantara umat Islam di tanah air dari ahlul-bait Rasulullah SAW, melalui nasab ibu, nenek atau moyang perempuannya yang berkahwin dengan lelaki Ajam, dan yang berpegang pada Mazhab Syafiee tidak mengetahui hakikat sebenar keturunan mereka semata-mata kerana mengikut adat atau kejahilan, sanggup memutuskan gelaran Sayyid atau Syarifah pada salasilah kebawah keluarga mereka.Umat Islam di dunia sebelah sini yang hampir kesemuanya mengikuti Mazhab Syafiee patutlah disedarkan akan hakikat ini.
Kesimpulannya, jika dikaji pada definisi ahlul-bait dalam hubungkaitnya dengan masyarakat Islam di Asia Tenggara ini, kita bolehlah menganggarkan betapa ramainya ahlul-bait Rasulullah di kalangan bangsa Melayu, walaupun pada hakikatnya rupa, identiti adat dan budaya mereka telah bersebati dan secocok dengan bangsa Melayu yang asal. Namun begitu, darah Rasullalh SAW yang mengalir di tubuh mereka kadangkala tetap akan menyinarkan ciri-ciri istimewa ahlul-bait yang menjadi resam anak cucu Rasulullah SAW di merata pelusuk muka bumi ini. Sesungguhnya bumi Nusantara ini redup dengan kehadiran ramainya para ahlul-bait. Sedikit sebanyak ianya menyebabkan turunnya rahmat Allah SWT pada bumi ini, berlebih lagi jika kedapatan ramai dari kalangan ahlul-bait yang molek dan elok pengamalan agama mereka.
sumber: http://habibcorner.blogspot.com/2008/03/perkembangan-dan-susur-ahlul-bait-di.html
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan