Selasa, Oktober 11, 2005

Love Is Blind? Love Is Cruel? Love is for Losers?

Citer ni mmg sedih: (ambik dr email)

Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak
sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu resah
dan gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku sujud
panjang, memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena di atas
sejadah. Tubuhku benar-benar letih. Sudah hampir sebulan aku berada
dalam keadaan tidak menentu. Makan minumku sekadarnya. Tidurku dihantui
mimpi-mimpi ngeri. Hari-hariku penuh kesedihan dan kekecewaan. Emosiku
terganggu..... Fikiranku mengimbau peristiwa lama itu.....

Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti jawapan. "Macam mana?"
tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah nak!". "Kalau abang nak.....
adalah!". Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira.
Tuhan, syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku.
Seperti sayangku padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam rahimku.
Dia menjagaku sebaiknya. Makan minumku, sakit peningku.Dan segala-galanya.
"Doalah, semoga anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang
diingatkan padaku. Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur
pekertinya dan teguh memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu
hari-hari kubisikan kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di
dalam rahim. Aku pasti ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya.
Aku nyatakan harapanku dan saban hari bibirku tidak kering melagukan ayat
suci Al-Quran. Surah Yasin, Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan Maryam telah
sebati dalam pengalamanku. Sebelum melelapkan mata, suamiku akan
mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan alangkah gembiranya hati bakal ibu
apabila janinnya bergerak-gerak, memberi tindak balas pada kalimah
tayyibah yang diajarkan. Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan
antara hidup dan mati. Terubat hatiku melihat senyumannya.

Dia banyak menyalin rautku. Berkulit cerah dan berwajah bujur sirih. Paling
seronok melihat lekuk di kedua belah pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana,
nama pilihan suamiku. Menggabungkan maksud cahaya Ilahi yang menaungi
setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan rahmat. Biar dia menjadi wanita
terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti Fatimah az-Zahra, puteri
Rasullulah s.a.w. yang terunggul.

Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami. Takdir Allah
s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi selepas kelahirannya.
Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali puteri seorang itu sajalah
amanah yang perlu disempurnakan sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak
bicara. Ketentuan Allah adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda.

Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan lahiriah,
akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila dipandang
menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara pada orang tua.
Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya menyentuh hati orang
lain.

Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba pada
suatu tengahari. Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cemerlang
dalam pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun
begitu demi masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin
dengan ilmu Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis
segala unsur jahat.

Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar biar
pun hidup di lautan masin. Lalu hari-hariku diulit rindu yang dalam.
Terkenang telatah manjanya, senyumannya, rajuknya, dan bila menjamah
hidangan tengahari tersentuh hatiku, teringat dia yang jauh dirantau
orang. Namun, rindu terubat juga bila sekali sekala suratnya menitip
berita, menyatakan rindu dan kasih tidak terhingga.

Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan membanggakan.
Air mataku menitis. Jauh di sudut hati, aku berbisik semoga anak inilah
yang mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila hayat berakhir nanti.
Dan di luar dugaanku, pulangnya Nur Amana membawa satu perubahan yang
ketara. Dia berjilbab kini. Seluruh tubuh termasuk wajah ditutup dengan
kerundung gelap. Pun aku bersyukur kerana perubahan itu menjurus kepada
kebaikan.

Seperti suamiku, aku tidak membantah. "Di sana terlalu banyak fitnah,
Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya apa yang mendorongnya memakai
purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang memenuhi negara kafir tempat
Nur Amana menuntut ilmu itu. Alhamdulillah, kerana Nur Amana mengambil
langkah bijak. Cuma saudara mara banyak membantah. Katanya, dengan keadaan
yang seperti itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. Rugilah
kelulusan tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum mendengar
pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada rezeki
untuk hamba Allah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana memujukku. Dan
hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya, tidak sampai sebulan
pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja di sebuah syarikat di Kuala
Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang tugasnya, tapi menurut Nur Amana
sebagai eksekutif. Dan kehidupan kami berlangsung seperti biasa.

Hilang sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini.Hari-hari
berada di depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur Amana mula
berubah. Dia menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering mengurung diri
dalam kamarnya. Keluarnya bila ke tempat kerja atau bila kuajak makan
bersama. Itupun kadang-kadang dia menolak. Beberapa kali aku cuba
mencungkil isi hatinya. Kenapa tiba-tiba dia berubah laku. Pun aku tidak
berjaya. Nur Amana cukup bijak mengelak dan menyembunyikan.

Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur Amana
telah menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama kepada
Kristian. Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika itu Nur Amana
tiada di rumah. Katanya out-station di Singapura selama seminggu. Aku dan
suami mengambil langkah berdiam diri dahulu. Cerita sebenar perlu
diperolehi oleh Nur Amana sendiri.

Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, kalau tidak ada
apa-apa? Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana sehingga timbul
fitnah yang sebegitu besar? Persoalan demi persoalan menujam diri
menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya. Kepulangan Nur Amana
kusambut dengan air mata yang entah untuk apa. Yang pasti hatiku cukup
bimbang.

Cenderamata dari Singapura dihadiahkan. Sehelai kain sutera berwarna ungu
yang cantik. Pun bagiku ia tidak bernilai apa-apa. Suamiku menggesanya
cepat membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib berjemaah bersama. Tapi,
Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan suami solat dahulu.
Bila azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku mengetuk pintu kamarnya
mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali lagi juga Nur Amana menolak
dengan alasan dia sedang menyiapkan kertas kerja penting. Satu alasan yang
tidak pernah dilakukan olehnya. Nur Amana yang kudidik tidak pernah
melengahkan waktu solat. Tidak pernah mengutamakan kerja lain dari solat.
Tapi mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami bertentangan. Pun kami
cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang berkeroncong.
Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan letih. Kecewanya hatiku
dan suami. Selepas makan, Nur Amana menolak pintu bilik lagi tapi cepat
suamiku memanggil. Nur Amana duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja.
Gadis yang baru mencecah 24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya
lembut. Matanya redup. Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir
senyuman. Soalan pertama diajukan oleh suamiku. Nur Amana tersentak.
Dia menafikan sekeras-kerasnya.Katanya itu cuma fitnah orang yang benci
melihat kejayaannya. Hatiku lega. Nur Amana, anakku masih memelihara
agamanya.

Sebulan kemudian, aku dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar
agama telah diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu,
menghadiri persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau.
Sikap Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan
kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi.
Suamiku juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura
lagi) memberi peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar sederhana
besar itu tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa pemberinya telah
kering di atas meja. Dari kad kecil yang terlekat cuma tertulis tahniah dan
tersusun buku-buku tebal di atas rak. Aku menghampirinya. Dan jantungku
berdegup kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu adalah berkenaan
agama Kristian, termasuklah sebuah Bible dan terjemahannya. Aku menggeletar.
Terasa lemah seluruh anggotaku. Suamiku segera menghubungi mahkamah
meminta kepastian. Dan jawapan yang diberikan begitu menyakitkan. Air
mataku turun tanpa henti. Apa salah didikanku, lalu dia jadi begitu?
Subhanallah!

Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu
biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan demi
pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus berpanjangan.
Namun akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya mencintai Adam.....
pemuda Kristian, saya benar-benar cinta padanya dan terperangkap dalam
agama itu...," dan sepantas kilat sebuah tamparan hinggap ke pipinya.
Kemarahan suamiku sampai ke puncak. Kesabaran terus terhapus. Nur Amana
menangis. Aku terkaku.Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit.

Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana membawa
bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai mengatakan bahawa
"Cuma setakat ini saja hubungan kita". Nur Amana seolah-olah memutuskan
bahawa aku bukan ibunya lagi, suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku
mengalir dan terus mengalir. Hiba hati seorang ibu. Suamiku bertindak
pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari dari rumah! Pun polis
tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan membantah pertukaran agama
yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan lain, akhbar terpaksa digunakan
meminta Nur Amana hadir ke mahkamah. Lalu, cerita Nur Amana menjadi hangat.
Saban hari kisahnya terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Latar
belakangnya dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana dikritik. Pendidikan
ibu bapa dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, ramai yang menyimpulkan,
Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap Kristian kerana cinta!
Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!!!

Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda berdarah
India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya dibiarkan mengurai
ke bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata lelaki
ajnabi. Dan, terasa gugur jantungku bila terlihat sebentuk salib dibuat
dari emas tulin bercahaya ditimpa cahaya lampu megah tersemat di dadanya.
Nur Amana tunduk. Langsung tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang.
Perbicaraan dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan.
Suamiku gagal!

Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya. Dan kami
tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur lebih daripada 18
tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana ku lihat tersenyum lega. Hatiku
hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan dikenakan
hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat. Nur Amana bukan
tidak tahu itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi, mengapa dia terus
berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah dalam pelukan suamiku.
Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk. Wajahnya merah padam menahan
kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air matanya mengalir perlahan membasahi
pipi. Menitis jatuh ke pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya
gugur.

Aku tahu hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya."Demi Allah! Aku bersumpah
negara ini tidak akan aman kerana memegang undang-undang kafir!". Tiba-tiba
suaranya lantang menjerit, meggegarkan suasana mahkamah yang telah sediakala
hingar apabila mendengar keputusan mahkamah tadi. Mahkamah sunyi seketika.
Semua mata tertumpu padanya. Tiba-tiba jeritan itu disambut dengan laungan
"Allahu Akbar" dari orang yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.
Aku cuba meredakan kemarahannya. Namun air matanya semakin lebat.
"Mahkamah ini tidak adil! Sekular! Undang-undang penjajah!'.

Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku meronta-
ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis melemahkan
kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan tangannya digari.Ketika
melintasi Nur Amana yang terus tenang berdiri di sebelah lelaki muda yang
tidak kukenali itu, suamiku menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih,
teruskanlah..... tapi ingat, kehidupanmu pasti tidak akan selamat!,"
Nur Amana tidak menjawab. Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas
senyuman di bibir lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur
Amana, seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya. Dan hari ini,
suamiku merengkuk dalam penjara.Dituduh menderhaka kepada mahkamah! Dan
ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana menerbitkan sentimen perkauman
juga keagamaan.

Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali. Aku
belum solat Isyak.Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan menyambung
mimpi ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk.Solat Isyak kudirikan.
Kemudian kususuli dengan solat Taubat dan Hajat. Air mataku gugur lagi
pada dinihari yang sepi. Doaku tidak putus. Hatiku retak. Namun jauh di
sudut hati. Aku terus berharap....., pulanglah anakku,Nur Amana!

Aduhai, kisah Natrah berulang kembali..... Agama dipermainkan oleh
undang-undang sekular. Lihatlah betapa rapuhnya undang-undang sehingga
tidak dapat mempertahankan agama ISLAM yang dikatakan agama RASMI.
Sampai bila perkara ini akan berakhir..... Betapa hibanya hati seorang
ibu bila anaknya murtad dan kita tahu hukumnya dan kita tahu masih banyak
lagi kes yang sama seperti Nur Amana. Apakah tindakan kita yang mengaku
dirinya ISLAM? Apakah tidak tercabar oleh permainan pihak kuffar ini????
Permainan ini semakin bermaharajalela ditanah air kita..... Sedarlah!!!
Kita akan tertindas selagi HUKUM ALLAH TIDAK DITEGAKKAN DI BUMI.......
MALAYSIA khasnya....

p/s: aku rasa perasaan yang sama dirasai oleh ibubapa kpd anak yg beragama lain yg menukar agama. tp hakikatnye..islam tetap BENAR.

1 ulasan:

berbara berkata...

aippp? segho po beso tengop nih. mace mano tibo2 ado cokoh cni nih?