Rabu, November 01, 2006

Taktik cari duit..Boleh pakai lagi?

Objek di langit satu pembohongan

Oleh Nasron Sira Rahim
Kejadian misteri menyebabkan ramai umat Islam di negara ini bingung, takut


LAPORAN akhbar pada 11 Oktober 1992 sememangnya menggemparkan penduduk negara ini. Malah, kejadian misteri yang dilaporkan itu menyebabkan ramai umat Islam ketika itu kebingungan dan ketakutan.

Dilaporkan, pada 26 Julai sebelum itu, ketika jarum jam mula menganjak menghampiri tengah malam, sekumpulan 200 pelajar sebuah sekolah agama di Klang, Selangor; mendakwa melihat 26 objek aneh yang secara tiba-tiba muncul di langit.

Kumpulan pelajar terbabit melihat objek itu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menghadiri kelas mengulang kaji pelajaran. Objek itu jelas kelihatan dengan berlatarbelakangkan merah walaupun ketika itu langit gelap tanpa bulan dan bintang.

Ia muncul secara berturutan hampir empat jam bermula 11.30 malam sehingga membuatkan pelajar itu kebingungan dan ketakutan berhari lamanya.

Ketika kebingungan pelajar sekolah yang melihat objek itu masih belum reda, kejadian itu muncul sekali lagi seminggu kemudian dan disaksikan guru dan pelajar sekolah agama di Jeram. Seminggu selepas itu, ia muncul untuk kali ketiga disaksikan guru dan pelajar sekolah agama di Kuala Langat.

Objek yang muncul di dada langit itu adalah kalimah Allah, manusia berkepala anjing,

batu nisan, janin, manusia, mayat dibungkus, sebiji mata warna merah (seperti orang ketika marah), lidah panjang, lidah dipotong dan disambung semula (ditayangkan tiga kali).

Rambut perempuan yang sedang berlari ditarik, sayap burung berkibar, perempuan berwajah babi, kala jengking, dua orang bergaduh kemudian bersalaman, lelaki berserban sujud ke arah Kaabah dan yang lain membelakangi Kaabah dan sujud ke arah belakang Kaabah.

Peta Malaysia terbalik, Singapura terletak sebelah atas, botol arak, salib bertukar menjadi kubah, ayam, seekor ikan, peta negara Arab, mayat berkapan, burung, orang berdoa dan tangan ingin mencapai sesuatu tetapi gagal dan di tapak tangannya ada tanda bulat.

Kejadian aneh itu mula meninggalkan kesan psikologi yang mendalam terhadap kumpulan pelajar berkenaan. Mereka ketakutan sehingga tiada lagi selera makan, asyik menangis dan beribadat dengan membaca al-Quran, berpuasa dan solat.

Peristiwa itu akhirnya sampai ke pengetahuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mula melakukan siasatan. Mereka mengumpul maklumat dengan menemubual 11 pelajar serta empat guru dalam kejadian pertama dan mendapati keterangan semua saksi adalah sama serta tidak bercanggah.

Sehubungan itu, Jais pada sidang media 10 Oktober 1991 mengumumkan bahawa dakwaan kemunculan 26 objek aneh di langit seperti disaksikan 200 pelajar dan beberapa guru itu adalah benar dan bukannya rekaan.

Pengumuman menggemparkan itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan penduduk. Kalangan ahli agama berpendapat bahawa kejadian objek di langit itu tidak mustahil berlaku dengan kekuasaan Allah.

Malah, Allah sudah menurunkan peringatan kepada umat Islam sejak dulu lagi seperti menurunkan bala di zaman nabi malah banyak perkara ghaib yang tidak dapat dijelaskan logik, boleh berlaku.

Objek di langit itu juga dikatakan berupa amaran daripada Tuhan supaya umat Islam kembali mengamalkan ajaran agama yang sebelum ini semakin diabaikan sebahagian penduduk negara ini.

Objek berkenaan yang disaksikan guru dan pelajar dari sekolah agama, menambahkan lagi keyakinan masyarakat.

Selain itu, terdapat juga pihak yang skeptikal dengan kejadian itu dan mengandaikan bahawa ia mungkin ciptaan manusia. Mereka berpandangan bahawa semua objek di langit itu tidak mustahil dihasil menggunakan kemajuan sains dan teknologi sedia ada.

Memberi contoh beberapa kes sebelum ini, pihak skeptikal mengandaikan bahawa persepsi masyarakat yang gemar membuat spekulasi menyebabkan mereka gemar mempercayai pelbagai perkara pelik.

Malah, dakwaan ada ayat al-Quran yang hilang daripada muka suratnya beberapa tahun sebelum itu juga sebenarnya tidak berasas apabila ia didapati berpunca daripada kesilapan cetakan yang tidak sempurna.

Mereka mengandaikan bahawa objek di langit itu kemungkinan dihasil menggunakan pancaran leser yang sememangnya mampu memberi kesan sama.

Mereka juga tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat yang mengandaikan bahawa objek di langit itu adalah tanda kiamat semakin hampir sebaliknya menegaskan bahawa tanda kecil kiamat seperti disabdakan Nabi Muhammad SAW iaitu manusia semakin lalai daripada perintah Allah, sememangnya sudah berlaku.

Pihak skeptikal turut berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan sahabat dalam kejadian seperti itu dalam peristiwa mengebumikan anak Baginda. Sewaktu pengebumian dijalankan, berlaku kejadian gerhana matahari dan beberapa sahabat mengaitkan kejadian itu sebagai tanda bahawa alam berduka cita terhadap kematian anak Baginda.

Bagaimanapun, Baginda menafikan perkara itu dengan mengingatkan sahabat supaya tidak mengaitkan sesuatu kejadian mempunyai hubungan dengan peristiwa lain.

Ketika pelbagai hujah antara kalangan skeptikal dan mereka yang mempercayai kejadian itu berterusan, kira-kira seminggu selepas pengesahan Jais itu dilaporkan akhbar, 120 pelajar serta warden sekolah agama lelaki di Arau, Perlis mendakwa objek aneh itu kembali terpapar di langit di kawasan itu.

Malah objek yang disaksikan pelajar di Arau itu lebih banyak iaitu 133 objek berbanding 26 objek dalam kejadian di Klang. Antara objek tambahan adalah termasuk dua kalimah syahadat, kubah masjid terbalik, peta Arab Saudi, perempuan berambut panjang, anjing, zirafah dan kala jengking.

Peristiwa yang berlaku pada awal pagi di antara jam 2.15 dan 5.50 pagi dan hilang sebelum azan Subuh iaitu kira-kira jam 5.55 pagi dengan objek terakhir yang terpampang adalah kalimah Allah.

Guru ambil kesempatan untuk kepentingan diri

KETIKA isu objek di langit masih dalam siasatan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenal pasti kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan daripada peristiwa

terbabit untuk kepentingan mereka.

Jais menerima dua kes membabitkan peristiwa itu iaitu kegiatan mengutip derma bagi membina kapal besar serta kegiatan menjual gambar objek di langit.

Dalam kegiatan pertama, kumpulan tertentu mengutip derma kononnya untuk membiayai projek membina kapal bagi kegunaan ketika banjir yang dijangka melanda bandar Klang berikutan andaian bahawa Hari Kiamat bakal tiba berdasarkan petunjuk objek di langit.

Kumpulan itu membuat tafsiran bahawa bandar Klang akan dilanda banjir besar dan umat Islam memerlukan sebuah kapal untuk menyelamatkan diri menyebabkan ada antara penduduk terpengaruh dan mempercayai kumpulan itu.

Penduduk menderma antara RM50 dan lebih RM100 bagi membolehkan mereka menaiki kapal itu untuk menyelamatkan diri jika dilanda banjir. Derma juga diberi sebagai penebus dosa seperti didakwa kumpulan itu.

Bagaimanapun, kegiatan itu dijalankan secara senyap di kalangan kenalan rapat kumpulan itu saja.

Kumpulan terbabit bercadang membina tiga kapal layar besar dan sempat menyiapkan satu daripadanya berdasarkan kutipan derma mencecah ribuan ringgit daripada penduduk yang terpengaruh.

Sehubungan itu, polis dan Jais menyiasat mengenai pembinaan kapal berkenaan kerana ia membabitkan perkara negatif yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Selain pembinaan kapal itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan menjual gambar objek yang dilihat kumpulan pelajar agama di Klang. Pada mulanya, gambar itu dijual kumpulan pelajar yang membuat lakaran objek dan difotostat. Lakaran itu dijual kepada orang ramai dengan bayaran antara 10 sen dan 20 sen sehelai.

Selain pelajar, kegiatan menjual gambar lakaran objek dan memungut derma turut didalangi dua guru dari dua sekolah agama di Klang yang dikatakan mewakili kumpulan tertentu.

Seorang daripada guru itu menjual gambar dengan harga RM1 sekeping dan didakwa pernah menawarkan pelajar sebuah sekolah agama komisen RM300 bagi setiap seribu keping gambar yang berjaya dijual.

Gambar dijual guru terbabit dikatakan disalin daripada gambar dalam majalah dengan berlatarbelakangkan langit menggunakan teknik fotografi yang canggih.

Seorang lagi guru dikatakan menjalankan kegiatan memungut derma, kononnya untuk membiayai projek pembinaan kapal berkenaan.

Selain untuk kegunaan ketika banjir besar menjelang kiamat, kapal yang akan dibina itu juga kononnya akan digunakan untuk mengimport berlian dari Arab Saudi agar mereka sama-sama dapat memanfaatkan kekayaan sementara masa masih ada.

Di samping itu, guru berkenaan juga dikatakan meminta $2,000 daripada orang ramai yang ingin menyertai kumpulannya, kononnya boleh terselamat daripada banjir besar itu nanti.

Bahagian Hal-Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri (BHEAI-JPM) yang mencurigai kegiatan dua guru itu mula menjalankan siasatan terhadap mereka.

Hasil siasatan mendapati guru yang mendakwa melihat 26 objek di langit itu juga adalah orang yang sama mencetuskan kegelisahan masyarakat beberapa tahun sebelum itu dengan dakwaannya bahawa ada ayat al-Quran yang ghaib daripada muka suratnya.

Malah, kumpulan dianggotai guru berkenaan juga mendakwa satu daripada 26 objek yang tertera di langit itu adalah gambaran wajah pemimpin mereka yang akan muncul tidak lama lagi. Mereka juga mengatakan bahawa gambar wajah pemimpin itu bagaimanapun tidak dilukis dengan betul ketika disiarkan dalam akhbar.

Akhirnya, selepas menjalankan siasatan terperinci, BHEAI-JPM pada 30 Oktober mengesahkan bahawa dakwaan kemunculan objek di langit yang disaksikan 200 pelajar dan beberapa guru serta menggemparkan masyarakat hanyalah satu penipuan.

Hasil siasatan jabatan itu juga mendapati guru berusia kira-kira 50 tahun yang terbabit dalam kejadian itu adalah ahli kumpulan ajaran sesat dan objek yang dilihat pelajar hanyalah khayalan hasil pendewaan pelajar terhadap guru itu.

Siasatan menunjukkan pemikiran pelajar itu dipengaruhi menerusi pendekatan pendewaan supaya apa saja diperkatakan guru itu dianggap benar. Malah, guru itu bukan saja melakukan kesalahan menyebar ajaran sesat, malah menyalahi undang-undang sivil kerana mengutip derma

tanpa kebenaran.

Laporan sebuah akhbar lain pula memetik seorang rakan kepada guru itu mendakwa guru lelaki itu yakin objek di langit itu muncul atas kerahmatan seorang wali iaitu guru agama kumpulannya.

Selain menjual gambar dan mengutip derma, guru itu juga dikatakan cuba menjual minyak wangi yang didakwa berbau syurga kepada pelajar.

Rakannya dilaporkan berkata, sikap guru itu mula berubah selepas dia menceburi bidang perniagaan ala skim cepat kaya pada 1998 yang memerlukan setiap ahli membayar antara RM3,000 hingga RM5,000 sebagai yuran keahlian.

Tiada ulasan: