Selasa, Januari 25, 2011

Tuan Halus, Puteri Raja Long Nuh Jambu

Di kalangan ahli kerabat Long Gaafar, Long Nuh Raja Jambu sangat dikenali. Hubungan antara Long Nuh dan Long Gaffar mempunyai 2 versi.
Ada yang menyatakan Long Gaffar (Raja Muda Reman dan Raja Kelantan) adalah adinda kepada Long Nuh dan ada yang menyatakan Long Gaffar merupakan anakanda kepada Long Nik Datu Pujud iaitu adik-beradik Long Nuh.
Walau apapun versinya, sejarah telah membuktikan bahawa Long Nuh mempunyai kaitan yang rapat dengan Long Gaafar.
Dari Long Nuh; hasil perkahwinan baginda dengan permaisuri pertamanya, diputerakan seorang tokoh terkenal bernama Tuan Lembut iaitu Raja Muda Reman. Keturunan Tuan Lembut sangatlah ramai di Kelantan terutamanya di Limbat iaitu bermula dari dan seterusnya. (** – Lihat ‘Nota’ di bawah)
Berdasarkan beberapa bukti yang dikemukakan; walaupun dipertikaikan oleh beberapa pihak; susurgalur Long Nuh Raja Jambu dipercayai bersambung sehingga Syed Hussein Jamadil Qubra, ahlul bayt dari keturunan Rasulullah SAW.

Empayar Kesultanan Melayu Patani sewaktu zaman keemasannya

Long Nuh merupakan seorang raja yang warak. Baginda mengahwini tiga orang permaisuri (bukan 2 orang seperti didakwa oleh setengah pihak) yang dilayan seadil-adilnya. Malangnya apabila baginda mengahwini permaisurinya yang ketiga yang memperolehi seorang putera, permaisuri* ini menyimpan hasad dengki terhadap permaisuri pertama & kedua serta menyimpan niat yang buruk terhadap anakanda tirinya Tuan Lembut. *(Permaisuri kedua pula telah memputerikan seorang puteri yang ayu bernama Tuan Halus)
Permaisuri ketiga telah berkali-kali cuba memujuk suaminya Long Nuh supaya menabalkan puteranya sebagai Raja Muda Reman namun ditolak permohonan berkenaan oleh Long Nuh. Long Nuh sentiasa mengingatkan permaisuri ketiganya bahawa Tuan Lembut lebih layak memegang takhta kerana tarafnya sebagai anak sulong dari permaisuri pertama.
Ketika itu, perisikan Long Nuh telah memberitakan mengenai kemungkinan Kerajaan Patani/Reman akan diserang Siam dengan bantuan British yang beraksi di belakang tabir. British sangat takut dengan Kerajaan Patani/Reman kerana ianya terlalu kuat malah Belanda dan Portugis juga gagal menembusi kubu pertahanan Patani/Reman.

Salasilah Tuan Lembut menurut catatan keturunan Haji Nik Ismail Limbat @ Tok Baruh yang menjadi "MUFTI" kepada Kerajaan Kelantan di Limbat
Dipercayai Long Nuh bukan sahaja memiliki kekuatan jasmani di samping kebijaksanaan strategi pertahanan tetapi juga baginda dan kaum kerabatnya termasuk Tuan Lembut merupakan seorang Raja yang keramat.
Ada kisah yang menyatakan berlakunya perkara yang mencarik adat di mana apabila setiap kali Siam cuba menyerang Patani, pelbagai perkara aneh berlaku seperti :
a) Tentera Siam mendapati diri mereka seperti berenang di laut dalam,
b) Segelintir tentera Siam menjadi hilang penglihatan
c) Kota Patani seolah-olah ghaib apabila tentera Siam tiba di sana,
Long Nuh semakin gusar apabila mendapat khabar, Phya Taksin telah menyerang Patalung, Songkhla dan Ligor menyebabkan raja-raja pemerintah kawasan ini terpaksa melarikan diri ke Patani untuk mendapatkan perlindungan. Penjajah British pula telah mengambil peluang ini untuk menemui Phya Taksin untuk menawarkan bantuan kepadanya bagi memusnahkan Kerajaan Patani/Reman.
Tuan Halus, puteri Long Nuh dari permaisuri keduanya telah jatuh cinta dengan seorang kerabat dan panglima raja Siam bernama Jong Aydem (juga digelar Raja Merah atau Naga Merah). Jong Aydem merupakan saudara kepada Phya Taksin yang pada asalnya cuba menjadi perisik Kerajaan Patani/Reman tetapi akhirnya menaruh simpati terhadap perjuangan mereka.
Jong Aydem juga dianugerahi hidayah Allah SWT pada suatu hari untuk memeluk Islam setelah mendengar satu khutbah Jumaat. Adalah dipercayai, Long Nuh sendiri yang menalkinkan syahadah kepada Jong Aydem dan mengahwinkan Jong Aydem dengan Puterinya Tuan Halus. Perkara ini dipercayai berlaku sekitar 1785 tahun yang sama Kerajaan Patani/Reman jatuh ke tangan Siam dan British.
Rupa-rupanya Long Nuh telah mendapat firasat bahawa keturunannya harus diteruskan dan Jong Aydem dilihat sebagai jawapan kepada firasatnya itu. Baginda telah lama mengetahui bahawa permaisuri bongsu dan puteranya telah diam-diam mengkhianati Patani/Reman dengan menemui Phya Taksin bagi membantu menaikkan puteranya menjadi Raja Reman menggantikan Long Nuh.
Long Nuh telah merahsiakan perkahwinan antara Jong Aydem dengan Tuan Halus dan berpesan kepada Jong Aydem agar merahsiakan status beliau sebagai muallaf.
Namun, Allah SWT atas inayah dan kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya yang beriman telah menakdirkan bahawa mereka ini akan gugur syahid bagi memasuki senarai orang-orang pilihanNya di Jannah.
Jong Aydem telah memaklumkan kepada ayahanda mertuanya bahawa Siam telah mengumpulkan bala tentera yang sangat ramai untuk menyerang Pattani. Tidak cukup dengan bala tentera sahaja, Phya Taksin sendiri telah melatih tenteranya dengan ilmu hitam yang sangat ampuh.
Namun Long Nuh tidak gentar dengan ancaman berkenaan. Kesemua raja-raja yang terbuang dari Pattalung, Songkhla dan Ligor digabungkan pula dengan kekuatan Long Nik Pujud serta Long Gaafar, maka Long Nuh telah membina menjadikan tentera Islam yang terbesar.
Di saat-saat akhir menanti untuk berperang, Long Nuh telah menitahkan Tuan Lembut dan adinda tirinya Tuan Halus mengadap baginda pada suatu hari. Baginda kemudiannya menyatakan firasat baginda terhadap mereka bahawa Kerajaan Patani dan Reman akan gugur menerusi satu peperangan jihad fii sabiilillah selain meninggalkan amanat kepada Tuan Lembut dan Tuan Halus agar berundur ke Kelantan sekiranya berlaku apa-apa kepada baginda. Tetapi Tuan Lembut tetap berkeras ingin turut serta dalam peperangan berkenaan.
Akhirnya berlakulah peperangan jihad fii sabilillah yang amat dahsyat, ramailah tentera kuffar dan tentera Islam telah gugur di medan peperangan. Dipercayai bahawa Baginda Long Nuh Raja Jambu juga gugur sebagai syahid termasuk Permaisuri pertama dan keduanya yang sangat dikasihi baginda. Permaisuri ketiga dan puteranya pula telah melarikan diri berlindung di bawah kubu Siam.
Satu pengkhianatan yang sangat besar!
Akhirnya Tuan Lembut terpaksa memenuhi wasiat almarhum ayahandanya. Jong Aydem telah menawarkan diri bagi mengelirukan musuh kerana beliau sangat arif dengan strategi Phya Taksin. Hasil kebijaksanaan Jong Aydem, akhirnya Tuan Lembut berjaya melarikan diri ke Kelantan. (Dipercayai juga bahawa keturunan Long Gaafar juga telah menggunakan laluan yang sama sepertimana panduan Jong Aydem)
Sebelum ke Kelantan, Tuan Lembut telah berdoa kehadhirat Allah SWT agar menyelamatkan zuriat adinda tirinya Tuan Halus dan Jong Aydem agar terus dapat sama-sama membantu menaikkan kembali maruah kerabat Reman sehingga ke anak cucu. Wallahualam.
Tuan Lembut juga berjanji akan kembali untuk menuntut bela terhadap almarhum ayahandanya. Janji ini kemudiannya telah menjadi kenyataan di mana Tuan Lembut sendiri telah menamatkan riwayat ibu tirinya.
Namun putera kepada ibu tirinya itu dipercayai berjaya melarikan diri ke kawasan Kadok atau Tanah Merah. Ada sumber yang menyatakan putera ini menjadi orang biasa dan berkahwin serta mempunyai zuriat keturunan. Dikatakan dia pernah mewasiatkan kepada keturunannya agar menentang keturunan Tuan Lembut. Wallahualam – samada benar atau tidaknya kisah ini, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahuinya.
Tuan Halus dan Jong Aydem pula dipercayai telah melarikan diri ke Machang Kelantan setelah Phya Taksin mengetahui beliau telah diperdayakan oleh Jong Aydem. Di sana Tuan Halus telah memputerakan seorang anak lelaki yang diberikan nama Nik Muhammad yang kemudiannya dilantik sebagai penasihat kepada Long Seri iaitu anakanda kepada Long Gaafar kepada bagi mempertahankan kemaraan Siam ke Kelantan yang masih ingin menghapuskan saki-baki keturunan Long Nuh Raja Jambu.
Anakanda Nik Muhammad pula bernama Wan Abdul Rahman.**
**Nota – Adakah ini satu kebetulan? Kelihatan terdapat persamaan karektor Tuan Lembut & Tuan Halus? Atau sememangnya dirancang? Tuan Lembut menukar gelaran keturunannya kepada ‘Wan’ (Lebai Wan Isa) dan Tuan Halus pula dari ‘Nik’ Muhammad kpd ‘Wan Abdul Rahman’ (seterusnya Lebai Wan Abdul Manaf) – atau ini satu muslihat yang disengajakan untuk menyembunyikan keturunan Reman agar tidak dibunuh oleh Siam? Wallahualam!!
Dari Wan Abdul Rahman, lahirlah seorang anak bernama Lebai Wan Abdul Manaf yang telah menetap di Kampung Repek, Bachok, Kelantan. Lebai Wan Abdul Manaf merupakan sahabat kepada Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zin Mustafa Al-Fatani dan Dato’ Perdana Nik Mahmud.
Dato’ Perdana ketika itu telah merujuk kepada Lebai Wan Abdul Manaf mengenai silsilah Long Gaafar, Tuan Lembut dan Tuan Halus bagi menyatukan kembali kaum kerabat Reman. Dipercayai kisah ini akan dimuatkan dalam buku Cetera Kelantan.
Namun malangnya Dato’ Perdana telah mendapat banyak halangan malah beberapa orang kerabat Kelantan diketuai oleh seorang kerabat yang bernama Tengku Chik – yang dipercayai menjadi talibarut British ketika itu cuba menutup kisah dan silsilah Long Gaafar, Tuan Lembut dan Tuan Halus didedahkan kerana dikhuatiri keturunan Long Gaafar, Tuan Lembut dan Tuan Halus akan menuntut takhta-takhta tertentu.
Namun, Dato’ Perdana atas nasihat sahabatnya Tuan Guru Haji Kenali (Tok Kenali) telah menulis 3 salinan buku berkenaan. Salah satu salinan telah diberikan kepada Pak Wan Mahmud dan disalin kembali oleh Pak Abdullah. Namun, Pak Wan Mahmud dan Pak Abdullah juga telah diugut untuk tidak mengeluarkan versi yang asal oleh Tg Chik dan kumpulannya.
Akhirnya salah satu salinan telah jatuh jua di tangan Tengku Chik hasil pengkhianatan saudara-mara Dato’ Perdana sendiri yang tergila-gila pangkat dan kebesaran. Akhirnya, berlakulah pindaan yang banyak sehingga terpesong daripada maksud asal buku berkenaan ditulis.
Ketahuilah bahawa Buku Ringkasan Cetera Kelantan yang ada di pasaran sekarang adalah buku yang palsu dan bukan ditulis oleh Dato’ Perdana Nik Mahmud!
Berbalik kepada Lebai Wan Abdul Manaf, beliau mendapat seorang anak yang bernama Wan Abdullah menetap di Kampung Kemudi, Bachok, Kelantan.
Wan Abdullah atau bergelar Tok Ayah Lah sangat digeruni kerana memiliki kemahiran persilatan dan kedukunan yang tinggi.
Wan Abdullah telah mendapat beberapa orang anak antara lain ialah Wan Hassan dan Wan Umar (Dari salah seorang isteri Wan Abdullah bernama Wan Mah – dipercayai keturunan dari Pekan, Pahang). Wan Hassan mempunyai beberapa orang anak termasuk anak sulongnya Wan Abdul Majid yang menjadi anak angkat kepada Dato Amar Di Raja yang pernah berguru dengan Tok Ayah Lah.
Dato’ Amar Di Raja telah menukar nama Wan Abdul Majid kepada Nik Abdul Majid dan akan memurkai sesiapa sahaja yang memanggil nama anak angkatnya (yang juga saudaranya) tanpa gelaran ‘Nik’. Dipercayai Dato’ Amar pernah memberitahu kisah sebenar Dato’ Perdana Nik Mahmud dan kandungan Cetera Kelantan yang asli kepada Wan Abdul Majid.
Wan Hassan dan adik tirinya Wan Umar merupakan dua orang yang sangat disegani di Bachok. Dipercayai sehingga kini, ramai penduduk asal yang pernah atau masih menetap di Bachok masih mengenali nama Wan Hassan dan Wan Umar.
Namun Wan Hassan dan Wan Umar mempunyai satu krisis kekeluargaan dan bagi menjaga hubungan agar tidak retak, maka Wan Umar telah mengahwinkan anak perempuannya kepada Wan Abdul Majid (perkahwinan sepupu)
Isteri kepada Wan Umar ialah Nik Nab iaitu dari keturunan Syeikh Abdul Qadir Fatani dan Tuan Minal yang bersusur galur (menerusi bonda Nik Nab iaitu Nik Jah) kepada Syed Ibrahim Al Jarmi anakanda kepada Syed Hussein Jamadil Qubra.
Kedua-dua keturunan ayahanda Nik Nab iaitu Nik Yusof (dipercayai berkaitan dengan Raja Perempuan Zainab 1 – Nik Zainab Nik Md Amin, permaisuri Sultan Muhammad IV) dan keturunan bonda Nik Nab telah berkahwin dengan zuriat Tuan Lembut di Limbat, Kampung Berangan, Bukit Jawa, Selising dan Padang Pak Amat, Kelantan. Salah seorang adik beradik tiri Nik Nab bernama Tuan Kembang telah berkahwin dengan seorang ahlul bayt (al-edrus keturunan Tok Ku Paloh). Tuan Kembang sendiri adalah keturunan Tok Ku Paloh. Mungkinkah perkahwinan-perkahwinan ini untuk merapatkan kembali hubungan keturunan atau mungkin telah ditakdirkan berlaku secara kebetulan tanpa diketahui?- Wallahualam
Kebanyakan dari mereka dan anakanda dan cucu mereka ini memegang banyak jawatan-jawatan tinggi kerajaan dan swasta termasuk menjadi pembesar-pembesar negeri dan negara, mungkin hasil makbul doa Tuan Lembut kepada Tuan Halus.
Kisah ini diceritakan kepada saya oleh zuriat Wan Abdul Majid pada tahun 2009 yang pada asalnya melarang keras saya menulis blog ini, namun saya terpaksa jua mencatat blog ini kerana untuk mendedahkan kebenaran yang telah hilang. Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada sahabat saya kerana terpaksa mendedahkan sejarah ini.

Wallahualam, Wassalam.

sumber: http://kebunketereh.com/?p=2128

1 ulasan:

Sedang Mencari berkata...

saya rasa mau menatap kitab sejarah yg asal tersebut. boleh kan tuan blog tunjuk ko ambo? - sharol ni....