Isnin, Julai 12, 2010

Peranan Kelantan sebagai pusat Majapahit Barat

Peranan Kelantan sebagai pusat Majapahit Barat yang kemudian berubah kepada Empayar Chermin Jiddah banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan Islam di Nusantara.

Saiyid Hussein Jamadil Kubra dari keturunan Saiyid al-Alawiyah (bertemu hingga kepada Saiyidina Hussein cucu Rasulullah s.a.w.) anak dari bekas seorang gabenor kepada Sultan Muhammad Tugluq (Kesultanan Delhi) yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan); telah sampai di Kelantan kira-kira pada tahun 1349 Masihi besama adiknya Saiyid Thana’uddin atau Syekh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar).
Sepanjang misi dakwahnya Saiyid Husein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin yang ketika itu ibu kotanya bernama ‘Jiddah’ terletak 3 batu dari Bukit Panau.

Dari isterinya yang pertama Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang) ia mendapat dua orang anak, yang lelaki bernama Maulana Malik Ibrahim (pelupur Wali Songo) dan yang perempuan bernama Siti Aisyah.

Perkahwinannya dengan Ramawati puteri kepada Raja Champa, Sultan Zainol Abidin (Ce Bo Nga) dan Permaisuri Siti Zubaidah maka lahirlah generasi yang tersenarai di dalam kumpulan Wali Songo dari titisan Ibrahim Asmaro.

Sewaktu umurnya hampir 80 tahun Saiyid Husein telah dipertemukan jodoh dengan Puteri Selindong Bulan atau Siti Syahirah iaitu cucu saudara kepada isterinya yang pertama dan beroleh seorang anak lelaki Ali Nurul Alam yang kemudiannya nanti menjadi Perdana Menteri Majapahit II (Majapahit Barat) di Kelantan bergelar Patih Gajah Mada yang dikaitkan dengan beberapa peristiwa dengan Laksamana Hang Tuah. (Di Patani Ali Nurul Alam terkenal dengan nama Sultan Qunbul)

(Semasa Sultan Iskandar Syah menjadi Raja Kelantan bergelar Bhatara Majapahit pada 1432 Masihi baginda telah mengisytiharkan negeri Kelantan sebagai Empayar Majapahit II. Sampai ke hari ini keris kedaulatan negeri Kelantan dipanggil Keris Majapahit).

Syarif Muhammad Kebungsuan adalah anaknya yang bungsu dari isterinya yang ke empat (keluarga Diraja Johor) yang kemudian terkenal sebagai pembangun Kesultanan Mindanao (Filipina) sementara salah seorang dari abangnya menjadi Sultan Borneo yang ke III bergelar Sultan Berkat, moyang raja-raja Brunei sekarang.
(Keempat-empat isteri yang dikahwininya itu ialah selepas tiap-tiap seorang daripadanya meninggal dunia).
Pada awal abad ke 14 Ibrahim Asmaro dihantar oleh ayahnya Saiyid Husein Jamadil Kubra ke Tanah Jawa membantu serta menyambung usaha-usaha dakwah abangnya Maulana Malik Ibrahim yang meninggal dunia pada 1419 Masihi dan dimakamkan di Gerisek, Tuban.

Turut serta ialah dua orang anaknya Maulana Tahmatullah dan Maulana Ishak meninggalkan Ali Murtadho di Champa, dan kemudiannya berhijrah ke Patani, Thailand.

Mungkin inilah pelayaran wali-wali dari Champa yang dikaitkan atau mempunyai hubungan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut di Kelantan.

Melalui firasat Saiyid Thana’uddin yang menjadi guru kepada cucu saudaranya Sunan Bonang dan Sunan Giri (juga guru kepada Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan gelaran Sang Adi Putra), Masjid Kampung Laut diketajjab dakan tanbo(ramalan) yang ada hubungan dengan kebangkitan Islam di Nusantara.

Raja Chermin, Sultan Baji Syah telah menyusul bersama satu rombongan keluarga Diraja Kelantan menemui Bhatara Majapahit Hayam Wuruk (memperbetulkan) amalan Islam yang sudah bercampur baur dengan Hindu Shiva) yang berkahwin dengan anak saudaranya Bidarawati (puteri Raja Champa). Beberapa orang mubaligh yang dibawanya kemudian meninggal dunia dan dimakamkan di Leran.

Sebagai membuka tirai Maulana Malil Ibrahim muncul sebagai perintis atau pelopor yang memberi laluan kepada wali-wali yang datang kemudian. Dengan tidak ada perbezaan kasta, darjat seruan dakwahnya lebih disenangi di kalangan kasta-kasta Waisya dan Sudras. Banyak kalangan mereka yang datang untuk mendapat pengajaran selok-belok mengenai agama Islam.

Kehilangan Maulana Malik Ibrahim diganti oleh anak saudaranya Maulana Rahmatullah yang memakai gelaran Sunan Ampel. Kalau Maulana Malik Ibrahim dianggap sebagai pencipta pondok (pesantren) yang pertama maka beliau adalah perancang negara Islam yang pertama di Tanah Jawa.

Maulana Ishak yang banyak membantu abangnya Sunan Ampel tidak ketinggalan meninggalkan jasanya. Daerah Balambangan hampir dibawanya tunduk di bawah Islam kalau tidak kerana perancangan mertuanya Raja Menak Sembayu yang bertekad hendak membunuhnya. Beliau akhirnya berhijrah ke Pasai dan Melaka merupakan destinasi yang terakhir.

Anaknya Raden Paku telah bangunkan Giri sebagai pasak yang membawa tertegaknya Kerajaan Demak. Sebagai markas gerakan dakwah yang pertama di Jawa, Giri juga memperlengkapkan gerakan mujahid yang tidak ada tolok bandingnya di samping mubaligh-mubaligh yang berkerja keras menyatukan Pulau Madura, Bawaen, Kangean, Ternate dan Maluku di bawah panji-panji Islam.

Walaupun kedatangan Raja Kemas Jiwa atau Sang Aji Jaya Ningrat (putra kepada Raja Chermin) ke Jawa hanya semata-mata bermotifkan politik tetapi melalui ikatan perkahwinannya dengan Puteri Suhita (cucu Hayam Waruk) telah melembutkan hati Ratu Majapahit itu untuk menyerahkan Ampeldenta dan Gerisek menjadi sebahagian daripada wilayah Giri.

Satu kejutan telah memutuskan nadi Kerajaan Hindu-Majapahit dan muncullah Demak sebagai Kerajaan Islam yang dicita-citakan.

Desa Glagah Wangi bertukar wajah, Bintoro Demak mengujudkan ketandaan ‘Hadiah’, Raden Patah menjadi pemerintah bergelar Sultan Sri (Syah) Alam Akbar al-Fatah.

Penyiaran Islam di Jawa Tengah sebelah selatan daerah yang sekarang di namakan Surakarta dan Jogjakarta diterokai oleh seorang anak murid Sunan Kalijaga, Kiai Ageng Pandanarang atau disebut Sunan Tembayat.
Pemilihannya sebagai mengantikan tempat Syeik Siti Jenar (yang menerima hukuman bunuh oleh wali-wali kerana mendedahkan rahsia-rahsia ketuhanan) pada mulanya diragui oleh persidangan para wali kerana bekas Bupati Semarang ini ialah seorang yang kehidupannya dikelilingi kemewahan dunia malah tidak mempercayai Tuhan; tetapi kemudiannya menjadi seorang yang cukup patuh kepada ajaran agama Islam dan sangat alim.
Melalui anak-anak Ali Nurul Alam iaitu Wan Husein, Wan Bo dan Wan Demali, Kelantan sekali lagi telah meyumbangkan mubaligh-mubalighnya di dalam menyambung tugas-tugas Maulana Malik Ibrahim (bapa saudara mereka) dan membantu Sunan Ampel (sepupu mereka) di Gerisek dan Maulana Ishak di Pasai.
Wan Husein dihantar ke Pulau Madura. Wan Bo ke Pasai dan Wan Demali ke kawasan Johor-Riau (Pulau Bintang). (Dari sinilah Wan Demalu mendapat jolokan Raja Laksamana Bentan).

Generasi Wan Bolah yang kemudiannya berjaya menegakkan dua buah Kerajaan Islam Banten dan Ceribon di mana ankanya Ahmad Fatahillah atau Sunan Gunung Jati telah dapat menyempurnakan cita-cita datuknya Saiyid Husein Jamadil Kubra.

Kejayaan para wali dalam perjuangan dakwah mereka mencapai tahap yang gilang gemilang di mana Indonesia lahir sebagai negara yang majoritinya beragama Islam.

Turut mendukung di atas kejayaan ini ialah Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kudud dan Sunan Muria yang disenaraikan dalam kumpulan ‘Wali Songo’ manakala Sunan Prowoto, Sunan Dalem, Syeikh Sutabris (salah seorang guru Sunan Kalijaga) dan lain-lain lagi merupakan watak-watak sampingan yang peranan mereka juga tidak boleh dianggap sepi.

Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa peranan Champa dan Pantai Timur Semenanjung Melayu (Kelantan) dianggap begitu penting dalam penyebaran Islam di Nusantara khususnya Indonesia.

Tiada ulasan: